"Humaira, luahkan pada Allah tentang apa yang masih membelenggu jiwamu. Jika Humaira perlukan nenek, nenek sedia mendengar dan menasihat mana yang perlu"
"Humaira, seharusnya tangis itu Humaira hadiahkan pada Allah sebagai tangis sesal, tangis taubat atas kesilapan lalu. Biar tangis itu dihitung oleh Allah buat bekal ke Syurga nanti, sayangku"
Humaira yang kian tak malu melepaskan sendu cuba mengawal emosinya.
"Ceritakan pada nenek. Mana tahu nenek dapat membantu..?"
Pujuk ibu tua itu sambil mengusap-usap kepala Humaira. Humaira menceritakan kisahnya. Sesekali Humaira terdiam cuba mengawal tangis daripada turun meluru laju kembali. Ibu tua itu setia mendengar, sesekali mengusap-usap belakang Humaira. Biar Humaira melepaskan segala yang terbuku di hatinya. Lalu Humaira mengakhiri kisahnya dengan kata lafaz penuh sendu..
"Dan begitulah berakhirnya sebuah kisah duka"
Matanya berkaca. Ada riak kecewa pada sebuah perjalanan kehidupan yang cukup mencabar sabar dalam jiwanya. Ibu tua itu lantas memegang tangan Humaira sambil berkata penuh makna,
"Humaira, sebuah pengalaman duka sememangnya harus diakhiri supaya dapat kita semua mula melangkah untuk memulakan coretan kisah-kisah bahagia yang baru"
"Akan adakah bahagia untuk Humaira..?"
Katanya naif, masih tak lepas melayan emosinya.
"Terpulanglah"
"Terpulang pada sejauh mana Humaira yakinkan Kasih Sayang Allah. Bergantung pada sejauh mana Humaira bersangka baik pada Allah"
"Allah"
Terpacul sebuah nama indah dari bibir Humaira. Satu nama yang dimiliki satu zat yang Maha Berkuasa lagi Maha Berkehendak. Satu Zat Yang PengetahuanNya tiada langsung tandingan.
"Izinkan hati Humaira untuk melihat kembali dunia yang penuh dengan kebahagiaan dan keindahan. Izinkan kecintaan itu masuk menusup kembali dalam jiwa. Segalanya ada di tangan Humaira" Kata-kata ibu tua itu bagaikan berdesing di telinganya. Humaira tahu, pasti bukan mudah.
"Tak salah untuk mencuba, kan..?"
Ujar ibu tua itu lagi seakan-akan dapat membaca apa yang sedang bermain di fikiran Humaira. Humaira mengangguk. Ditariknya nafas dalam-dalam, lalu dihembuskan segala baki kesedihan yang entah dari mana kembali datang menjengahnya tadi.
"Astaghfirullahal 'azim"
Humaira memandang langit.. Namun terlalu jauh untuk akalnya mencari-cari akhirat, tempat pulangnya yang pasti..
Akalku menggeledah langit
Mengharap dapat mengintai akhirat
Biar matlamat terpasak dalam-dalam
Berpaksi dalam sebuah jiwa yang suram
Aku mencari sebuah kisah langit
Satu-satunya kisah yang dapat menguat langkah
Kisah Syurga buat meninggi matlamat
Kisah Neraka buat hati-hati sangkaan jiwa yang gundah.
Aku menadah cinta langit
Menghayati limpahan Kasih Sayang
Yang tak pernah putus walau seketika
Hanya aku yang sering keras dalam merasa
Kisah langit itu akhirnya kutemui
Rupanya ada pada sesuatu yang setia dalam genggamanku
Yang sering mengetuk-ngetuk jiwa
Pada kalam rindu Tuhan Yang Satu
Quran Al-Karim
Humaira menutup bukunya. Bagai bayu indah datang menyapa. Akhirnya bertalu-talu bahagia datang saat diyakini kasih sayang dan cinta Dia yang Menjadikan. Kisah suram rupanya pemula sebuah kerendahan jiwa pada Tuhan. Sebuah kisah yang menyentap jiwa untuk kembali larut dengan rintihan taubat. Untuk mensyukuri keindahan wasilah bahagia yang datang mendamba sebuah hati yang tulus ikhlas kerana Dia.
Hati sudah tak pandai berbicara
Terkesima dengan rahsia manisnya bahagia
Terpegun dengan indahnya perancangan Tuhan
Malunya aku pada ragu persangkaan
Terima kasih Tuhan
Kerana tak pernah membiarkan
Kaki ini melangkah jauh
Dari kepastian nikmat Syurga yang utuh
No comments: