IBU

"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapa mu dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)"
(Al Luqman : 14)



Hari itu, Cikgu Hanim, guru mata pelajaran Kajian Tempatan meminta murid-murid kelas 4 Luhur berkongsikan pekerjaan ibu bapa mereka dengan rakan-rakan sekelas. Tiba giliran Farouq, dia berasa sedikit gementar untuk ke hadapan dan bercakap dengan semua mata tertumpu kepadanya. Almaklumlah, pertama kali diminta berbuat sedemikian.


Sebelum itu, sudah ada 7 orang murid yang lain yang telah pun berkongsikan pekerjaan ibu bapa masing-masing. Ada yang si bapa bekerja sebagai doktor. Ada yang si ibu bekerja sebagai pensyarah. Ada yang jurutera. Ada yang saintis. Ada yang peguam. Semuanya hebat-hebat belaka.


"Assalamualakum kawan-kawan. Err.. Err.. Hari ni, saya nak kongsi dengan kawan-kawan.. Pekerjaan ibu saya je kot. Bapa saya dah takde. Dia meninggal masa saya darjah 1 lagi."


Pendedahan Farouq itu disambut dengan 'Oooohh' dan 'Aaahhh' oleh rakan-rakannya yang lain, terutamanya yang perempuan. Farouq menjadi semakin tidak keruan. Dia cuba menenangkan dirinya dengan menggentel-gentel jarinya.


"Tapi dulu.. Tapi dulu ayah saya kerja sebagai cikgu, macam Cikgu Hanim jugak..!"


Cikgu Hanim tersenyum mendengar kata-kata Farouq itu.


"Ibu saya.. Uhm.. Masa ayah ada dulu, dia jadi suri rumah sepenuh masa. Sekarang ni, dia ambil upah menjahit. Kadang-kadang dia buat kuih dan nasi lemak"


Kedengaran ada beberapa orang yang tertawa mendengarkan perkongsian Farouq itu.


"Ilham..! Kenapa kamu gelak..? Cuba hormat sikit Farouq di hadapan tu..!"


Cikgu Hanim dengan tegas menegur anak-anak muridnya yang tertawa sebentar tadi.


"Takde apa cikgu. Maaf ye cikgu."


Namun pada wajah Ilham, terukir sebaris senyuman sinis yang menjengkelkan. Telinga Farouq tiba-tiba menjadi panas. Kepalanya tidak semena-mena berpeluh dan gatal. Dia mengetap giginya menahan sabar.


"Ilham, kenapa kau gelak tadi..? Ada apa-apa masalah ke, mak aku jahit baju, jual kuih, nasi lemak..?"


Ilham bangun dengan gaya yang penuh angkuh, berpeluk tubuh dan dengan selambanya mengejek Farouq.


"Bukan apa. Mak orang lain semua kerja terer terer. Doktor. Pensyarah. Jurutera. Semua belajar tinggi-tinggi. Mak aku pun, bukan nak kata ah, tapi seorang usahawanita yang berjaya. Sampai mak kau, tak sebijak mak kami.. Heh"


Terbeliak mata Cikgu Hanim mendengar kata-kata Ilham yang penuh selamba itu. Ilham baharu sahaja melanggar garisan sempadannya. Farouq menggenggam tangannya, penuh kemarahan dan ketidakpercayaan. Baharu sahaja Cikgu Hanim mahu mengatakan sesuatu, Farouq sudah menyerang balas dahulu.


"Oh ye..? Mari sini, aku nak beritahu kau sesuatu"



Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi setiap pagi dia akan kejutkan aku untuk solat Subuh dan kemudian bersiap-siap untuk pergi sekolah.


Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi setiap hari baju sekolah aku sudah tersedia bergosok.


Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi setiap pagi dia akan sediakan bekalan sarapan untuk aku.


Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi setiap hari dia akan teman aku pergi sekolah.


Ye, mak belajar tak tinggi, tapi sebelum berpisah dengan aku, dia akan peluk aku dan hadiahkan aku ciuman di pipi dan dahi.


Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi setiap hari, lepas loceng sekolah berbunyi, dia sudah tersedia menanti di luar pagar dengan bekalan makanan.


Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi aku dapat jalan balik dari sekolah dengan mak aku sambil makan aiskrim.


Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi setiap hari, lepas balik dari sekolah, makanan tengah hari sudah tersedia di dapur.


Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi setiap hari dia pasti akan temankan aku buat buat kerja sekolah dan dia akan pastikan aku siapkan kerja sekolah aku.


Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi aku ada 7 orang adik-beradik dan semuanya dia boleh jaga dengan baik.


Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi makan kami cukup, pakaian kami cukup dan kami adik-beradik saling membantu untuk cukupkan mana yang perlu. Kami bahagia..!


"Kau ada, Ilham..? Kau ada..??"


Tergamam Cikgu Hanim. Terkesima seluruh kelas. Pucat muka Ilham. Pipinya basah dengan air mata.



