TABARRUJ..? BOLEH JE

Sebelum tu boleh buka entry ni dulu..


Pertama sekali, suka saya menyebutkan hadith ini dari kata-kata Rasulullah SAW yang bermaksud,

"Aku pernah berdiri di hadapan pintu neraka, ternyata aku melihat sebahagian besar penghuninya adalah wanita"

"Aku pernah menjenguk ke neraka dan melihat sebahagian besar penghuninya adalah kaum wanita"
(Kedua-dua adalah Hadis Sahih Bukhari dalam Bab Al-Nikah)


Pengertian Tabarruj Sorotan Kitab menurut Adnan Al-Tharsyah (Serba-Serbi Wanita, M/S 111 - 113), tabarruj adalah mempamerkan keindahan tubuh, sufur adalah memperlihatkan aurat, khalwat adalah berdua-duaan dengan lelaki bukan mahram, ikhtilat pula bercampur-gaul dengan lelaki di pelbagai kegiatan.


Sayyid Muhammad Nuh (Penyebab Gagalnya Dakwah Vol 1, M/S 69 - 70), antara penyebab wanita gagal dalam menjalankan kerja-kerja dakwah adalah kerana wanita melakukan tabarruj yakni membuka aurat.


Shofian Ahmad (Aurat : Kod Pemakaian Islam, M/S 103), pakaian yang dipakai oleh wanita disyaratkan tidak melebihi objektif perhiasan, tetapi lebih mengutamakan objektif syariat iaitu menjaga aurat. Hal ini disebabkan pakaian pada prinsipnya untuk menutup anggota badan supaya pandangan orang tidak tertumpu kepadanya. Justeru, apabila pakaian perhiasan adalah secara keterlaluan dengan pelbagai aksesori perhiasan sehingga menarik perhatian orang, maka hilanglah fungsi sebenar pakaian.


Apabila objektif pakaian itu ialah berhias, maka hukum memakainya ketika keluar rumah adalah ditegah. Bahkan, menurut Al-Maududi, setiap perhiasan dan setiap yang diperhiaskan oleh wanita dengan tujuan menarik perhatian orang asing, maka ia dikatakan "tabarruj al-jahiliah". Sedangkan motif pakaian dalam Islam lebih kepada penutupan aurat bukan sebagai perhiasan.


Yusof Al-Qaradawi (Fatwa-Fatwa Kontemporari II, M/S 465), menyenaraikan beberapa peringatan dalam etika berhias bagi wanita, antaranya ; bahawasanya dibolehkan membuka wajah (menampakkan rupa paras) tidak dimaksudkan agar si wanita menghiasnya dengan bermacam-macam bedak dan perfume yang berwarna-warni. Begitu juga dengan tangan yang dibenar diperlihatkan tidak dimaksudkan agar mereka memanjangkan kuku dan mengecatnya. Tetapi hendaklah wanita itu keluar dengan sopan, tidak bersolek dan bermake-up berwarna warni, dan tidak tabarruj yakni menampakkan aurat, berpakaian mini, tipis atau yang membentuk lekuk tubuh. Yang diperbolehkan adalah perhiasan yang ringan-ringan, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas dan yang lainnya iaitu celak di mata dan cincin di jari. Tabarruj yang dilarang menurut Al-Qaradawi hanya dinamakan tabarruj apabila wanita itu melangkah keluar dari rumah. (Ibid, M/S 543)


Dalam pergerakan seseorang wanita, janganlah terlalu berlenggang-lenggok dan menarik perhatian.

"(Iaitu) wanita-wanita yang menyimpang dari ketaatan dan menjadikan hati lelaki cenderung kepada kerosakan (kemaksiatan)"
(HR Ahmad dan Muslim) 


Huraian Hadis : 

Mumiilat dan Maailat mengandungi 4 pengertian :-

  1. Pertama, menyimpang dari mentaati Allah dan enggan memenuhi kewajibannya seperi menjaga kehormatan dan sebagainya, dan mengajari wanita lain supaya berbuat seperti itu.

  2. Kedua, berjalan dengan sombong dan melenggang-lenggok, meliuk lintuk tubuhnya.

  3. Ketiga, maailat, menyisir rambutnya sedemikian rupa dengan gaya pelacur. Mumiilat, menyisir wanita lain seperti sisirannya.

  4. Keempat, cenderung kepada lelaki dan berusaha menariknya dengan menampakkan perhiasannya dan sebagainya.
    (Syarah Muslim, 17 : 191)


Dr. Yusof Al-Qaradawi (Fatwa Kontemporari Vol II Terjemahan M/S 393), mengatakan,

"Pihak wanita harus mengenakan pakaian yang sopan yang dituntut oleh syara', yang menutup seluruh tubuh selain muka dan telapak tangan. Jangan yang tipis dan jangan dengan potongan yang menampakkan bentuk tubuh"


Allah berfirman dalam Surah An-Nur ayat 31 yang bermaksud,

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya"


Diriwayatkan dari beberapa sahabat bahawa perhiasan yang boleh diperlihatkan adalah muka dan tangan. Allah berfirman mengenai sebab diperintahkanNya berlaku sopan,

".. yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu"
(Al-Ahzab : 59)


M.A. Muabbir Al-Qathany (Pesan Untuk Muslimah, M/S 32), pemikir Barat kini telah mulai mengingatkan bangsanya dengan apa yang pernah terjadi dengan bangsa Romawi akibat tabarruj dan ikhtilat para wanita. Tabarruj, menampakkan auratnya di depan orang yang bukan mahramnya. Di dalam Majalatut Majallat, Jilid 11, Mr Lois Browl menyebutkan,

"Sesungguhnya kerosakan-kerosakan dalam dasar-dasar politik itu terdapat di setiap zaman. Yang paling mengejutkan adalah bahawasanya penyebab-penyebab kerosakan itu adalah sama, dari zaman dulu sampai sekarang, iaitu wanita..! Wanitalah sebagai pelaku terpenting mengubah akhlak dan moral yang mulia"


Anang Harris Himawan (Bukan Salah Tuhan Mengazab, 2007, M/S 8 - 10), tabarruj adalah berhias dengan tujuan bukan untuk menyenangkan si suami, tetapi untuk orang lain. Bahkan kebiasaan yang terjadi di kalangan wanita adalah berhias yang mereka lakukan cenderung berlebihan sehingga menjadi riya'. Sikap berlebih-lebihan dalam berhias inilah yang menurut mereka dapat menjadi penyebab ransangan seksual. Ada pun dasar yang digunakan adalah firman Allah dari Surah Al-Ahzab ayat 33.


Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

"Ada dua kelompok penghuni Neraka yang belum pernah aku melihatnya ; satu kaum yang bersama mereka terdapat cemeti seperti ekor sapi, dengannya mereka memukul orang-orang. Dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang ; berlenggang-lenggok dan bergoyang-goyang; kepala mereka seperti punuk unta yang bengkok. Mereka tidak akan masuk Syurga dan tidak juga mencium baunya. Sesungguhnya bau Syurga itu sudah tercium dari jalak perjalanan sekian lama dan sekian lama." Dalam lafaz yang lain disebut, "Sesungguhnya bau Syurga itu sudah tercium dari jarak perjalanan begini dan begitu"
(Disusun dari Syarh An-Nawawi XIV / 357, Muslim Kitab "Al-Libaas Wa Al-Zinah" , Bab An-Nisa' Al-Kaasiyaat, No. 2 128 Dan Kitab Al-Jannah Wa An-Naar, Bab 'An-Naar Yadkhuluhal Jabbaaruun' , No. 2 128)


Dr. Danial Zainal Abidin (Minda Muslim Super, 2008, M/S 54 - 55) mengulas mengenai tafsir Surah Al-Ahzab ayat 33 ; berhubung ayat ini, Imam Mujahid berkata, 

"Suatu masa dahulu, golongan wanita berjalan di hadapan lelaki (tanpa segan silu). Inilah yang dimaksudkansebagai tabarrujul jahiliah" 


Imam Qatadah pula berkata, 

"Suatu masa dahulu, kaum wanita berjalan di hadapan lelaki dengan gaya yang mengghairahkan. Inilah yang dimaksudkan dengan tabarrujul jahiliah yang terdahulu"


Imam Muqatil bin Hayyan pula berkata, 

"Tabarruj berlaku apabila wanita menutup kepala mereka dengan kain tudung tetapi masih mendedahkan leher, rantai dan subang mereka"


Rujuklah Surah An-Nuur ayat 30 yakni seruan supaya kaum lelaki dan kaum beriman menundukkan pandangan mereka, jaga kehormatandan kemaluan mereka.


Syeikh Abdul Wahab Abdussalam Thawilah (Panduan Berbusana Islami, 2007, M/S 85 - 86), mengatakan tabarruj adalah memperlihatkan bahagian perhiasan yang mengundang perhatian. Hal ini dilarang baik bagi wanita menopause mahupun yang lainnya. Abu Hayyan ada mengatakan,

"Pengertian tabarruj adalah memperlihatkan sesuatu yang wajib disembunyikan sekalipun tidak bermaksud untuk bersolek"


Kemudian, Syeikh menyentuh pentafsiran Surah An-Nuur ayat 31 (Di Halaman 76 - 77)

"Kecuali yang biasa tampak darinya" 


Adalah pakaian luar yang tidak memuat unsur tabarruj yakni memperlihatkan perhiasan dan keindahan seperti yang dikenakan di luar pakaian. Hal ini kerana pengertian ziinah (perhiasan) yang berulang kali disebutkan dalam Al-Quran adalah perhiasan yang melampaui batas kewajaran, bukan perhiasan sebagai bahagia dari pakaian yang lazim.


Fadwal El Guindi, Ph.D (Jilbab, 1999, M/S 33 Dan Berkaitan) menyebutkan konsep tabarruj adalah sifat mempamerkan diri dalam tingkah laku dan cara berpakaian yang sering terjadi dalam masyarakat pra-Islam, serta termasuk dalam perbuatan yang dibenci dalam Islam.


Sifat mempamer ini dilakukan melalui gaya berjalan berlenggang-lenggok yang mudah terjadi pada pakaian ketat. Beliau juga menyebutkan (Halaman 319), tabarruj adalah lawan kepada tahajjub (berhijab tutup aurat), yakni penampilan mempamer dan perilaku yang tidak patut.

"Barangsiapa mengenakan pakaian untuk mencari populariti di dunia, nescaya Allah akan mengenakan pakaian kehinaan kepadanya pada hari kiamat, kemudian membakarnya dengan api neraka"
(HR Abu Dawud dan Ibnu Majah)


M. Fauzi Rachman (The Hikmah 4U, M/S 58) ; Syeikh Sayyid Sabiq mendefinisikan tabarruj ertinya memperlihatkan dengan sengaja apa yang seharusnya disembunyikan. Tabarruj asal maknanya ialah keluar dari istana. Kemudia kata ini digunakan dengan erti keluarnya perempuan dari kesopanan, menampakkan bahagian-bahagian tubuhnya yang mengakibatkan fitnah atau dengan sengaja memperlihatkan perhiasan-perhiasan yang dipakainya untuk umum.


M. Nasib Ar-Rifa'i (Ringkasan Tafsir Ibnu Kathir Jilid 3, 2000, M/S 853) menukilkan dari Tafsir Ibnu Kathir, firman Allah dari Surah Al-Ahzab ayat 33, maksudnya apabila mereka keluar rumah, mereka harus berjalan cepat, tidak boleh lincah, genit gedik, dan tabarruj, iaitu menanggalkan tudung yang ada di kepalanya serta tidak mengikatnya dengan kuat sehingga nampaklah kalungnya, leher dan tengkuknya. Inilah makna tabarruj.


Menjawab persoalan pakaian yang berwarna merah samada tabarruj atau tidak :-


Pengaju soalan : (KMUP , 2011) : "Al - Imam Ibn 'Abd Al - Barr (463) :

"Adapun wanita maka ulama tiada perbezaan pendapat bahawa harus mereka memakai warna mu’asfar (merah), mufaddam (tersangat merah), warna ros, merah tanah"
(Al-Tamhid, 16 / 123, Muassasah Al - Qurtubah)


Jawapan (Bersumber dari Ustaz Aris Munandar Muslim Or ID) :


Dari Abdullah bin 'Amr bin al 'Ash, Rasulullah pernah melihatku mengenakan pakaian yang dicelup dengan 'ushfur maka Nabi menegurku dengan mengatakan, 

"Ini adalah pakaian orang-orang kafir jangan dikenakan"


Dalam lafaz yang lain, Nabi melihatku mengenakan kain yang dicelup dengan 'usfur maka Nabi bersabda, 

"Apakah ibumu memerintahkanmu memakai ini..?" 


Aku berkata, 

"Apakah ku cuci saja..?" 

Nabi pun bersabda, 

"Bahkan bakar saja"
(HR Muslim)


Ibnu Hajar menjelaskan majoriti kain yang dicelup dengan 'ushfur itu berwarna merah (Fathul Bari, 10 / 318) Imam Nawawi pula menisbahkan "bahkan bakar saja" itu adalah sebagai bentuk hukuman dan pelarangan keras terhadap pelaku dan yang lainnya agar tidak melakukan hal yang sama.


Tetapi, hadis dari Al Barra' adalah sebaliknya, beliau mengatakan,

"Nabi adalah seorang yang berbadan tegap. Ketika Nabi mengenakan pakaian berwarna merah maka aku tidak pernah melihat seorang yang lebih tampan dibandingkan beliau"
(HR Bukhari dan Muslim)

Mengapa ada perselisihan di sini..? Jawapannya adalah ditegaskan bahawa yang terlarang adalah kain yang berwarna merah tanpa corak tanpa campuran warna selainnya. Sehingga jika kain berwarna merah tersebut bercampur dengan garis-garis yang tidak berwarna merah maka diperbolehkan.


Ulama' memberikan huraian sebagaimana berikut tentang memakai pakaian berwarna merah terdapat beberapa pendapat ulama' :-

  1. Membolehkan secara mutlak


    Inilah pendapat dari 'Ali, Tholhah, Abdullah bin Ja'far, Al Barra' dan para sahabat yang lain. Sedangkan di antara tabi'in adalah Sa'id bin Al-Musayyib, An-Nakha'i, Asy-Sya'bi, Abul Qilabah dan Abu Wa'il.


  2. Melarang secara mutlak


  3. Makruh


    Hukum makruh berlaku untuk kain berwarna merah membara dan tidak untuk warna merah yang redup. Pendapat ini dinukil dari Atho', Thowus dan Mujahid.


  4. Makruh


    Hukum makruh berlaku untuk semua kain berwarna merah jika dipakai dengan maksud semata berhias atau mencari populariti namun diperbolehkan jika dipakai di rumah dan untuk pakaian kerja. Pendapat ini dinukil dari Ibnu Abbas.

  5. Diperbolehkan jika dicelup dengan warna merah semasa berupa kain baru kemudian ditenun dan terlarang jika dicelup setelah berupa tenunan. Inilah pendapat yang dicenderungi oleh Al-Khathabi.

