BAHAGIA KEJUTAN TUHAN

Humaira menyeka tangis. Ada cemburu. Ada sesal. Ada persoalan-persoalan yang tak terjawab dek logik akal manusia. Ada amarah pada sebuah kisah duka.



"Humaira, luahkan pada Allah tentang apa yang masih membelenggu jiwamu. Jika Humaira perlukan nenek, nenek sedia mendengar dan menasihat mana yang perlu"


Suara tua itu bagaikan datang tepat pada masa jiwa terluka Humaira memerlukan. Humaira diam. Ada lara yang ingin dikongsi. Entah apa yang dimahukannya, dia pun tidak mengerti. Ibu tua itu datang mendekat, memeluk Humaira erat-erat. Pelukan penuh kasih sayang yang mengundang kembali tangis Humaira yang sudah pun bersisa tadi. 



"Humaira, seharusnya tangis itu Humaira hadiahkan pada Allah sebagai tangis sesal, tangis taubat atas kesilapan lalu. Biar tangis itu dihitung oleh Allah buat bekal ke Syurga nanti, sayangku"


Humaira yang kian tak malu melepaskan sendu cuba mengawal emosinya.




"Ceritakan pada nenek. Mana tahu nenek dapat membantu..?" 


Pujuk ibu tua itu sambil mengusap-usap kepala Humaira. Humaira menceritakan kisahnya. Sesekali Humaira terdiam cuba mengawal tangis daripada turun meluru laju kembali. Ibu tua itu setia mendengar, sesekali mengusap-usap belakang Humaira. Biar Humaira melepaskan segala yang terbuku di hatinya. Lalu Humaira mengakhiri kisahnya dengan kata lafaz penuh sendu..



"Dan begitulah berakhirnya sebuah kisah duka"


Matanya berkaca. Ada riak kecewa pada sebuah perjalanan kehidupan yang cukup mencabar sabar dalam jiwanya. Ibu tua itu lantas memegang tangan Humaira sambil berkata penuh makna, 



"Humaira, sebuah pengalaman duka sememangnya harus diakhiri supaya dapat kita semua mula melangkah untuk memulakan coretan kisah-kisah bahagia yang baru"



"Akan adakah bahagia untuk Humaira..?"


Katanya naif, masih tak lepas melayan emosinya.


"Terpulanglah"


"Terpulang pada sejauh mana Humaira yakinkan Kasih Sayang Allah. Bergantung pada sejauh mana Humaira bersangka baik pada Allah"



"Allah"


Terpacul sebuah nama indah dari bibir Humaira. Satu nama yang dimiliki satu zat yang Maha Berkuasa lagi Maha Berkehendak. Satu Zat Yang PengetahuanNya tiada langsung tandingan.


"Izinkan hati Humaira untuk melihat kembali dunia yang penuh dengan kebahagiaan dan keindahan. Izinkan kecintaan itu masuk menusup kembali dalam jiwa. Segalanya ada di tangan Humaira" Kata-kata ibu tua itu bagaikan berdesing di telinganya. Humaira tahu, pasti bukan mudah.


"Tak salah untuk mencuba, kan..?"


Ujar ibu tua itu lagi seakan-akan dapat membaca apa yang sedang bermain di fikiran Humaira. Humaira mengangguk. Ditariknya nafas dalam-dalam, lalu dihembuskan segala baki kesedihan yang entah dari mana kembali datang menjengahnya tadi. 



"Astaghfirullahal 'azim"


Saat itu, Humaira mula tahu. Bahagia itu perlu hadir dalam jiwanya sendiri, dengan berkat Cinta dan Kasih Sayang Allah, Tuhan semesta alam. Pengalaman pasti takkan terpadam, tetapi bakal menjadi guru terbaik untuk menjadi peringatan perjalanan ke akhirat.


Humaira memandang langit.. Namun terlalu jauh untuk akalnya mencari-cari akhirat, tempat pulangnya yang pasti..



Akalku menggeledah langit
Mengharap dapat mengintai akhirat

Biar matlamat terpasak dalam-dalam
Berpaksi dalam sebuah jiwa yang suram



Aku mencari sebuah kisah langit

Satu-satunya kisah yang dapat menguat langkah
Kisah Syurga buat meninggi matlamat
Kisah Neraka buat hati-hati sangkaan jiwa yang gundah.



Aku menadah cinta langit

Menghayati limpahan Kasih Sayang
Yang tak pernah putus walau seketika
Hanya aku yang sering keras dalam merasa



Kisah langit itu akhirnya kutemui

Rupanya ada pada sesuatu yang setia dalam genggamanku
Yang sering mengetuk-ngetuk jiwa
Pada kalam rindu Tuhan Yang Satu
Quran Al-Karim



Humaira menutup bukunya. Bagai bayu indah datang menyapa. Akhirnya bertalu-talu bahagia datang saat diyakini kasih sayang dan cinta Dia yang Menjadikan. Kisah suram rupanya pemula sebuah kerendahan jiwa pada Tuhan. Sebuah kisah yang menyentap jiwa untuk kembali larut dengan rintihan taubat. Untuk mensyukuri keindahan wasilah bahagia yang datang mendamba sebuah hati yang tulus ikhlas kerana Dia.



