SURAT UNTUK ADAM

Wahai Adamku..



Aku asalnya dari tulang rusukmu yang bengkok. Jadi, tidak hairanlah jika perjalanan hidupku sentiasa inginkan bimbingan darimu tatkala aku sentiasa mahu terpesong dari landasan.. kerana aku buruan syaitan.




Adam.. Maha suci Allah yang mentakdirkan kaumku lebih ramai bilangannnya dari kaummu di akhir zaman, itulah sebenarnya ketelitian Allah dalam urusan-Nya. Jika bilangan kaummu mengatasi kaumku nescaya merahlah dunia kerana darah manusia, kacau bilaulah suasana kerana Adam sama Adam bermusuhan kerana Hawa. Buktinya cukup nyata dari peristiwa Habil dan Qabil sehinggalah pada zaman cucu-cicitnya. Pun jika begitu maka tidak selaraslah undang-undang Allah yang mengharuskan Adam beristeri lebih dari satu tapi tidak lebih dari empat pada satu waktu.


Adam..




Bukan kerana ramainya isterimu yang membimbangkan aku. Bukan kerana sedikitnya bilanganmu yang merunsingkan aku. Tetapi... aku risau, gundah gulana menyaksikan tingkahmu. Aku sejak dulu lagi sudah tahu bahawa aku mesti tunduk ketika menjadi isterimu. Namun... terasa berat pula untukku menyatakan isi perkara.


Adam..




Aku tahu bahawa dalam Al-Quran ada ayat yang menyatakan kaum lelaki adalah menguasai terhadap kaum wanita. Kau diberi amanah untuk mendidik aku. Kau diberi tanggungjawab untuk menjaga aku, memerhati dan mengawasi aku agar sentiasa di dalam redha Tuhanku dan Tuhanmu.


Tapi Adam, nyata dan rata-rata apa yang sudah terjadi pada kaumku kini. Kami dibiarkan terumbang-ambing tanpa haluan, malahan engkau juga mengambil kesempatan atas kelemahanku. Di mana perginya keadilanmu..?




Asalnya Allah menghendaki aku tinggal tetap di rumah. Aku akur asalkan aku keluar dari rumah, seluruh tubuhku mesti ditutup dari hujung kaki sampai hujung rambut... tetapi realitinya kini, Hawa telah lebih dari sepatutnya.


Adam..


Mengapa kau biarkan aku begini..? Apakah kau sekarang tidak lagi seperti dulu..? Apakah sudah hilang kasih sucimu terhadapku..? Adakah akhlak kaum Adam boleh dijadikan contoh terhadap kaum Hawa..?



Adam..




Kau sebenarnya Imam dan aku adalah makmummu. Aku adalah pengikutmu kerana kau adalah ketuaku. Jika kau benar, maka benarlah aku. Jika kau lalai, lalailah aku. Kau punya kelebihan akal manakala aku kelebihan nafsu. Akalmu sembilan, nafsumu satu. Aku..? Akalku satu, nafsuku sembilan. Oleh itu Adam, pimpinlah, bimbinglah aku kerana aku sering lupa, lalai dan alpa sehingga aku tergelincir ditolak sorong oleh nafsu dan kuncu-kuncunya. Bimbinglah daku untuk menyelami kalimah Allah.  Perdengarkanlah daku kalimah syahdu dari Tuhanmu agar menerangi hidupku.  Tiuplah roh jihad ke dalam dadaku agar aku menjadi mujahidah kekasih Allah.




Adam..




Andainya kau masih lalai dan alpa dengan karenahmu sendiri, masih segan mengikut langkah para sahabat, masih gentar mencegar munkar, maka kita tunggu dan lihatlah, dunia ini akan hancur bila kaumku yang akan memerintah. Malulah engkau Adam, malulah engkau pada dirimu sendiri dan pada Tuhanmu yang Agung. Maafkan aku sekali lagi Adam.. Andainya warkah yang ku layangkan ini menimbulkan amarah di dadamu. Jauh sekali niatku untuk membuat kau keliru apatah lagi menjadi buntu. 



Waspadalah Adam,


Andai auratku terdedah. Andai suaraku mengatasimu. Andai langkah seiringmu. Andai maruahku dirobek maka engkaulah yang bakal membawaku kepada kebenaran. Usah dipersalahkan Hawa lantaran tewas mengemudi bahtera andai si Adam masih lena diulit mimpi. Tetapi percayalah..!! Bukan emas yang ku cari.. Bukan berlian yang ku pinta.. Tetapi, Hanyalah hati yang tulus ikhlas darimu.




Adam.



Dengarlah keluhan hatiku buat dirimu..





Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Entri Saya

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...