  6. Larangan hanya berlaku untuk kain yang dicelup dengan menggunakan bahan 'ushfur kerana itulah yang dilarang dalam hadith sedangkan bahan pencelup selainnya tidaklah terlarang.

  7. Yang terlarang adalah warna merah membara bukan semua warna merah dan pakaian tersebut digunakan sebagai pakaian luar kerana demikian itu adalah gaya berpakaian orang yang tidak tahu malu.

  8. Sedangkan pendapat terakhir, yang terlarang adalah jika kain tersebut seluruhnya dicelup dengan warna merah. Tapi jika ada warna selainnya, seperti putih dan merah maka tidak mengapa.


Dari Abu Usamah (alfikrah.net) dari kitab (Sheikh Abu Malik Kamal Bin As - Sayyid Salim, Sahih Fiqh As - Sunnah, Terjemahan : Sahih Fiqih Sunnah, jilid 4, M/S 19 - 21, Terbitan Pustaka At - Tazkia) :


Ulama terbahagi kepada dua kumpulan di dalam hal ini iaitu :


1. Makruh memakai pakaian berwarna merah. Ini merupakan mazhab Hanafiah dan Hanabilah. Hujah mereka ialah :


Hadis Al-Bara' bin Azib, beliau berkata,

"Nabi SAW memerintahkan kami 7 perkara dan melarang kami 7 perkara. Kemudian beliau menyebutkan antara di antaranya bantal berwarna merah"
(Sahih, Al - Bukhari : 5 849, dan Muslim : 2 066)


Dalam riwayat lain, hadis Imran Bin Husain RA,

"Baginda melarang memakai bantal yang berwarna merah terang"
(HR At - Tirmizi : 2 788, beliau menyatakan hadis ini Hasan Sahih), pengarang menyatakan hadith ini Dhaif.


Argumen :

1. Pengarang kitab ini membantah penggunaan hadis ini sebagai dalil kerana menurut beliau hadis ini membicarakan tentang bantal berwarna merah, bukannya pakaian.


Boleh memakai pakaian warna merah. Ini ialah mazhab Malikiah dan Syafiiyyah. Hujah mereka ialah :


Hadis Al-Bara bin Azib RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda,

"Nabi adalah orang yang berdada bidang, beliau mempunyai rambut yang mencecah kedua telingaaku pernah melihat baginda saw memakai pakaian yang berwarna merah. Aku belum pernah melihat sesuatu yang lebih indah daripada itu"
(Sahih Al - Bukhari : 5 848)


Dari Jabir bin Samurah RA, beliau berkata,

"Aku melihat Nabi SAW pada malam idhiyan (malam yang bulan terang benderang), lalu aku memerhatikan Nabi SAW dan bulan, sedangkan saat itu baginda SAW memakai pakaian berwarna merah. Ternyata bagiku baginda SAW lebih indah daripada bulan"
(At - Tirmizi : 2 811, An - Nasai Dalam Al - Kubra : 9 460, Abu Ya'la (7 477) Al - Hakim : IV / 207)


 Pengarang mengatakan hadith ini dhoif tetapi diperkuatkan oleh hadith sebelumnya.


Argumen :

1. Kumpulan ulama no 1 (Hanabilah dan Hanafiah) membalas dengan menyatakan bahawa pakaian yang Rasulullah SAW pakai bukanlah warna merah sepenuhnya, bahkan bercampur dengan warna-warna yang lain.


Kesimpulan pengarang :


  1. Hujah kumpulan ulama yang memakruhkan tidak kuat.

  2. Zahir nas menunjukkan tidak mengapa jika memakai pakaian berwarna merah.

  3. Meninggalkan pakaian yang sepenuhnya berwarna merah yang tidak ada warna yang lain adalah lebih utama dan selamat kerana keluar daripada perselisihan adalah digalakkan.

"Khuruj min al-khilaf mustahhab"


Syarat-syarat umum sesuatu fesyen ataupun busana itu menepati hukum syara' :

  1. Tidak ketat sehingga menampakkan bentuk badan.

  2. Tidak nipis.

  3. Tudung hendaklah melepasi paras dada.

  4. Tidak diperagakan dengan digaya-gayakan di hadapan ajnabi seperti catwalk dalam peragaan fesyen walaupun dikatakan ia menutup aurat.

  5. Tidak berhias dan bersolek seperti tabarruj jahiliyyah.



Penutup :

1. Abdul Qadir Ahmad 'Atha (Syurga di Mata Ahlussunnah, 1995, M/S 110) mengupas dengan menarik sekali mengenai wanita penghuni syurga. Firman Allah dari Surah Al-Baqarah ayat 25 yang bermaksud,

".. dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci dan mereka kekal di dalamnya"


Suci segalanya zahir dan batin dari segala jenis bentuk najis dan kotoran. Allah berfirman jua dalam surah Ad-Dukhan ayat 54 yang bermaksud,

"Demikianlah, dan Kami berikan kepada mereka bidadari Hurul 'Ein (bidadari) wanita muda yang cantik paras rupanya"


Imam Mujahid mentafsirkan ayat "Qaasiraatu Al-Tharfi" (yang sopan) dengan pendek pandangannya, hanya memandang suaminya, tidak selain dia.


Menurut Imam Hassan, mereka tidak bertabarruj yakni bersolek dan bercantik-cantik untuk dipandang orang lain dan tidak ingin dilihat orang selain suaminya. Subhanallah..! Malulah wanita yang bakal jadi ketua bidadari di syurga nanti jika bertabarruj di dunia.

Tak puas hati lagi..? Pergi cari dan sila baca buku penulisan Abu Syuqqah "Tahrirul mar'ah fi 'ashrir risalah (Kebebasan Wanita Pada Zaman Risalah)" Ada 6 jilid semuanya.. Harga RM 240.. Buku ni diiktiraf bagus oleh Dr. Yusuf Al-Qardhawi.

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Entri Saya

PERSEDIAAN SEBELUM BERNIQAB

Entri kali ni adalah sambungan dari entri ni.. Ok, dulu saya ada cakap yang saya akan buat satu entri tentang persediaan sebelum berniqab..



Penuhi Perkara Wajib

Orait, first of all, sebelum nak berniqab tu, first sekali mende yan kene buat ialah, tengok diri dulu.. Dalam erti kata lain adalah cermin diri.. Tengok diri sendiri di cermin dan lihat diri kita.. Cari mana yang kurang dan silap diri kita tu.. Ok, soal pada hati dan qolbu,


"Adakah aku dah penuhi yang wajib..?"


 Jika, tudung pun masih singkat, lengan nampak, pakaian ketat, jarang pulak lagi, maka TANGGUHKAN niat nak berniqab tadi tu.. Saya tak cakap BATALKAN niat eh.. Saya cakap, TANGGUHKAN niat berniqab tadi tu.. Saya bukan nak larang atau bangkang.. Tapi, adalah baik jika kita tunaikan dulu yang wajib dan istiqomah, dan lepas tu baru buat yang sunnah..


Ingat ye.. Niqab ni pakaian sunnah para isteri Rasulullah SAW.. Jadi, sangat-sangat perlu dan wajib dipelihara.. Jangan jadikan pakaian sunnah ini sebagai fitnah.. Saya suka lihat isu semasa.. Bukan mencari kesalahan orang lain ye.. Cuma nak ajak masing-masing agar dapat memperbaiki diri bersama.. Kadang-kadang ada yang complain mengatakan ada muntanaqibah (Insan berniqab A.K.A niqabi) ni tutup muka tapi, lengan nampak, dada nampak, pakaian ketat, jarang, akhlak tak jaga.. Jadi, sedikit sebanyak si fulan tu tadi, dah mendatangkan fitnah buat para niqabi yang lain.. Kerana nila setitik rosak susu seperigi..


