Hal yang ingin saya ketengahkan ini, berkaitan hukuman rejam yang terdapat dalam daftar hudud yang mana dalam tak sedar menjadi satu alasan menghina agama Islam berkenaan isu rejam. Banyak hal yang boleh jadi pertikaian. Itu pun kalau benar-benar ingin diamati dan dibuat bandingan terpulang atas daya masing-masing. Saya teruskan saja pada topiknya..
Seperti semua sedia maklum. Hal berkenaan hukum rejam tak terdapat dalam mana-mana dalil Al-Quran walau satu ayat sekali pun. Hal ini boleh jadi isu dari sudut penerimaan. Itu pun bagi yang sudi mempertikaikannya. Kita lihat berkenaan hal ini bukan dari sudut anti-hadis. Harap maklum. Sebagai contoh, semua suka ambil bandingan dengan solat. Kene faham dalam Al-Quran terdapat banyak dalil tentang solat cuma kaedah, waktu dan tatacara menunaikannya diterangkan dalam hadis. Tapi sebaliknya tentang hudud, dalam Al-Quran tiada. TIADA. Tapi, dalam hadis ada. Bukan sekadar berita malah tatacara dan penerapan hukum juga diambil dari hadis keseluruhannya.
Kita ambil contoh lain hal berkenaan syahadah, rukun Islam, rukun Iman, malaikat, iblis, syaitan, azab siksa, ganjaran pahala, syurga, neraka dan pelbagai perihal lain lagi terdapat dalam Al-Quran secara dasarnya dan penerangan serta dalil pengukuhan pula terdapat dalam hadis tetapi perihal rejam tiada didasari dari Al-Quran tapi hukum dan penerapan terdapat dalam hadis..? Malah klasifikasi hukum rejam tergolong dalam hudud iaitu hukum Allah atas perintah Allah..?
Itu dari sudut keseragaman atau keselarian antara Al-Quran dan Hadis. Mari kita lihat pertikaian dari sudut lain pula :-
Kita lihat dari dalil hadis ini, Daripada Ibn Umar RA,
"Seorang lelaki Yahudi dan seorang wanita Yahudi telah dibawa kepada Rasulullah SAW. di atas kesalahan melakukan zina. Rasulullah SAW bertanya kepada mereka berdua (lelaki dan wanita Yahudi tersebut), "Apakah hukuman yang sah (untuk dosa penzinaan) yang terdapat di Kitabmu (Taurat)..?" Mereka menjawab, "Rahib-rahib kami telah mereka-reka hukuman iaitu menghitamkan muka dengan arang dan Tajbiya" Abdullah bin Salam berkata, "Wahai Rasulullah, suruhlah mereka untuk membawa Taurat". Taurat dibawa dan salah seorang daripada golongan Yahudi telah meletakkan tapak tangannya diatas ayat yang menyebut tentang Ar-Rajm (rejam dengan batu sehingga mati) dan membaca ayat-ayat sebelum dan selepasnya. Maka berkata Ibn Salam kepada orang Yahudi itu, "Angkat tanganmu". Maka apabila ayat berkenaan Ar-Rajm (sememangnya) berada di bawah tangan lelaki Yahudi itu. Rasulullah SAW telah memerintahkan lelaki dan wanita Yahudi yang melakukan zina itu direjam dengan batu sehingga mati. Ibnu Umar menambah, Kedua-duanya direjam di Balat dan aku melihat lelaki Yahudi itu melindungi wanita Yahudi itu."
(Sahih Al-Bukhari)
Bagi musuh-musuh Islam rejam dilihat sebagai satu hukum yang tak berperikemanusian. Kalau ikutkan justifikasi tu tak berasas sebab dalam agama mereka juga terdapat hukum yang sama. Antaranya terdapat dalam Bible malah terdapat juga dalam taurat. Tapi yang pelik, kenapa tiada dalam Al-Quran yang mana seiring dengan wujudnya hukum tersebut di dalam injil dan taurat. Kenapa tiada dalam Al-Quran..? Menjadi satu persoalan.