Hati sudah tak pandai berbicara
Terkesima dengan rahsia manisnya bahagia

Terpegun dengan indahnya perancangan Tuhan
Malunya aku pada ragu persangkaan



Terima kasih Tuhan

Kerana tak pernah membiarkan
Kaki ini melangkah jauh
Dari kepastian nikmat Syurga yang utuh

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Entri Saya

AKU DAN PEREMPUAN ITU

"AIDS..?" Aku mengulang kata Kak Long. 



Hati bagai tidak percaya. Tidak mungkin orang sebaik Ain menghidap penyakit itu. Namun, takdir Allah siapa yang tahu..?


"Ya. Dia menghidap penyakit tu dah lama dah. Ni kira tunggu masa malaikat maut nak jemput dia masuk kubur je..!" Suara sinis Kak Long menyapa gegendang telinga. 



Ku kerutkan dahi. Serasa ada sesuatu dalam nada suara Kak Long. Wajah Kak Long ku renung dari ekor mata.


"Kak Long kenal Ain di mana..?" Tenang ku lontarkan persoalan. 



Kak Long menghela nafas panjang.


"Dia datang jumpa Bang Long kamu beberapa tahun lepas. Cerita pasal masalah dia. Keluarga dia dah buang dia. Dia tu anak orang berada. Ayah dia berpangkat Tan Sri. Tapi tu lah kan, duit, harta, pangkat kalau dah banyak sangat mulalah lupa akhirat. Tu yang kena AIDS tu. Memang sahlah sosial sangat. Habis semua tergadai. Memang perempuan yang tak elok. Buat malu keluarga je. Lepas tu datang ke sini. Hish. Habis budak-budak yayasan ni nanti terpengaruh pula dengan dia..!" Kak Long mencebirkan bibir.


Ku lihat wajah Kak Long. Apakah itu hanya serkap jarang..? Tidak mungkin Ain orang yang sebegitu. Walaupun tidak pernah berbicara dengan gadis itu, tapi aku yakin Ain tidak sejahil itu. Bimbang Kak Long hanya mengagak, aku meringankan mulut untuk bertanya.



"Mana Kak Long tahu Ain tu macam tu..? Kak Long pernah tanya dia ke..?"



Kuali besar yang usai dibasuh dihempas Kak Long. Aku mendiamkan diri. Amarah Kak Long seperti tidak bersebab! Namun, andai dilawan hanya membawa kepada musim kemarau nan panjang. Mungkin saja hubungan aku dan Kak Long pula yang renggang. Suara tegas Kak Long mula kedengaran.


"Yang kamu ni nak back up dia kenapa..? Pernah ke kamu bercakap dengan dia..? Pernah..? Orang yang dapat AIDS ni, tak lain tak bukan sebab buat benda-benda yang haram tau tak..? Yang bukan-bukan. Si Ain tu ingat datang yayasan ni elok tudung labuh semua, orang nak pandang dia dah insaflah..? Tolonglah. Abang Long kamu bolehlah tertipu dengan tipu helah dia. Kalau Kak Long, sorry..!"



Lantangnya suara Kak Long mengisi segenap penjuru. Mulutku terkunci rapat. Keberanian untuk mempertahankan Ain datang sekejap cuma. Wajah ku ditundukkan. Tekun aku menyusun pinggan mangkuk di rak susunan. Walhal, hatiku bersimpang siur memikirkannya.


"Kak Long tak nak tengok kamu berkawan dengan dia. Bercakap pun jangan" Ujar Kak Long sambil mengatur langkahnya ke halaman rumah. 



Aku membisu. Mengiya tidak. Menidakkan jauh sekali. Lima tahun mengenali Kak Long, amarah Kak Long jangan dipandang remeh. Hanya saja kali ini, aku rasakan pandangan Kak Long kurang tepat.


Aku yakin Kak Long tidak membuat pertimbangan yang wajar. Tidak pernah ku lihat Kak Long melayan Ain sebagaimana dia melayan anak-anak yayasan yang lain. Dengan Ain, sering dia bermasam muka. Lagi-lagi andai Bang Long cuba membantu Ain dalam apa-apa jua urusan. Lagilah menjadi-jadi sikap Kak Long. Aku tahu. Sebetulnya Kak Long cemburu dengan kemesraan Bang Long. Walau berkali-kali Bang Long menjelaskan, saudara seagama perlu ditolong, bukan dicaci, dihina. Kalau bukan kita yang menolong, siapa lagi..?