Jika, perkara yang wajib pun masih TAK MAMPU nak pelihara, macam mana nak pelihara pakaian atau perkara sunnah..? Jadi, peliharalah diri dengan penuhkan yang wajib dan lepas tu buat la yang sunnah..



Niat

Yang kedua, NIAT.. Tengok niat balik.. Adakah nak pakai niqab ni sebab trend, fashion, nak dapat pujian, bajet alim dan warak, tuntutan atau pun IKUT-IKUTAN..? Kalau kerana trend, fashion, ikut-ikutan, saya nasihatkan kita TAJDID niat kita tu.. Nanti tak pasal-pasal ramai yang tak tahu hukum berniqab ni, main ikut pakai je.. Yela, kalau kerana ikut-ikutan trend dan fashion, nak dapatkan pujian, bajet alim, semestinya ramai yang akan ikut nanti untuk pakai jika niatnya begitu.. Sedangkan tidak tahu asal usul dan tujuan berniqab yang sebenarnya.. Cukuplah, situasi 1 tadi dah mendatangkan fitnah buat para muntanaqibah, ni kita pula nak tambahkan lagi fitnah-fitnah tu..? Cukup-cukuplah.. Dah mampu nak jawab depan Allah nanti..? Fikir-fikirkanlah..


Saya bukan perlekehkan, tapi, kerana perbuatan begitulah nanti, orang lain yang tak bersalah turut mendapat cacian, hinaan.. Tapi, diorang tak salah.. Yang salah adalah kita yang buat perkara tu.. Tak kasihan ke..? Kita bukan sahaja menyebabkan orang lain dicaci-maki, dek kerana sifat kita tu, tapi juga dah menyebabkan orang ramai mengutuk pakaian dan sunnah ni..



Sumber WeHeartIt


Kalau kerana tuntutan, maka teruskanlah.. Kalau niat kita lain dari atas tu, maka tajdid lah niat tu balik.. Ada setengah kes, dia hanya berniqab di tempat-tempat tertentu, tempat yang ramai orang, atas sebab nak jaga keselamatan dan diri.. Itu tak menjadi masalah.. Kerana hikmah pemakaian niqab ni, pun, sebab nak jaga keselamatan salah satunya.. Maka teruskanlah.. Saya percaya, jika sekali dah pakai, lama-lama nanti, mesti rasa nak teruskan pakai.. Istiqomah.. InsyaAllah..



Cari Ilmu

Lepas tu, ILMU.. Ilmu kene ada.. Ni satu hal yang orang tak ambil peduli.. Ilmu ni sangat penting.. Memudahkan kita menjawab soalan jika ada insan yan tak tahu dan nak tahu bertanya pada kita.. Ilmu ni bukan je dapat menambah ilmu orang lain, malah dapat menambah ilmu kita, diri sendiri juga.. Kadang-kadang, bila ada kes orang tanyakan,


"Kenapa awak berpurdah eh..?"


Haaa, mulalah tu.. Tercengang-cengang.. Tak tau nak jawab apa.. Sekurang-kurangnya, carilah ilmu tentang asal usul niqab ni, kenapa dan apa tujuan niqab ni.. Dalam sirah, sapa yang berniqab. Sapa para isteri Rasulullah SAW yang berniqab.. At least, cari tahu la point-point tu..


Lepas tu, cari la hukum berniqab.. Bertanyalah pada yang faqih.. Biasalah, manusia ni suka judge orang dari pakaian.. Dan kebanyakannya akan fikir si niqabi dan si serban ni jenis yang banyak ilmu dan warak.. Padahal tak pun.. Biasa-biasa je.. -,-' Bukan lah saya memaksudkan menyuruh kita fikirkan pandangan manusia, tak.. TIDAK sama sekali.. Tapi, supaya kita tak meninggalkan si penanya dalam keadaan tanda tanya.. Bila kita ada ilmu, kita dapat berdakwah.. Mungkin dalam kita sedang menjawab soalan-soalan dia tu, dapat mengubah dia ke.. Dapat mengajak si mad'u berniqab ke.. Haa, mana tau kan.. Kemungkinan tu ada.. Kalau boleh, ingat dan hafal la serta pahamkan sekali dalil-dalil pasal niqab..



Adab Sopan dan Akhlak

Lepas tu, AKHLAK dan ADAB SOPAN.. Ramai jugak sebenarnya yan tak menitik beratkan hal ni walaupun diri dah bertutup litup semua.. Ada juga yang masih menggunakan kata-kata yang kesat, mencarut dan sebagainya ketika berbicara.. Saya akui, memang ada.. Bab ni sangat penting.. Islam sendiri mementingkan adab dan akhlak dalam kalangan umatnya.. Tapi, sekarang ni, ekoran oleh pengaruh movie-movie yang tak memberi manfaat, ramai yang bermulut celupar.. Tak kisah la, dia tu tertutup atau terdedah.. Perkara ni sebenarnya sedikit sebanyak merosakkan image para muntanaqibah yang lain.. Sama seperti di atas tadi.. Kerna nila setitik rosak susu sebelanga.. Usahalah untuk sentiasa memperbaiki diri.. Yang orang lain tu pulak, jangan asyik menghukum je. Bimbinglah sekali..


Mereka pun insan biasa.. Bukan malaikat yang tiada dosa.. Kadang-kadang, yang buat perkara tu sorang dua je.. Tapi, manusia ni menghukum seolah-olah semua pun same je.. Biasa la manusia, memang suka menilai.. Kebanyakan dai'e sekalipun, ramai yang dah jadi penghukum.. Dah ambil tugas Tuhan.. Mulut manusia, sampai bila pun kita tak boleh nak tutup.. Nak kawal pon tak boleh.. Dia akan senyap kalau dah ditarik nyawa atau selepas ditarik nikmat je.. Tapi, dari penilaian-penilanian yang diberikan oleh orang sekeliling, jangan la pulak para muntanaqibah ni tolak hundred percent.. Kadang-kadang apa yang orang sekeliling cakap tu betul.. Ada ibrah dan pengajaran yang kita sendiri boleh ambil.. Hatta, orang yang nasihatkan kita tu free hair sekali pun, selagi baik, ambillah.. Tak rugi.. Selagi ada manfaat, ambil, kutiplah.. Bukan untuk orang lain, tapi diri sendiri..



Perbaharui Niat

Last sekali, ini yang perlu kita TAJDID NIAT selalu.. Jangan kita angkuh, sombong, bongkak, riak, takabbur dan ujub lepas kita dah berhijrah.. Tak kisahlah berhirah dari pakaian atau pun hal-hal lain.. Sedikit ada perasaan tu, amalan yang kita amalkan, terbang bak debu di awang-awangan.. Elakkanlah.. Ingat..!! Kita kalau dah berjubah ke, berserban ke, bertudung labuh ke, berpurdah ke, Allah masih uji kita lagi.. Allah uji hati.. Ada tak rasa diri tu macam diri kita baik je.. Rasa diri baik dari orang lain.. Jauhkanlah.. Tak ke mana perginya sifat tu.. Syirik kecil.. Berdosa.. Kalau ada, kembalilah pada Allah.. Minta ampun dariNya..


