NILAI SEHELAI KAIN ITU

Harganya tidak mahal. Saiznya juga tidak besar.
Tidak semahal baju, tidak sebesar jubah.
Ia cuma sekeping kain yang digunakan untuk menutup wajah, kecuali sepasang mata.


Namun ramai orang memandang ia sekadar sekeping kain yang murah.
Ramai juga orang menilai, ia sekadar penutup kepada wajah supaya 'tidak dikenali'.


Hakikatnya, sekeping kain itu cukup mahal.
Bukan pada harganya, tapi pada nilainya yang tersendiri.
Nilai yang tersurat, juga nilai yang tersirat.


Bagaikan ada suatu tarikan tersendiri kepada wanita yang mengenakan sekeping kain itu di wajah mereka.
Bukan tarikan fitnah manusia, sebaliknya tarikan kepada rahmat Allah sehingga menjadikan mereka mulia.


Tidak mesti ustazah, tidak mesti guru agama.
Mulia itu Allah beri kepada mereka yang mengenakannya atas nama Taqwa.
Itu yang menjadikan mereka tinggi di mata manusia.


Sudah tentu, bukanlah ketinggian di mata manusia itu suatu yang dicita-cita, tetapi itulah kurniaan Allah kepada hamba-hamba yang dipilih-Nya.
Allah memuliakan siapa yang Dia mahu, dan menghinakan siapa yang Dia mahu.


Muslimat yang memilih untuk menutup wajah mereka agar dirinya lebih terpelihara dari fitnah dunia, akan dikurniakan Allah akan suatu nikmat kehidupan dunia yang tidak dirasai oleh sesiapa yang tidak memakainya.

"Saya rasa lebih tenang dan selesa"

"Alhamdulillah..rasa terjaga apabila bergaul dengan manusia"


Selesa, tenang dan bahagia itu letaknya di HATI. Manusia yang memilih untuk mendekati Allah dengan wasilah-wasilah kebaikan, umpama mereka menempah kebahagiaan khusus dengan Allah.
Dan Allah berikan kebahagiaan itu khusus ke dalam hati-hati mereka.


Nampak kolot, tapi hati damai. Nampak 'mudah dibuli' tetapi mendapat penuh penghormatan.
Nampak tak menarik, tapi menarik rahmat dari Tuhan.




BICARA NILAI

Benarlah, nilaian manusia tidak sama dengan nilaian Tuhan.
Sekeping kain itu hanya tinggal sekeping kain yang tiada nilai, kiranya dipakai bukan kerana Tuhan.
Dipakai kerana ikut-ikutan, atau kerana mahukan penghormatan.
Dipakai kerana mahu menjadi ustazah jadi-jadian, atau semata-mata menarik perhatian jejaka idaman.


Allah menilai hati, bukan sekeping kain.
Tetapi sekeping kain yang dipakai kerana Tuhan, impaknya sungguh agung melangkaui nilaian insan.
Justeru, keagungan dan nilai yang tinggi itu jangan dipersiakan.


"Saya nak tengok wajah awak, boleh?"

Permintaan seorang lelaki.
Beradab, jika betul kena caranya.
Tetapi biadab, jika tidak kena pada caranya.


Bagaimana seorang muslimat yang begitu menjaga penampilan dirinya dan menyembunyikan wajahnya dari tatapan lelaki ajnabi, akan menyingkap sekeping kain yang sekian lama menutup wajahnya untuk ditatap oleh seorang lelaki?


Berat.


Perasaan yang tidak dirasai oleh muslimat yang tidak mengenakan sekeping kain di wajah mereka dalam kehidupan sehari-hari.
Jika memakainya hanya kerana manusia atau untuk menarik minat sang jejaka, apa masalahnya, dengan mudah saja boleh dibuka.
Disingkap, dilihat dan ditatap.


Tetapi bergegar singgahsana kehormatan seorang wanita yang memakainya kerana Allah jika mudah-mudah membiarkan wajahnya ditatap oleh sang teruna.
Jadi bagaimana?


Pemuda : Bukankah untuk melamar dan menjadikan isteri itu, harus ditatap wajahnya terlebih dahulu? Nah sekarang, mengapa berdegil untuk menyingkap sekeping kain itu?


Hawa : Ah, engkau tidak akan faham betapa besar nilainya sekeping kain itu kepada aku. Sekeping kain yang telah menjaga perilaku dan tutur kataku saban waktu. Sekeping kain yang menjadikan aku lebih jujur dengan diriku dan lebih telus dengan Tuhanku.


Dilema.
Kedua-duanya ada hak dan hak tersebut perlu ditunaikan.
Islam terbukti bijak meraikan kedua-dua hak tersebut.
Baik di pihak mana pun, mereka tidak akan teraniaya dengan keadilan Islam.

Wahai pemuda, jika benar dirimu berhasrat melamar dan memiliknya, mampirlah bertemu kedua orang tua yang telah mendidik dan membesarkannya.
Tataplah wajahnya sekira-kira mendatangkan keinginan kepadamu untuk menikahinya, namun bukanlah menatap itu tika kamu dan dia berdua-dua.


Wahai gadis yang suci, maruahmu tetap terpelihara.
Singkaplah sekeping kain itu di hadapan si pemuda, bertemankan kedua-dua ibu dan bapa.
Mereka pelindungmu di dunia, selagi dirimu belum bergelar isteri kepada mana-mana pemuda.
Sudah tentu, tidak ada tempat yang lebih layak untukmu menyingkap sekeping kain tersebut melainkan di hadapan ibu dan bapa.



FITNAH
"Aku melihat bagaimana lemahnya iman mereka. Sekejap menutup wajah, sekejap membukanya untuk ditatap sesiapa sahaja. Ada juga yang memakainya sebelum kahwin, tetapi selepas kahwin membukanya pula. Ada yang pakai di luar negara, tetapi tidak pula selepas pulang ke Malaysia"


Bersangka baiklah.
Itukan suatu amalan untuk melatih jiwa dan mendekatkan diri dengan Pencipta.
Bukanlah suatu kewajipan yang mesti untuk semua kaum hawa.

Sekeping kain itu juga adakala bertujuan mengelak fitnah dari mata-mata sang jejaka.
Apatah lagi jika berada dalam suasana yang menggalak dan menyuburkan fitnah tersebut.
Tetapi tika berada di sisi suaminya, ia berbeza.
Tika berada di sisi bapanya, ia berbeza.
Tika berada dalam khalayak ramai tanpa ditemani suami atau bapa, ia juga berbeza.


Apa yang pasti, ia tidak menghilangkan nilai agung pada sekeping kain yang menutup muka.
Nilai itu tetap terpelihara, meskipun dengan cara yang berbeza.
Justeru kenalilah terlebih dahulu sekeping kain tersebut sebelum mengenakannya di wajahmu yang mulia.

Jangan sampai kain tersebut tidak lekang di muka namun di hatimu cuma menganggapnya sebagai sekeping kain biasa.
Memakainya, biarlah bernilai ibadah.
Memakainya, biarlah bernilai solehah.


Moga-moga mujahadahmu di dunia meraih Syurga yang tinggi di akhirat sana.
Ia pasti – insyaAllah – kiranya dirimu benar-benar telus dengan Yang Maha Esa.
Sekeping kain, seribu makna.
Moga kamu mengerti akan nilainya.

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Entri Saya

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...