Sejenak aku teringat kisah benar yang dibaca dari sebuah blog milik rakan usrah. Dia menulis, ketika dia kecil dia pernah bersekolah pondok. Suatu hari, seorang pelacur datang ke pondok itu. Meminta pertolongan. Namun, tidak ada seorang pun yang menolong. Pelacur itu dicaci, dihina malah dibaling batu. Kononnya dialah manusia paling berdosa dalam kampung itu. Sedangkan, yang menentukan dosa pahala seorang muslim bukanlah seorang muslim yang lain tetapi Allah SWT. Sayang, tidak ramai yang menyedari hakikat ini. Dan pelacur itu..? Dia berputus asa. Terasa tidak ada lagi yang mahu menolongnya. Mujurlah seorang ustaz keluar, dan mempelawanya masuk. Syukur, masih ada yang mahu menolong. Dan akhirnya..? Anda sendiri tahu kesudahannya.


Sambil fikiranku melewati memori sepi itu sendirian, perlahan telingaku menangkap gemersik suara seorang perempuan. Ku toleh ke tepi. Ya Allah..! Ain..! Apa yang harus ku buat..? Baru sahaja tadi amaran Kak Long ku terima, baru sahaja beberapa minit aku terus diuji. Ku jawab salam itu perlahan. Wajah Ain ku tatap. Benarkah dia pernah membuat onar..? Tersedar wajahnya direnungku, dia menoleh. Bibirnya tersenyum. 




"Manis!" Desis hati kecilku.


"Adik angkat Abang Rahman dan Kak Salwa kan..?" Perlahan Ain menuturkan bicara.



"Ya" Aku menjawab ringkas. 



Kerja ku teruskan. Aku bingung. Berbicara atau tidak..? Ku lihat Ain sedang mengambil bakul. Kunci pintu belakang yayasan diambil. Dan langkahnya diatur ke taman. Dan hati kecil ku berbicara,


"Bukankah ini peluang baik..? Taman dan halaman rumah sangat jauh. Aku bebas untuk berbicara dengan Ain tanpa pengetahuan Kak Long"


"Jangan..! Andai Kak Long tahu, nahas..!"




"Tidak..! Aku harus tahu hal sebenar. Dan ini juga untuk kebaikan Kak Long. Lagi pun, aku tidak mahu bersangka buruk"


"Risikonya tinggi..!"




"Aku harus pergi..!"




"Jangan..!!"



Aku berperang dengan diriku sendiri..! Akal sedarku melarangku pergi. Namun rasa hatiku tidak. Lantas ku atur langkah ke arah Ain. Dia sedang memetik bunga-bungaan. Aku berdehem. Untuk memaklumkan kedatanganku. Ain menoleh. Aku dapat rasakan mataku merenung setiap inci wajah Ain. Di sini, di bawah terik mentari nan suci, ciptaan Yang Maha Agung, baru aku mengerti maksud Kak Long.


Wajah Ain pucat. Dan serinya juga sudah hilang. Di dalam yayasan, lampu tidak dipasang. Mungkin, itulah punca utama aku tidak menyedari perubahan wajah Ain. Lama kami berpandangan, sebelum Ain menghela nafas panjang. Wajahnya dilanda kegusaran.


"Lebih baik awak masuk. Kak Salwa tak suka sesiapa pun rapat dengan saya" Perlahan Ain berbicara. 



Dan dia memalingkan badannya kembali. Tekun dia memetik bunga-bungaan. Dan langkahnya ku ekori rapat. Menyedari aku masih mengekorinya, Ain kembali menghadapku.


"Saya pesakit AIDS" Nadanya serius. 



Dan aku faham, dia mahu aku menjauhinya. Namun ku tegarkan diri. Persoalan itu harus dijawab hari ini.


"Jadi..?" 



Pernyataan dilontarkan persoalan. Kerut seribu muncul di dahi Ain.


"Lebih baik awak masuk" Ain bersuara. Lemah.


"Saya pun nak petik bunga jugak..!" Aku membalas. 



Bakul di tangan Ain ku ambil. Bunga ros merah ku petik. Di belakangku Ain tersenyum.


"Terima Kasih"



Aku diam. Tidak tahu respons apa harus ku berikan.


"Awak orang pertama"


Oh..! Aku mengerti ucapan terima kasih tadi untuk apa. Dan Ain kembali memetik bunga ros lalu dimasukkan ke dalam bakul. 5, 10 dan hampir 15 minit, kami diam. Hanya riuh rendah yayasan memenuhi ruang sepi kami. Aku tidak tahu bagaimana harus ku mulakan bicara. Kerana soalan yang akan ditanya mungkin juga menoreh kembali luka lama.


"Apa soalan awak..?" Ringkas Ain bertanya. 



Riak wajahnya sedikit pun tidak berubah. Namun jelas ku lihat ada kesediaan di situ. Kesediaanya untuk menjawab semua persoalan. Namun tegarkah aku..?


"Awak nak tahu sama ada saya buat perkara terkutuk atau tidak..? Dalam erti kata lain, macam mana saya dapat AIDS..?" Tenang Ain berbicara.


"Macam mana..?" Ayat itu tak mampu aku habiskan. 



Bagaimana mungkin..? Ku lihat Ain merenung jauh. Dan penyesalan mula bertapak di sudut hati. Arghh..! Bodohnya aku..! Bukankah ini isu sensitif..?