Cukuplah entri untuk kali ni.. Nanti sambung lagi.. InsyaAllah.. Kalau ada salah silap, terlajak kata, saya minta maaf.. Dan kalau ada apa-apa yang nak ditambah, tulislah di ruangan komen di bawah ni, okay..
Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Entri Saya

PENGALAMAN AKU BERNIQAB

Sebenarnya lama dah terdetik nak cerita pasal pengalaman berniqab ni.. Lama sangat fikir nak buat entri pasal ni.. Lebih setahun fikir pasal ni je pon.. Tak ada niat apa pun, tak perlukan pujian tinggi melangit pon, sesungguhnya pujian tu sangat menakutkan sebab takut muncul sifat bongkak, riak, takabbur serta ujub dalam diri.. Sesungguhnya sifat-sifat itu adalah syirik.. Tapi, sekadar perkongsian buat para sahabiah yang lain yang mungkin baru nak berjinak-jinak dalam pemakaian sunnah Rasulullah atau pun perkongsian buat sapa-sapa sajalah..




Sejak 2 menjak ni, ramai adik-adik, akak-akak yang add saya di facebook dan bertanyakan tentang langkah-langkah awal nak berpurdah atau berniqab.. Jadi, bagi memudahkan situasi dan keadaan, saya rasa adalah lebih mudah jika saya buat entri khas tentang soalan-soalan diorang di blog zuhud saya ni.. Bagi memudahkan insan-insan lain merujuk entri ini buat mereka yang mungkin bertanyakan hal yang sama pasal niqab ni..


Ok. firstly, saya nak cita pasal pengalaman berpurdah dulu.. Dulu saya pernah buat entri pasal nak berniqab ni.. Boleh klik sini .. Takpe, biar saya cerita balik pasal awal-awal berniqab dulu..



Saya merupakan seorang gadis yang berumur 21 tahun pada tahun ini tapi belum lah genap lagi.. Keluarga saya biase-biase saje.. Bukan dari kalangan a'lim ulama'.. Tak wara' pon.. Sangat biasa-biasa.. Bukan dari family yang belajar agama la.. Bukan dari keluarga ustaz ustazah.. Tapi, sekadar basic yang wajib tu, alhamdulillah tahu..


Time saya tadika, saya bersekolah di Tadika Islam, Bukit Temoh, Tapah, Perak Darul Ridzuan.. Yaa, teman orang peghok weh.. Lepas tu, time sekolah rendah, saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Satu (1) , Jalan Hospital, Tapah, Perak Darul Ridzuan.. Sekolah rendah dekat sekolah tu, dari darah 1 sampailah UPSR iaitu darjah 6..


Selepas tu khudrat masih ada, nikmat sihat tubuh badan masih lagi dikurniakan, saya sambung belajar di Government English Secondary School, Tapah.. Sekolah sekular.. Campur lelaki perempuan, Islam bukan Islam.. Bukan juga aliran agama.. Saya budak Geografi, sebab cita-cita nak jadi Ahli Geologi, tapi apakan daya, lagi kita target, lain yang Allah dah tentukan..


Lepas SPM, dengan berbekalkan result SPM, saya dapat tawaran belajar ke sebuah IPTA di ibu kota Selangor, iaitu di Shah Alam.. Dalam bidang yang jauh jugak dari target saya.. Dalam Bidang Undang-Undang..




Saya mula bertudung labuh sejak sekolah lagi.. Alhamdulillah.. Tapi, honestly, memang dulu niat saya lain.. Biasa la perempuan, semua nak nampak lawa, comel je.. Jadi, saya pon salah seorang yang nak nampak ayu gitu.. Saya mula tertarik untuk memakai tudung labuh bidang 60 selepas saya lihat seorang wanita ni pakai.. Saya rasa macam sejuk hati bila tengok dia pakai tudung labuh.. Dia dengan saya bukan sapa-sapa pun.. Sedarah tapi daging lain-lain.. Dia ialah sepupu saya.. Insan yang paling saya rapat..


So, saya pon beritahu la mama yang saya nak pakai tudung labuh.. Mama tak halang.. Mama terus beli kain, jahit tudung sendiri.. Dan, saya pon pakai la tudung labuh bidang 60 yang dijahit tu ke sekolah.. Ok, sangat selesa.. Alhamdulillah, tak ada kecaman ke apa dari rakan-rakan yang rapat dengan saya.. Tak de yang kutuk cakap,


"Bajet a'lim, wara' bla.. bla.. bla" 


Ok, lepas dah masuk IPT tu, alhamdulillah, sepanjang duduk hostel, memang saya ditempatkan bersama-sama rakan-rakan yang ada basic agama.. Dekat hostel IPT tu, sebilik 4 orang.. Termasuk diri sendiri la.. Jadi, time sem 1 tu, saya dibilikkan bersama-sama, 3 lagi kawan.. Sorang tu, budak imtiyaz di Terengganu, hafizah 30 juzuk, sorang lagi, anak imam masjid di Perlis.. Sorang lagi, anak pensyarah.. Pada kawan saya yang pelajar imtiyaz ni la yang saya selalu tanyakan soalan dan kemusykilan bab-bab agama..



Time sem 2 pula, kite orang dah bertukar roommates.. Saya duduk sebilik dengan seorang budak sekolah agama.. Dia orang Perak jugak.. Duduk Sungkai.. Lepas tu, lagi 2 orang rommates, orang Sungai Buloh course TESL dan lagi seorang dia lah roommate dan jugak classmate, orang Melaka..


Kalau nak ikutkan, yang time sem 2 ni, dengan kawan yang duduk Sungkai tu la yang menjadi tempat rujukan kalau ada apa-apa kemusykilan.. Huhu.. Nama dia pon sama dengan saya.. Siti namanya.. Memandangkan nama kite orang sama, jadi, nickname saya pon bertukar.. Sejak masuk U ni la, macam-macam nickname baru ada.. Siti Katy Perry la, Katy Perry la.. Tapi, majoriti orang panggil Kate la.. Sebab nak elakkan nama sama kan.. So terima je la.. Haha..




Penghijrahan bermula time saya dengan Siti keluar outing di pekan la.. Kite orang pergi PKNS, Plaza Alam Sentral dengan SACC.. Pergi shopping.. Tempat pertama yang kite orang jejak berdua, bersama adalah PKNS.. Kite orang berdua merayap la, dari aras bawah sampai la ke seterus-seterusnya.. Time tu, kite orang naik aras 1.. Kite orang berpecah, dia pergi kedai sebelah, saya pergi ke satu kedai yang jual pakaian-pakaian ihram.. Saya masuk ke kedai tu.. Belek la semua barang yang ada..


Sampai di satu sudut, di hujung kedai, saya nampak banyak niqab yang dijual.. Niqab separuh tu je la.. Dan niqab full tutup dahi tu pon ada.. First, saya amik yang full tu, tapi, suddenly Siti datang dari belakang sambil berkata,


"Kat, kalau nak mula pakai, pakai yang separuh dulu.. Takut nanti kalau drastik sangat rasa macam tak mampu nak teruskan"


Ermm, saya pun fikir jugak apa yang Siti cakap tu.. Ada betulnya jugak.. Almaklumlah, baru nak berhijrah.. Baru nak belajar berniqab.. So, lepas fikir-fikir tu, saya pun letak lah balik niqab full tu, dan ambil niqab separuh tu.. Saya test pakai.. Menghadap ke cermin sambil dibantu oleh Siti.. Siti yang tolong pakaikan niqab tu..