Melalui hadis di atas. Kita dapat nyatakan dari tindakan Rasullullah memerintahkan hukuman rejam dijalankan. Tapi timbul lagi persoalan..? Benarkah itu hudud..? Atau takzir..? Jikalau hudud mengapa ambilan hukumnya dari kitab taurat..?
Kita lihat pula ruang longgar tentang rejam dari sudut lain pula :
Ramai dari kalangan muslim mempertahankan rejam sebagai hukum hudud dan menyatakan bahawa ayat tentang hudud di dalam Al-Quran telah mansuh tetapi hukum tetap berjalan..? Justeru itu, saya harap dirujuk surah Al-Baqarah ayat 106 di dalam Al-Quran agar perkara berkaitan mansuh itu jelas.
Terjemahan surah Al-Baqarah ayat 106,
"Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu..?"
Andai saja ayat tersebut telah dimansuh. Apa relevennya..? Atas sebab apa..? Dan atas dasar apa..? Kalau saja perihal rejam tu dah dimansuh. Apa pula gantinya.? Sedangkan dalam Al-Quran sendiri Allah menyebut akan menggantikannya dengan yang setara atau lebih baik lagi.
Andaikan pula ada yang ingin mengatakan bahawa ayat ini dituju kepada puak nasara dan yahudi maka kita boleh ambil kira keterangan hukum dalam kitab mereka dimansuh malah diganti. Andaikan hal ini berlaku. Secara logiknya memang wajar hukum rejam itu terbatal atau mansuh. Itu secara logiknya. Jadi memang wajar saja andai dalam Al-Quran saja yang tak terdapat hukum rejam kalau di buat bandingan keberadaan hukum dalam injil mahu pun taurat kerana hal tersebut sudah diganti..? Itu secara logiknya.
Kita lihat pula hal ini dari bandingan dalil, mafhumnya,
"Sesungguhnya Allah telah membangkitkan Muhammad secara benar, dan diturunkan kepadanya Quran, dan antara yang telah diturunkan kepadanya adalah ayat berkenaan hukum rejam, maka kami (sahabat) telah membacanya, menyedarinya dan memikirkannya, maka Rasul sendiri telah merejam (penzina) dan kami juga merejamnya selepas itu, maka aku bimbang sekiranya berlalu zaman, akan timbul mereka yang berkata : Kami tidak dapati hukum rejam di dalam Kitab Allah, maka jadilah mereka sesat dgn meninggalkan kefardhuan yang diturunkan Allah, sesungguhnya rejam adalah haq dalam kitab Allah, (dikenakan) bagi penzina muhsan dari kalangan lelaki dan perempuan"( Riwayat Bukhhari Hadis No. 6 829 dan 6830, Kitab Al-Hudud dan juga bab-bab lain ; Muslim No 4 394 ; Abu Daud 4 418 ; At-Tirmidzi 1 432 ; Ibn Majah 2 553 ; Tuhfatul Asyraf, Imam Al-Mizzi 10 508)
Imam An-Nawawi menghuraikan athar ini menyatakan bahawa memang ayat rejam telah dimansuhkan, tetapi hanya dimansuhkan pada LAFAZNYA SAHAJA, MANAKALA HUKUMNYA TETAP KEKAL. Maka kisah Umar ini, yang mana beliau menaiki mimbar lalu berucap di hadapan para sahabat tanpa ada sahabat lain mengingkarinya, ini adalah dalil jelas thabit ijma' sahabat terhadap hukuman rejam, walaupun lafaz ayat telah dinasakhkan. Malah Imam Nawawi menyatakan, Umar telah dapat melihat menjangka akan ada kumpulan yang mengingkari rejam samada secara karamah ataupun dari Rasululah sendiri. (Al-Minhaj Syarh Muslim, M/S 192)
Dalam keterangan tersebut menyebut bahawa rejam merupakan sebuah kefardhuan. Yang mana haq dalam kitab Allah. Justeru meninggalkannya bakal membawa kepada kesesatan dan jadilah orang-orang yang sesat..? Terus-terang saya tak ada ilmu untuk menolak keterangan tersebut malah saya tak mampu tapi, andai dirujuk pula pada hadis yang lain, rujuk di bawah :-