"Kerana setiap orang akan bertanya soalan itu. Dan usai bertanya, mereka mula menjauhkan diri. Tapi saya lega, sekurang-kurangnya ada yang bertanya. Daripada mereka hidup dengan spekulasi mereka sendiri"


Pantas. Wajah Kak Long menerpa fikiran. Sepi menyelubungi diri. Kaku. Ain terus menyusun jambangan bunga ros ke dalam bakul. Dan aku. Masih menunggu.


"Islam jatuh kerana sikap penganutnya sendiri" Ujar Ain. 



Aku memandang Ain. Pandangan kami bertaut. Dan untuk seketika kurasakan bagai sudah lama aku kenali dia. Dan jauh di sudut hati, aku iyakan bicaranya sebentar tadi.


"AIDS yang saya hidapi, bukan disebabkan pergaulan saya, mahu pun seks bebas" Kata Ain tegas.


Aku terpana. Sah..! Kak Long salah faham.


"Saya dibesarkan dalam keluarga yang berada. Segala kemahuan saya mampu ibu bapa saya penuhi. Sayangnya, saya tidak pernah disayangi sebagaimana adik-beradik saya yang lain. Hanya kerana abang meninggal sejurus selepas kelahiran saya. Jadi, saya dianggap pembawa sial" 



Perlahan lipatan sejarah hidup Ain dibuka. Satu demi persatu. Hairan, walau sebesar itu dugaan, Ain masih mampu menceritakannya dengan tabah. Sudahnya, kami beriringan menuju ke kerusi kayu di tengah taman. Di situ, baru aku mengerti, siapakah Ain yang sebenar.


"Dahulu, saya tidak tahu apa-apa tentang Islam. Ibu dan ayah saya tidak pernah ambil berat akan ilmu agama. Saya membesar dalam keadaan jahil. Malah, fikiran saya bercelaru. Saya sering memberontak. Saya sering bertanya pada mama. Untuk apa saya pakai tudung..? Bukankah kecantikan wanita layaknya dipandang oleh sang teruna..? Bukankah Islam menghalang hak wanita..? Jadi untuk apa saya memeluk agama ini..? Agama Islam yang menghalang kebebasan penganutnya untuk mengamalkan apa yang mereka suka..? Itu tak boleh, ini tak boleh. Malah, untuk bercinta sekali pun dilarang. Bagi saya, Islam hanya mempertaruhkan nasib penganutnya sendiri. Layakkah agama itu kita agung-agungkan..?"


Aku mendengar setiap patah bicara Ain. Buntu. Fikiranku kelam.


"Saya kerap membahaskan isu ini bersama rakan-rakan. Sasaran saya ialah mereka yang kuat dengan pegangan Islam. Saya beritahu pendapat saya. Saya terangkan pendirian saya. Dan awak tahu apa yang berlaku..?" Mata Ain diarahkan padaku. 



Meminta jawapan. Aku menjengketkan bahu. Sungguh. Tidak aku sangka seteruk itu Ain pada waktu dahulu.


"Mereka mencaci saya. Ada yang mengatakan saya akan murtad selama-lamanya. Malah ada yang mengatakan jalan pulang untuk saya tiada lagi. Ada yang menyimbah saya dengan air longkang. Alasannya, demi Agama Islam. Mereka menghukum saya. Ini meningkatkan kebencian saya terhadap Islam. Semakin hari, sinar itu makin jauh. Kebencian yang saya bina semakin memuncak. Di kolej, rakan-rakan seagama mula menjauhi saya. Namun, saya masih dengan pendirian saya. Sehinggalah pada suatu hari, Allah mempertemukan saya dengan Aisyah" 



Mata Ain mula digenangi air mata. Seolah-olah, perkara itu membuatkannya terharu amat.


"Ketika saya nekad dengan pendirian saya, Aisyah hanya tersenyum. Buat pertama kalinya, tidak ada yang mencebir bibir, tiada pandangan sinis, hanya senyuman. Dan Aisyah menerangkan pada saya sesuatu. Andai tidak kenal masakan kita boleh mencintai sesuatu..? Dan sejak itu, Aisyah memberi saya beberapa buku agama. Namun tidak pernah saya sentuh, Tafsir Al-Quran yang diberinya saya letakkan di bawah katil. Bukankah ia hanya buku biasa..? Untuk apa kita menghormatinya..?" 



Dan Ain tersenyum. Ah..! Manis sungguh senyumanmu Ain. Walau wajahmu pucat lesi. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, 

"Allah SWT berfirman, 'Aku sesuai dengan prasangka hambaKu kepada diriKu"


"Selama ini, kesilapan saya ialah berburuk sangka dengan Allah. Saya tidak mengenalinya. Saya tidak selidiki siapa Dia Maha Pencipta saya, dan terus sahaja saya bina konklusi. Dan akhirnya, saya terjumpa firman Allah. Walau hidayah itu milik Allah, namun ia takkan datang kalau tidak dicari. Kerana hidayahNya ialah sesuatu yang sangat bernilai. Mampu menjadi pelita dalam kegelapan. Menukarkan kelemahan menjadi kekuatan. Paling penting, memberikan kegembiraan tatkala hati menangis kesedihan..!" Tegas Ain menuturkan bingkisan ayatnya. 



Aku tersenyum. Tapi, masih ada dua persoalan yang masih belum dijawab. Apakah aku harus bertanya padanya sekarang juga..?


"Ain" Aku memberanikan diri. 



Sekilas, ku lihat wajah Ain bertentangan dengan wajahku.


"Awak masih belum jawab soalan saya" Wajah Ain tidak berani ku tatap. 



Aku menguis-nguis pasir di kaki.


"Saya dijangkiti AIDS kerana dendam kesumat sahabat ayah"


Sepi. 



"Apakah itu benar..?"


"Sahabat ayah seorang doktor. Ketika itu, saya kemalangan yang menyebabkan kehilangan darah yang amat banyak. Doktor tersebut tanpa disedari telah melakukan blood transfusion kepada saya. Dia telah memberikan darah pesakit AIDS. Tatkala saya disahkan menghidap penyakit itu, ayah tidak mengaku saya anaknya lagi. Baginya, saya mencemarkan nama baik dan reputasi keluarga seorang Tan Sri. Dia menuduh saya dengan bermacam-macam tuduhan yang tidak sepatutnya keluar daripada bibir seorang ayah. Mama menangis. Seluruh ahli keluarga menuduh imej baik saya hanya satu topeng untuk saya melindungi perbuatan jahat saya. Akhirnya, saya dihalau sehelai sepinggang. Aisyah yang mencadangkan saya untuk ke sini"



"Awak tak pernah menyesal..?"


Dia tersenyum lagi. 



"Untuk apa..? Mereka yang melakukan kesalahan kepada saya telah saya maafkan. Mereka masih jahil. Mungkin juga kesalahan mereka pada saya yang akan membuka pintu hati mereka untuk bertaubat. Siapa tahu..? Bukankah masa lalu itu amat mustahil untuk digapai..? Masa hadapan pula sesuatu yang misteri. Saya bersyukur dengan apa yang terjadi. Ada hikmah di sebalik kejadian. Di ceruk lain di dunia, masih ada insan yang lebih hebat ujiannya dari saya. Husnuzhon (sangka baik) kepada Allah. Mungkin, ini ialah balasan Allah terhadap dosa saya pada masa lalu. Saya tahu, saya yakin, Allah sangat-sangat sayangkan saya kerana itu, sabar saya, pasti akan dapat saya tuai hasilnya..!"


Aku berfikir sendiri. Cinta Ain padaNya besar amat..! Benarlah, sesuatu yang susah dimiliki, akan lebih kita hargai. Ain menempuh ranjau yang berduri, demi kasihNya pada Illahi. Kini, bukankah dia bahagia..? Walau pada pandangan manusia, dialah yang paling terhina. Cinta pada Allah, mampu menukar yang hina menjadi mulia. Ain, sungguh aku kagum denganmu.


"Cuma apa yang saya sesalkan ialah sikap saudara seagama kita" Perlahan suara Ain kembali memenuhi ruang sepi.


"Tatkala melihat saudara seagama yang lalai, yang mempermudahkan agama Islam, sering sahaja pandangan sinis dilontarkan. Menghujani mereka dengan cacian. Sedangkan kebanyakan daripada mereka ini tidak tahu. Masih jahil. Dan tugas kita, sebagai khalifah untuk membimbing mereka ke jalan yang benar. Sepertimana saya, andai Aisyah tidak membimbing saya, tidak sabar dalam melayani karenah saya, sudah tentu saya masih lagi seperti dahulu. Dan saudara seagama yang mencaci saya, tidakkah mereka sedar, Islam ialah agama yang menidakkan kekerasan. Islam ialah agama yang sarat dengan kasih sayang dan cinta. Andai mereka kenal semua ini, sudah tentu Islam tidak kecundang. Kes penzinaan tidak akan menular. Malangnya, hanya segelintir yang mahu memenuhi tanggungjawab sebagai seorang khalifah. Sayang. Allah SWT pasti kecewa dengan kita"


Aku dapat rasakan bening mataku kian panas. Dan air jernih mula mengalir dari sudut mata. Benar. Aku juga seperti golongan itu. Melihat saudara seagama kian melupakan hijab, aku pandang sinis. Terasa diri sudah terlalu baik, sedangkan tugas sebagai khalifah aku abaikan. Ghibah juga sering ku lakukan. Ya Allah. Aku benar-benar diberi pengajaran. Seketika aku dan Ain melayan perasaan masing-masing. Sesekali Ain terbatuk. Dan sedang aku berkira-kira mahu mengajaknya masuk ke yayasan, suara keras Kak Long mengejutkan aku dari lamunan yang panjang.


"Amira..!" 



Getar suara Kak Long sarat dengan ketegasan, bercampur dengan kemarahan yang amat. Ain memandangku dengan riak risau yang ketara. Aku tersenyum.