Allah, sungguh speechless saya time tu.. Memandang cermin dalam keadaan bertutup.. Rasa macam lain sangat.. Latu, mata pon berkaca-kaca.. Saya menitiskan airmata time dekat kedai tu.. Time tu, kami je pelanggan kedai tu.. Jadi, time nangis memang tak tau nak kata apa la, memang diperhatikan oleh pekerja kedai dan tuan kedai tu.. Allah je yang tahu bagaimana rasanya.. Sungguh indah..



Memang hasrat berniqab telah lama saya pendamkan.. Sejak di bangku sekolah.. Ada satu ketika tu, saya pernah bertanya pada ustazah saya di sekolah.. Time tu saya form 5.. Time kelas agama.. Memandangkan time tu, saya duduk depan sekali, depan meja cikgu pulak tu, jadi, saya pun tanya la ustazah saya tu..


"Ustazah, dekat sekolah boleh berpurdah tak..?"


Ustazah jawab,


"Tak boleh.. Peraturan sekolah cakap tak boleh"


Ermm, time tu saya tak ada rasa apa pun.. Memang harapan nak berniqab tu sejak dari sekolah nak pakai kalau boleh la.. Tapi, memandangkan undang-undang kata gitu, maka tak pe lah.. Saya tangguh dulu.. Time tu, saya, tak tahu pun hukum hakam dalam bab-bab agama ni.. Jujur saya cakap..



Yang saya pegang dari dulu dalam diri saya,


"Kalau benda yang buruk-buruk, benda jahat-jahat, semuanya berdosa kalau kita buat" 


Tu je la yang saya pegang dulu.. Alhamdulillah, Allah beri saya rezeki untuk belajar agama selepas SPM.. Aku yang dahulunya tak kenal apa itu Usrah, sekarang dah tahu.. Sebenarnya, baru tahun lepas, saya join usrah.. Tu la first time tahu usrah tu cemana dan apa benda usrah tu..


Ok, berbalik balik time dekat kedai tu, lepas test pakai purdah tu, saya pun terus beli purdah separuh tu.. Time tu, belum beritahu parents lagi niat nak berpurdah tu.. Lepas je beli purdah tu, terus beli sarung tangan semua..


Lepas tu, minggu seterusnya, saya balik rumah.. Saya tak pernah naik bas ekpress kalau nak balik rumah.. Or ke mana-mana saja tanpa mahram.. Memang mak ayah akan jemput saya balik.. Kadang-kadang, balik dengan sepupu.. Sepupu selalu balik Tapah setiap minggu, so, tumpang la sekali.. Kalau nak balik ke kampus ke kadang-kadang naik dengan sepupu, kadang-kadang mama dengan ayah yang hantar balik hostel..



Time dah balik rumah tu, memang ada mintak izin mama dan ayah, yang saya nak berniqab.. Tapi, at first, mama tak bagi.. Tapi, ayah pula menyokong.. Elok la, jaga diri.. Mama persoalkan,


"Dalam U boleh ke berniqab"


Saya jawab la tak boleh.. Tapi, bleh pakai time keluar kampus.. Mama kata,


"Tunggu masa yang sesuai"


Ok, agak kecewa, tapi, tak de la geram ke hape.. Sebab saya tahu, mama mesti nak yang terbaik buat anaknya.. Mesti tak nak tengok anaknya terima apa-apa ujian macam hinaan dan lain-lain tu.. Saya paham.. Another week had gone, kali ni nak balik rumah jugak.. Cuma kali ni, mama dengan ayah yang jemput dekat hostel.. Walaupun time tu masih mama tak beri keizinan untuk pakai niqab, tapi, time balik tu, menuju ke kereta tu, saya dah pakai niqab.. Mama dengan ayah macam speechless je.. Memang pandang je la.. Ayah ok.. Mama pon, lastnya ok.. Alhamdulillah..



Lepas je saya berniqab dan mula istiqomah, time belajar tu, mama pun ada tempah purdah mengikut warna tudung yang saya ada.. Mama hadiahkan jubah.. And, I felt like, I've been accepted.. Huhu.. So glad.. Macam dunia ni "aku" yang punya je rasanya.. Lepas habis belajar dekat IPT tu, kembali la menganggur di rumah..



Time exam MUET pun saya pakai je niqab.. Examiner yang bukan Islam tu pun tak de suruh bukak pun.. Sangat hormat dan faham tentang tuntutan dalam agama Islam.. Sangat bersyukur.. Kawan-kawan pun, ok.. Tak de yang kutuk.. Malah support je.. Alhamdulillah sangat.. Even though, one of my best friends, dia non-Muslim, yang beragama Kristian Katolik dan seorang yang sangat kuat agama.. Saya suka sembang dengan dia.. Kita orang sama floor.. Memang selalu la pergi bilik dia.. Makan bersama semua la.. Suka berbicara hal agama.. Walaupun berbeza agama.. Saya selalu tanya pasal Bible.. Sekadar untuk pengetahuan.. Dan, dia pun ok je dengan Islam.. She is really a good friend.. Kita orang berempat, best friend.. Yang lain-lain, semua okay.. Supportive.. Walaupun kite orang biasa-biasa je. Tak ada basic agama pun.. Huhu..



Lepas graduate dari IPT tu, saya niat tak nak teruskan ambil law.. Sebaliknya, ambil STAM.. Tujuan amik STAM tu bukan untuk nak melanjutkan pelajaran ke Mesir ke apa.. Tapi, tujuannya memang nak belajar agama je.. Tak ada niat lain.. Alhamdulillah, Allah perkenankan doa.. Saya belajar di sebuah Maahad Imtiyaz bawah jajahan ISMA di Ipoh.. Walaupun tempat ISMA, tapi, saya bukan ISMA.. Mana yang baik, kita ambil.. Yang buruk tolak tepi jauh-jauh..



Alhamdulillah, dah tamat dah belajar di bumi AIM.. Sekarang tengah tunggu result STAM.. Huhu.. Dan alhamdulillah juga, segala rintangan yang dihadapi, dapat dihadapi dengan baik.. Time mula-mula pakai tu, memang tiada halangan keluarga.. Tetapi, halangan dari pihak lain pula yang datang menjengah.. Entah lah, sejak saya di bangku sekolah rendah lagi, ada seorang insan ni, yang dengki sangat dengan saya.. Lepas satu, satu tohmahan yang dilontarkan..


Saya pernah dituduh sebagai Syiah time belajar di bumi Selangor.. Dan tohmahan tu, sampai melibatkan mama sekali.. But, it's okay.. Saya tak rasa apa pun, sedih pun tak.. Rasa neutral je.. Saya ni jenis hati kering sikit.. Jadi, kata-kata dia tu memang tak jadi kudis pun pada saya.. Lagi pun, saya tak nak lah, keadaan jadi lebih buruk.. Kalau nak bukak aib anak dia, boleh je.. Tapi, fikirkan dosa bukak aib tu, saya diam je la.. Ada sampai satu detik tu, saya rasa macam tak nak balik rumah.. Time tu lagi 2 hari nak raya.. Saya siap call mama, cakap tak nak balik.. Raya dekat kampus.. Lagipun memang ramai la yang tak balik.. Tambah budak-budak yang duduk Sabah dan Sarawak.. Disebabkan si fulan tu, menyebarkan fitnah, sampai mama saya tension pula..



Tapi, mama dan ayah datang jemput anak dara sulungnya ini di hostel pada hari tu jugak.. Hehe.. So, saya pun balik la..


Dah cukup panjang lebar dah cerita saya ni.. Saya bukan tak nak cerita keseluruhan pengalaman.. Tapi, saya tak nak, para insan yang baru nak berniqab rasa terbantut nak berhijrah sebab takut hadapi perkara yang sama seperti saya dan para muntanaqibah yang lain..