"Ketika Rasulullah SAW berada di masjid, datanglah seorang pemuda menghadap beliau dan melaporkan, "Ya Rasulullah, aku telah berbuat zina" Mendengar pengakuan itu Rasulullah SAW berpaling daripadanya, sehingga pemuda itu mengulangi pengakuannya sampai 4 kali. Kemudian Rasulullah SAW bertanya, "Apakah engkau gila..?" Pemuda itu menjawab "Tidak" Rasulullah SAW bertanya lagi, "Apakah engkau orang muhsan..?" Pemuda itu menjawab, "Ya" Maka Rasulullah SAW memerintahkan kepada para sahabat, "Bawalah dia pergi dan rejamlah"(Riwayat Bukhari)
Dalam dalil ini menyebut, Rasulullah berpaling. Adakah Rasulullah mengelak dari kefardhuan..? Semua pun tahu bahawa Rasulullah tak menyukai pengakuan itu. Malah lebih baik si polan itu bertaubat nasuha sahaja kepada Allah. Tapi perkara yang ingin saya ketengahkan di sini. Kenapa perlu dielak dari mendengar pengakuan tersebut andai hal itu sebuah kefardhuan..? Cuba ditinggalkan..? Sesatlah andai ditinggalkan merujuk pada 2 penyataan di atas..? Timbul persoalan di benak fikiran. Benarkah kefardhuan..? Atau takzir hukuman dari pemerintah..?
Kita lihat pula pertikaian dari sudut yang lain pula agar kita nampak point apa sebenarnya yang nak dibangkitkan berdasarkan beberapa khilaf yang saya kutip dari beberapa buah buku hasil dari bacaan saya pada satu masa dahulu, ada yang menyata bahawa hal hudud berkaitan zina tiada beza antara sudah berkahwin atau pun yang bujang teruna dalam khilaf tersebut mereka memberi dalil,
"Penzina-penzina perempuan dan lelaki hendaklah kamu jilid tiap-tiap seorang daripadanya dengan 100 kali jilid"
Ayat di atas menjelaskan hukuman jilid dan bukan rejam dengan tidak membezakan di antara teruna dengan dara sedangkan hukuman rejam adalah yang paling berat dalam Islam oleh itu hendaklah disabitkan dengan dalil yang qat’i iaitu dengan Al-Quran atau Sunnah yang mutawatir. Sedangkan tidak ada nas Al-Quran manakala Sunnah mengenai rejam pun adalah dari khabar ahad yang tidak pasti kesahihannya. Ade kisah dan riwayat sejarah menceritakan sesetengah tabi'in bertanya adakah hadith-hadith mengenai rejam itu sebelum surah An-Nur atau sesudahnya maka seorang sahabat Rasulullah menjawab tidak tahu. Maka dengan jelas hal ini dengan sendirinya adalah dalil yang dalam samar-samar dalam mengekalkan hukum rejam.
Masih banyak lagi perkara yang boleh jadi pertikaian dalam hal rejam ini. Itu pun bagi yang ingin menelitinya terpulang sekali lagi saya katakan. Tiada saya ingin mempertikaikan hukum Islam tetapi hanya ingin meneliti kebenaran di balik kebenaran. Andai saya salah dalam hal ini perbetulkanlah saya agar saya peroleh kebenaran dari jalan yang benar dan saya harap jangan dihukum saya dengan menyata seperti khawarij, kuffur, fasiq, munafik, kafir dan sebagainya. Jangan pula melontar tuduhan tak boleh fikir logik ke dan apa-apa saja. Saya melihat perkara ini dari jalan selaras dan saya bersederhana dalam hal ini. Moga Allah kurniakan kebaikan atas insan-insan yang berfikir.
Andai Tuan atau Puan punya dalil yang lebih kukuh atau keterangan yang mampu saja mematahkan bicara dalam artikel ini atau jawapan yang munasabah untuk semua soalan dalam artikel ini, silakan untuk di kemukakan dengan cara yang sewajarnya. Moga kita sentiasa terlindung di bawah lindungan rahmat Allah.