"Benarkan saya lakukan tugas khalifah saya yang pertama untuk hari ini" Aku berbicara tenang.


Ain mengerutkan dahi. Tidak mengerti. Aku berpaling. Langkahku atur ke arah Kak Long. Kak Long bagai singa betina. Kemarahannya kerana aku melanggar larangan. Aneh. Tidak ada perasaan takut dalam benakku. Sekilas terngiang-ngiang suara Ain.


"Ya..! Aku harus ubah sikap Kak Long. Husnuzhon, kan Ain..?"


Dalam hati aku berdoa, 


"Ain semoga pertemuan hari ini mampu membina ukhuwah yang menemukan kita di syurgaNya yang abadi..!"

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Entri Saya

CERITA HATI DI BIRMINGHAM


"What was I told you last time..?"


"Why won't you hear..?"


"I thought I've warned you"


"I'm not saying this because of jealousy or being ridiculous or what so ever.. But because"



Hari ini 27 Januari 2013. Najihah tunduk memandang lantai tanah yang tidak lagi ditutupi salji tebal. Dia baru sahaja melepasi lorong itu. Terdengar-dengar suara dua orang yang bertengkar dari dalam sebuah rumah. Langsung, dia teringat pada sesuatu.


Langkahnya kini sudah jauh meninggalkan kenangan hampir tujuh tahun yang berlalu. Waktu itu, atmosfera dingin langsung tidak terasa. Angin dingin dari Rusia yang datang seolah-olah melukakan sebuah persahabatan. Sahabat sejati itu terputus hubungan hanya kerana sebuah teguran. Kini, baru hatinya melihat.


"Kau memang celik mata, tapi kelabu hati" Tegur Widya.



Ketawa kecil lagi, entah apalah yang dia fikirkan. Tangannya ligat membuka sarung aiskrim 'cornetto.'


"Kelabu hati tak apa lagi asal jangan buta hati" Balas Najihah laju. 



Tersinggung agaknya dengan Widya. Tetapi tidak meminggirkan tangannya untuk menyambut aiskrim huluran Widya.


"Aduhai Naj, kelabu hati itu lebih bahaya. Bila-bila boleh menghitam. Bila hati hitam, butanya tak pakai 'standard.' Gelap terus. Nah, jadinya mana yang lebih sulit? Mencuci cermin yang kelabu atau cermin yang hitam berkarat..?" Bidik Widya. Najihah bisu seketika.


"Yang sebetul-betulnya apa Widya..? Kau buat aku nampak salah tapi aku sikit pun tak tahu apa yang kau nak cakap sebenarnya"


Akhirnya Najihah bersuara. Bingung dengan suku kata yang melintas sekejap-sekejap di kepala. Widya memang selalu begitu. Menegur tak pernahnya jelas.


"Tak ada salahnya Naj, kalau kau juga mula menyukai seseorang. Tapi janganlah riak perasaan itu sampai menutup hati kau untuk mengenal diri dia yang sebenar-sebenarnya. Baik kau, aku dan kawan-kawan kita yang lain, semuanya tahu bagaimana diri dia yang sebenarnya. Aku tak kata dia tak baik, dan aku tak kata yang kau salah. Tapi kalau dah sampai membilang-bilang soal ibadah, soal yang benar apa lagi yang salah, mana mungkin aku diamkan saja." Tutur Widya panjang lebar. Beremosi bunyinya.


Najihah jadi lebih diam daripada tadi. Hati dan kepala dah mula rasa tak sekata.


"Maksudnya apa ni Widya..? Aku tak faham langsung apa yang kau kata" Najihah bingung. 



Kata-kata Widya seolah-olah menumbuk-numbuk dinding kepalanya.


"Lelaki yang kau suka itu, sudahkah kau ikhlas dengan diri kau..? Sudahkah kau tanyakan diri kau..? Atas sebab apa kau sukakan dia Naj..? Sebab dia menayangkan yang dia ambil berat tentang kau? Dengan cara apa..? Ayat-ayat manis atau kerana dia pernah mengirim ubat saat kau jatuh tak sihat lama dulu..? Atau kau terlalu suka dengan wajahnya yang selalu dia maniskan untuk kau..? Tapi di belakang kau, pernahkah kau dengar betapa ramainya sahabat-sahabat yang selalu terasa dengan bahasanya dan lagaknya yang tak bersopan..? Selama kau mengenal dia, berapa berat nasihatnya pada kau yang menyuruh taatkan agama..? Meski kau tak pernah keluar berdua, sudah berapa jauh interaksi kalian..?" Jelas suara Widya.


Tidak berapa lama kemudian dia berhenti sejenak. Mengambil nafas barangkali. Najihah dah mula rasa tak selesa. Widya menyambung. Sepertinya, ini sahajalah peluangnya untuk membuka mulutnya kepada Najihah.