Tak pe la, cukup la untuk kali ni.. InsyaAllah, lepas ni, saya akan buat entri, persediaan sebelum berniqab..


Ok, babai.. Salam Alaik..



Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Entri Saya

RAMAI YANG TAK SAH MANDI WAJIBNYA

Mandi wajib yang betul. Mandi wajib merupakan perkataan yang mudah disebut, tetapi jangan terkejut jika dikatakan banyak umat Islam di tanah air kita yang tidak sah mandi wajibnya kerana tidak melakukannya dengan betul.


Untuk melakukan mandi wajib yang betul, seseorang itu tidak boleh melakukannya dengan hanya mandi secara berdiri atau duduk mencangkung sahaja. Sebaliknya, ia mesti dilakukan dalam kedua-dua keadaan bagi membolehkan seseorang itu meratakan air ke seluruh anggota badannya yang zahir.


Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Uztaz Haji Mat Jais Kamos, 49, menegaskan, bagaimanapun, berdasarkan pengalamannya sebagai bekas kadi di Pejabat Agama Islam Gombak Timur dan penceramah, didapati banyak umat Islam yang tidak mengetahui perkara ini.


"Akibatnya, mandi wajibnya menjadi tidak sah kerana tidak memenuhi salah satu rukun mandi wajib iaitu meratakan air keseluruh anggota badan yang zahir. Apabila mandi wajib tidak sah, ibadat yang dilakukan oleh seseorang itu juga turut tidak sah. Itulah akibatnya jika tidak melakukan mandi wajib dengan betul" Tegas beliau ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Keramat Kuala Lumpur.


Mandi wajib yang juga sebagai mandi junub atau janabah tidak boleh dipandang ringan oleh umat islam. Setiap orang yang mlakukannya mestilah mengetahui dan memenuhi rukun-rukunnya. Jika tidak mandi wajib seseorang itu tidak akan sah. Rukun mandi wajib ada 3 perkara.

  1. Niat.
  2. Menghilangkan najis di badan.
  3. Meratakan air keseluruh anggota badan yang zahir. 


Niat mandi wajib,


"Sahaja aku mengangkat hasar besar kerana Allah Taala"


Atau


"Sahaja aku mandi wajib kerana Allah Taala"


Niat itu di dalam hati dan ia hendaklah disertakan ketika air sampai ke mana-mana bahagian anggota badan. Bagi perempuan yang habis haid, niat mandi wajib ialah,


"Sahaja aku mengangkat hadas haid kerana Allah Taala"


Manakala bagi perempuan yang habis nifas, niat mandi wajibnya ialah,


"Sahaja aku mengangkat hadas nifas kerana Allah Taala"


Niat itu jika dilambatkan atau ketika seseorang itu memulakannya selepas dia telah membasuh salah satu anggota badannya akan menjadikan mandi wajibnya tidak sah. Oleh itu, dia mestilah memulakan kembali niatnya ketika dia mula menyampaikan air ke seluruh anggota badannya. Sekiranya dia berniat sebelum air sampai ke badan, niat itu juga tidak sah. Oleh itu, mandi wajibnya tidak sah.


Mengenai rukun mandi wajib yang ke 2, iaitu menghilangkan najis yang ada pada badan. Menurut Ustaz Haji Mat Jais, menurut Imam Nawawi, jika kita ada najis di badan, najis itu boleh dibasuh serentak dengan mandi wajib. Ertinya membasuh najis dengan mandi itu boleh disekalikan.


Sementara rukun mandi wajib yang ke 3, iaitu meratakan air ke seluruh anggota badan yang zahir, meliputi kulit, rambut dan bulu yang ada di badan, sama ada bulu-bulu yang jarang atau lebat. Jika rambut seseorang itu ditocang atau disanggul, sekiranya tidak sampai air ke dalamnya, tocang atau sanggul itu wajiblah dibuka. Bulu-bulu dalam lubang hidung pula, tidak wajib dibasuh kerana dianggap batin. Tetapi sekiranya, bulu-bulu di dalam hidung itu bernajis, ia wajiblah dibasuh.


Mengenai kuku pula, jika di dalam kuku ada kotoran yang boleh menghalang sampai air ke badan khususnya di bahagian bawah kuku, kotoran itu wajiblah dibuang. Membuang kotoran di dalam kuku itu pula boleh dilakukan ketika sedang mandi.


Tentang rambut yang diwarnakan pula selain inai, inilah yang merumitnya. Sebenarnya jika rambut seseorang itu diwarnakan dengan pewarna selain inai, mandi wajib seseorang itu tidak sah. Oleh itu, seseorang yang mewarnakan rambutnya dengan pewarna selain inai, jika dia hendak mandi wajib, dia mestilah membuang pewarna pada rambutnya terlebih dahulu. Tetapi untuk membuang pewarna itu pula bagaimana..? Inilah yang rumitnya. Sedangkan pewarna pada rambut itu sebenarnya tidak boleh dibuang begitu mudah.


Yang menyebabkan mandi wajib orang yang menggunakan pewarna pada rambutnya tidak sah kerana pewarna itu akan menyalut rambutnya yang menghalang air sampai ke rambut. Ini berbeza dengan inai. Inai sebenarnya akan meresap ke rambut, tetapi pewarna pula akan menyalut rambut menyebabkan air terhalang ke rambut.


Tetapi dalam hal ini, jangan pula ada yang salah faham. Sebenarnya pewarna itu jika dikeluarkan sijil halal oleh JAKIM dan sekiranya pewarna itu tidak bernajis, bukanlah bermaksud menjadi tidak sah. Dalam hal ini, sukalah saya menyatakan bahawa solat dan mandi wajib itu berbeza. Jadi, mestilah dipandang dari sudut yang berbeza.


Dalam hal ini juga, sukalah saya menyatakan, huraian mengenai rukun mandi wajib seperti yang telah saya nyatakan ini adalah merupakan perbezaan sah atau tidak mandi wajib. Jadi, ia perlulah diberikan perhatian yang lebih oleh umat Islam.


Mengenai sebab-sebab seseorang itu wajib mandi wajib pula, Ustaz Haji Mat Jais menegaskan, sebab-sebabnya terdiri daripada 6 sebab. 3 sebab melibatkan lelaki dan perempuan iaitu,

  1. Kerana bersetubuh walaupun tidak keluar air mani
  2. Keluar air mani
  3. Mati. 


Manakala 3 sebab lagi hanya melibatkan kaum perempuan sahaja iaitu,

  1. Keluar darah haid
  2. Nifas
  3. Melahirkan anak (wiladah)


Mandi wajib boleh dilakukan di mana-mana dengan menggunakan air mutlak sama ada air telaga, air paip, sungai, laut dan tasik. Bagi pasangan suami isteri yang bersetubuh pula, mereka tidak semestinya mandi selepas bersetubuh, tetapi diwajibkan mandi ketika ingin beribadat.


Selepas bersetubuh pula, jika ia dilakukan pada waktu malam, jika tidak mahu mandi wajib, seelok-eloknya ambillah wuduk sebelum tidur itu adalah sunat, manakala tidak berwuduk sebelum tidur adalah makruh.

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Entri Saya

10 SOALAN LAZIM MENGENAI NIQABIS

  1. Niqabis ni pelajar lulusan Al-Azhar Mesir ke..? Sekolah pondok..? Madrasah..? Tahfiz..?

    Tak semestinya. Mereka cuma suka tutup aurat dan tutup wajah atas tujuan menghindari fitnah. Keinginan mengikut sunnah.