"Khayalnya kau itulah yang aku takutkan. Seolah-olah hanya dia sahaja lelaki yang ada hanya kerana dia ingin mengenal kau. Aku tahu Naj, setiap orang pasti inginkan cinta untuk dirinya. Tetapi adakah Dia redha dengan jalan yang kau pilih ini? Jika kau tak nampak lagi, nah aku dah pun sampaikan. Maaf Naj, mungkin kasar pada kau. Tapi jika sehari-hari teguran perlahan aku kau tak hiraukan, apa lagi pilihan yang aku ada..? Dan percayalah Naj, kau bukanlah satu-satunya. Ya, mungkin satu-satunya untuk dijadikan sebagai teman hidup, kerana kau istimewa. Sedangkan yang lain, tak berbatas lagaknya dia"


Najihah tergamam. Widya dirasakan mengasaknya dengan tujahan melampau waktu itu. Suaranya langsung tertahan. Tak terbela jadinya dia. Disebabkan kebenaran-kebenaran itu lah, 'Friendship seems to has been lost into the thin air'


Baik dia mahupun Widya, masing-masing idtak pernah menyebut sengketa. Tetapi berakhirnya langkah kaki di petang bersalji itu, masing-masing beku bak bongkah batu. Widya hanya membawa kaki melangkah. Pandangan dah ditala ke bermacam arah. Najihah pula gayanya semacam tak mahu mendongak lagi.


Apa yang dia ingat selepas hari ketiga kejadian, waktu dia ingin memanjangkan maaf, Widya sudah tiada lagi di biliknya. Entah bila sahabat itu pergi pun dia tidak sedar. Yang tinggal hanyalah sekeping kertas jingga yang dilekatkan di kepala katil temannya itu yang bertulis,

"Tak perlu kemaafan, kerana kita bukan sengketa. Aku tinggalkan kau dan seluruh kenangan kita bersama di sini. Aku harus pulang ke Acheh. Orang tuaku meninggal. Rumahku dan perusahaan tak lagi damai. Tak mungkin untuk aku terus sambung di sini. Salam sayang daripada aku. Widya"


Pada hari yang sama Najihah merasakan betapa kecilnya dunia tanpa Widya dan kata-katanya, dia ternampak pula lelaki itu beramai-ramai dengan sahabat sekuliahnya. Entah apa kejadiannya, kelihatan seorang perempuan yang entah dari mana datangnya menepuk lelaki itu tanpa silu segan.


Kejutannya bukan itu, tetapi bila melihat dia yang kembali mengejar perempuan itu sambil menarik tapak tangan perempuan itu dan mencubit tangannya. Hah.. Saat itu, pucat dirasakan seluruh wajahnya. 



"Biar benar dia..?"


Najihah hilang kata berminggu lamanya. Puas merenung dan membising pada diri. Marahnya pada diri lebih kepada rasa kesalnya kerana menyia-nyiakan seorang sahabat hanya kerana suatu teguran.


"Mengapa boleh jadi begini..? Walhal, aku sendiri yang mengiyakan perubahan diri" Getusnya dalam hati.


"Agaknya ini balasan untuk orang sombong macam aku. Baru dua semester mengikut usrah, baru dua semester menelan pengertian, aku sombong dengan ilmu. Seolah-olah dah mula rasa yang diri sudah baik. Yakin sangat dapat bezakan yang baik dengan yang salah konon. Sampaikan ujian datang di depan mata aku langsung tak perasan" Bebelnya lagi dalam hati.


Itu kisah tujuh tahun lalu..


Kini, dia seorang Jurutera di sebuah menara terbilang, dan kunjungannya ke Birmingham pada tarikh yang sama dia mengunci suara bersama Widya dahulu adalah disebabkan oleh 'site visit' yang terletak tidak jauh dari lorong yang dilalui mereka dahulu.


Jauh di sudut hatinya dia terlalu rindu pada Widya. Dia mahu Widya tahu yang nasihatnya dulu langsung tak memecahkan hubungan. Bahkan, semakin deras dia mengirim doa buat sahabatnya itu. Dia juga tidak mahu lagi hilang tempat berpijak hanya kerana meninggikan ilmu saban waktu. Paling penting, ada sesuatu lagi yang Widya tinggalkan buat dirinya. Kertas berlipat bintang yang tak pernah dia tahu tertulis sesuatu di bahagian belakangnya.


"Cintai Tuhanmu dahulu dan akrablah bersamanya dengan jalan-jalan yang ada. Bila kau menjaganya, Dia akan menjaga kau nanti. Mudah-mudahan akan Dia titipkan seorang yang lebih bagus untuk menjaga kau suatu hari nanti"

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Entri Saya

BUKAN HATINYA TAK PERNAH SEDIH

Hati manusia, walau sekeras mana pun pasti akan lembut. Tapi semua itu atas kehendak yang Berkuasa.. Dia tidak pernah menangis apabila dikutuk dan dikritik di hadapan khalayak. Baginya, menangis itu menunjukkan kelemahan. Walaupun hatinya terdetik,


"Ya Allah, apakah dosaku sampai aku diperlakukan sebegini"


Dia tidak pernah mengadu kepada sesiapa kecuali seorang teman yang dia amat percaya. Baginya, biarlah semua itu dipendam sendirian. Biarlah semua orang tidak tahu penderitaan dan sengsara yang ditanggung. Atas sebab apa..? Manusia hanya pandai menilai melalui paras rupa, tingkah laku, cara percakapan tapi jauh di sebalik hati tiada siapa yang tahu.