  2. Niqabis nak makan macam mana ya..?

    Macam biasa je. Cuma singkap niqab dan makan dgn cermat. Tak ada masalah pun.


  3. Niqabis wajib pakai hitam ya..?

    Tak wajib pun semuanya hitam. Asalkan menutup aurat dan tak bertabarruj.


  4. Niqabis tak bergaul dengan yang tak berniqab ke..?

    Kami berkawan dengan semua takde pilih yang berniqab sahaja.


  5. Niqabis memang jenis tak bercinta ke..?

    Ada rasa cinta tapi tak la "over"


  6. Niqabis ni pandai ilmu agama kan..?

    Tak semestinya. Mereka juga masih belajar untuk melengkapkn diri dengan ilmu-ilmu agama.


  7. Niqabis ni ada yang niqab on / off. Main-mainkan pemakaian sunnah ke..?

    Mereka berniqab atas tujuan khusus maka berniqab mengikut keadaan dan berusaha untuk istiqomah. Kadang soal kerja yang mendesak niqab untuk dibuka sementara.


  8. Niqabis ni semua cantik sangat ke sampai nak tutup wajah..?

    Berniqab bukan bukti bahawa niqabis itu cantik. Cuma niat sendiri nak meningkatkan ketaqwaan kepada Allah.


  9. Niqabis tutup wajah mesti nak elak kecacatan di paras wajah kan..?

    Niqabis tutup wajah bukan kerana malu dengan ciptaan Allah tetapi hanya ingin menjaganya.


  10. Niqabis tak takut ke jadi perhatian / cemuhan..?

    Nak berada di jalan yang diredhai Allah tentu ada banyak ujiannya.. Dah biasa.

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Entri Saya

ANJAKAN PARADIGMA

Situasi Pertama

Si Isteri : "Eh, eh sejak bila dia pakai purdah..?"


Si Suami : "D...ia eksyen je tu.. Sekarang kan ramai yang macam ala-ala arab..!"


Si Kakak : "Ehh, takla, dia dah lama pakai purdah. Lepas dia baik sakit dulu"


Si Isteri : "Akak tolonglah nasihatkan anak buah akak tu. Bukan ape, kita semua kenal dia tu macam mana dulu, tiba-tiba nak pakai macam ni. Drastic sangat. Bukannya apa, buat orang mengata aje. Akak mak sedara dia. Saya ni cuma menantu aje dalam keluarga besar akak kan"


Si Suami : ".........."




Situasi Kedua

Kawan A : "Alah dia tu...dulu dialah yang paling havoc. Macam-macam kelab dia masuk. Kawan dengan macam-macam lelaki. Pakai purdah..? Sampai bila, aku nak tengok..!"


Kawan B : "Ermmhh...pakaian je dah tukar. Jangan-jangan perangai sama je macam dulu. Ada hati nak nasihat kitorang. Dia pandai-pandai cakap kita ni buat itu tak boleh, ini tak boleh. Cermin diri dulu lahhh...Siapa kau nak nasihat org. Diri kau pun tak betul. Mak bapak aku pun tak bising wei..!"


Kawan C : "Alahh, lantak dia lah"


Kawan B : "Masalahnya, sakit hati aku baca status kat facebook dia. Tunjuk kat orang macam alim sangat. Padahal org tak kenal dia tu siapa dulu..!"


Kawan A : Betul tu. Aku sokong..! Dia ajak kita pakai tudung. Hak eleh, orang pakai tudung tu lagi banyak buat dosa lah!! Aku ni walaupun tak pakai tudung, tapi aku tau jaga maruah diri aku laa..Kau tengok berapa banyak kes buang bayi, kes khalwat..pakai tudung..! Kaki skodeng dalam youtube tu sume pakai tudung. Jaga kain tudung sendiri sudah la"


Kawan C : "Ermm.. Entahla"




Situasi Ketiga

Si Ibu : "Kenapa nak pakai tudung labuh dengan purdah pulak..? Dah-dahlah dik..pakai tudung aje dahla...beli aje tudung jenis RM2 tu yang ada awning tu. Beli yang besar sikit. Tak payahlah pakai purdah. Macam ape dah mak tengok. Nanti apa pulak orang sekeliling kita cakap..?"


Si Ayah : "Biarlah nak pakai apa. Jangan tak pakai apa-apa dah la"


Si Ibu : "Ayah ni, sekarang ni bukan boleh percaya. Kot-kot sesat ke ape. Mana kita tau..?"


Si Ayah : "Kau (anak) nak pakai purdah ni, bukannya kau tu sekolah agama. Buat kena gelak kat orang ajelah"


Si Ibu : "Nantilah.. Nanti takde lelaki nak kat adik. Muka pun tak nampak. Orang zaman sekarang nak tengok muka bagai..Kalau tak nampak muka macam mana nak bercinta..?"



Dari 3 situasi ini, ada satu soalan utama sebelum soalan-soalan lain ana mahu tujukan pada pembaca atau yang pernah melontarkan kata-kata ini pada si penerima..



Soalan :
"Adakah kesedaran menutup aurat hanya padausia tua atau masa ajal tiba..? Dan salahkah menutup aurat dengan lebih sempurna..?"


Adakah kita suka lihat aurat anak-anak kita terbuka tak bertegur sampai dah tua..?


Adakah kita ni tak sedar-sedar akan petunjuk yang Allah bagi melalui dari sahabat kita..?


Adakah kita punya kisah silam yang 'dulu-dulu' benar-benar bagus dari yang dikutuk..?


Adakah kita ini tak sedar tanggungjawab menutup aurat itu hukumnya WAJIB..?


Adakah bila ada orang yang cantik penampilannya, menggugat jwatan ustaz / ustazah kita..?


Adakah yang pakai purdah ini semuanya sesat dan jahil agama..?


Adakah yang pakai purdah ini semua kolot dan 'kampung'..?


Adakah kita ini dah cukup sempurna sifat, akal dan amal ibadat sampaikan orang nak berubah menutup dan memberatkan aurat pun kita LARANG, kita HALANG..?


Kenapa kita tak tanya diri sendiri, 


"Aku ni sudah sempurnakah..?"



Jawapannya :

Pelajarilah bagaimana nak memperbaiki keaiban diri sendiri, daripada kita sibuk nak membuka aib orang lain. Bersyukurlah apabila mata kita, suami kita, anak lelaki kita, sahabat lelaki kita, dan kaum muslimin muslimat sekalian sudah dijaga dari melihat aurat..! Seharusnya kita ini menyebarkan kepentingan menutup aurat. Bantulah diri mereka yang tergapai-gapai mencari cahaya. Bantulah mereka dalam melaksanakan hukum perintah Allah SWT. Secara tak langsung, ambillah iktibar dari mereka ini. 


Betapa Allah sayangkan kita, maka Allah bukakan pintu hati mereka kembali kejalanNya. Inikah ajaran Rasulullah SAW yang kita pelajari..? Bahkan Rasulullah SAW sendiri mengajak kita menyayangi sesama umat Islam. Mengajak kita melakukan perkara kebaikan. Amar Makruf Nahi Mungkar. 


Tapi, kalau begini sikap kita, orang yang mahu mendekatkan diri kepada Allah, mahu menutup dan memberatkan aurat kita perlekehkan, kita jatuhkan semangat mereka, kita pulaukan mereka, berkata dengan ugutan dan sebagainya.. Macam mana kita nk berdakwah dan menarik orang bukan Islam kepada Islam..? Kerana sikap ego kita inilah, Islam cacat di pandangan mata mereka.. Anjaklah paradigma kita..!

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Entri Saya

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...