Entah mengapa semakin hari dirinya merasakan kehilangan sesuatu. Bukannya kekasih atau pun sesiapa yang disayangi. Tapi kegembiraan yang selama ini dinikmati semakin jauh dibawa arus. Semua orang yang mengenali tahu dia seorang yang sabar, kuat dan jarang menunjukkan kemarahan dan kelemahan di hadapan sesiapa.


Tapi, hati manusia bergelar wanita tiada siapa tahu atau cuba selongkari. Dia terkenal di sekolah antara pelajar yang agak nakal, bukan daripada segi disiplin tapi nakal dari segi tingkah laku, suka kacau orang, suka gegarkan kelas, suka buat orang ketawa malah suka buat orang sakit hati. Tapi itu cuma sementara, untuk menutup kelemahan yang ada. Baginya teman di sekolah dan di sisi tidak sama. Di sekolah tempat dia bergembira tanpa kenal perasaan sedih tapi bila tiba waktu pulang perasaan sebak menanti di hati. Kenapa..? Kerana dia bukannya tidak pernah sedih..


Hampir setiap hari dirasakan masa sungguh pantas berlari. Sehinggakan setiap malam merintih padaNya memohon kemaafan dan keampunan atas dosa yang dilakukan. Baginya diri belum cukup sempurna selagi ada mata-mata yang memandangnya jelek. Atas gaya jalan seperti lelaki sehingga ada guru di sekolah berkata,


"Brutal dia ni" 


Tapi apakan daya, cara jalan dia memang sebegitu. Bukannya dia tidak pernah cuba untuk memperbaiki. Biarlah orang berkata apa yang mereka suka, sebab mereka ada hak untuk berkata-kata. Tetapi prinsip hidupnya tidak pernah lari. Dia tidak pernah kenal apa itu cinta manusia, dia hanya mencari cinta Ilahi. Itulah yang perlu dicari untuk perjalanan akhirat nanti. Janji Allah itu pasti. Tapi dia juga masih ingin mengenal kasih sayang. Dia seorang wanita yang amat memerlukan kasih sayang. Dalam hidupnya penuh duka walaupun di mata temannya dia seorang yang ceria.


Pernah suatu ketika, hatinya hancur dek kehilangan insan yang amat disayangi. Insan bernama ayah yang amat penyayang lagi bertanggungjawab. Walaupun waktu kecil dahulu dia sering dirotan, dicili akibat kenakalan. Tahun ini genap tiga tahun pemergian insan tersebut. Terlalu pantas masa berlalu. Masih berkesempatan dia menjenguk ke daerah pusara ayahandanya. Tahun ini juga sudah empat kali dia tidak dapat mencium tangan dan dahi, mendakap penuh mesra ayahnya. Masih dirindui gelak dan suaranya walaupun ketika itu ayahnya sedang sakit.


Banyak lagi kehilangan yang berlaku dalam hidupnya. Rakan-rakan seperjuangan yang sama-sama menuntut ilmu, sahabat yang turut sama mengikuti program, adik-adik yang mengikuti perkembangan dirinya. Namun, dia sering kecewa dan hampa apabila tangan yang dihulur, ludah yang diterima. Nilai persahabatan yang dihulurkan, keegoan, kesombongan dan kerendahan yang diterimanya.


Sehinggakan sampai satu masa, dia merajuk lalu pergi meninggalkan semua. Atas alasan apa..?


"Biarlah aku sendirian, kerna mereka lebih suka aku pergi"


Kini, dia cuba bangkit kembali untuk menebus kekhilafan diri. Namun, sekali lagi dia jatuh terduduk sehingga memaksa untuk memaut pada sesuatu. Apakan daya, kudratnya hanya tinggal sisa. Sisa yang tinggal sementara untuk meniti alam sana. Atas sebab apa dia sedemikian rupa..?


Rupanya kasih yang ingin dicurahkan, ukhuwah yang ingin disemaikan disalah tafsir. Malahan dakwah yang diketengahkan, nasihat yang diberikan dibalas dengan kesombongan dan keegoan seorang manusia. Sekali lagi kekecewaan dan hiba menusuk hati.


"Andai sekali ini nasihatku tak diperlukan lagi, aku redha ya Allah. Sungguh aku tahu aku belum cukup sempurna. Maka, aku redha"

Berkenaan dengan gaya jalan seperti lelaki, ada sesetengah perkara yang kita perlu memaksa diri sendiri untuk berubah. Fitrah perempuan itu lemah-lembut. Siapa yang memilih untuk menjadi kasar..? Diri sendiri. Maka, paksalah untuk memperbetulkan diri.

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Entri Saya

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...