Seorang ibu itu 'bodoh' kerana sanggup tidak tidur malam hanya kerana mahu menidurkan anaknya.


Seorang ibu itu 'bodoh' kerana sanggup berbelanja besar untuk anak-anaknya, sedangkan untuk diri sendiri dia bersederhana.


Seorang ibu itu 'bodoh' kerana sanggup berpenat-lelah, ke hulu dan ke hilir semata-mata menuruti kehendak si anak.


Seorang ibu itu 'bodoh' kerana sanggup berlapar asalkan anaknya sendawa kekenyangan.


Seorang ibu itu 'bodoh' kerana sanggup ditertawakan oleh sekeliling, berpakaian selekeh dan selebet asalkan si anak cantik bergaya.


Seorang ibu itu 'bodoh' kerana sanggup berpuasa sebulan hanya kerana mahu membelikan kasut baru buat si anak.


Seorang ibu itu 'bodoh' tidak dapat melelapkan matanya hanya kerana risaukan si anak yang tidak reti nak balik rumah, pulang lewat malam.


Seorang ibu itu 'bodoh' sanggup membiarkan diri jatuh sakit hanya kerana memikirkan perangai si anak yang dah macam jembalang gunung.


Seorang ibu itu 'bodoh' kerana seharian dengan linangan air mata sentiasa mendoakan kebahagiaan dan kejayaan anak-anaknya, meski si anak tidak pernah memaknai erti doa seorang ibu.

Dan seorang ibu itu 'bodoh' kerana sanggup 'mati' hanya kerana mahu melihat anaknya terus 'hidup.'


Meskipun si ibu itu tampak 'bodoh' pada pandangan mata manusia, 'bodoh' pada penilaian dunia, ketahuilah, syurga itu tetap berada di bawah telapak kakinya..


Ibu,
Engkaulah RATU hatiku.
(Anonymous)



22 tahun yang lalu, Ibu dan Ayah ada bagi aku sebuah hadiah. Hadiah yang sampai sekarang aku gunakan. Pemberian yang sehingga sekarang aku manfaatkan. Tak pernah lusuh. Tak pernah pudar. Tak pernah rosak. Kerana aku tahu ianya sangat bernilai dan akan aku jaga sebaik mungkin. Aku bawa ke mana sahaja aku melangkah hadiah dan pemberian tu "Sebuah Nama"


Sebuah nama yang terselit 1 001 makna :-


"Cahaya Perhiasanku Kekuatanku"


Bila aku rasa tiada apa, tak punya apa, 


"Perhiasanku"


Ya..! Mana mungkin Allah menjadikan aku dengan sia-sia. Pasti ada sesuatu yang Allah pertanggungjawabkan untuk aku bawa buat mereka yang ada di sekelilingku, walau siapa pun mereka, aku mahu menjadi sebuah 'perhiasan' dalam hidup mereka.


Bukan 'perhiasan' berhabuk di dalam almari usang, tetapi perhiasan yang mampu menyerikan dan menyinari di setiap ruang hidup mereka.


Allah yusahhil..


Bila aku lemah, tak kuat tiada kudrat, rasa kecil di hadapan mereka yang lain, 


"Kekuatanku"


Ya..! Mana mungkin Allah menjadikan aku lemah tiada upaya. Allah takkan menganiayai aku. Takkan sesekali. Aku yakin itu. Secebis kekuatan itu ada pada diri aku. Tinggal pada aku sendiri untuk terus lemah atau bangkit kuat. Aku mahu menjadi sumber kekuatan buat mereka di sekelilingiku bukan untuk tunjuk kuat, tetapi menjadi landasan buat mereka untuk terus melangkah dengan kekuatan. Allah yusahhil..


Tiada sajak, puisi dapat aku nukilkan untuk mengungkapkan betapa aku mencintaimu ibu. Ibu, aku tak punya apa. Aku miskin harta. Tapi aku ada Dia. Walau sejauh mana aku pergi, aku bekalkan doa buatmu ibu kerana aku tahu cinta Dia menjangkaui cintaku buatmu.


Ibu, jika aku pergi dahulu, ketahuilah bahawa aku sangat menyayangimu. Sangat sayang padamu. Kerana melaluimu lirik matamu terzahir kekuatan dan kemuliaan seorang ayah pada anak-anaknya. Moga Ibu Ayah, Emak Abah mertuaku yang aku belum tahu siapa mereka dan masih lagi menjadi rahsia Allah, semua yang bergelar Ummi Abi, Mama Papa, Bonda Ayahanda dipermudahkan jalan ke syurga tanpa sebarang hijab. Amiin ya Allah..


Anak-anak, lahirlah seindah namamu. Carilah dan hayatilah Izzah di sebalik hadiah itu. Sebuah pemberian yang indah dari ibu ayahmu.. Terima kasih Ya Ilahi atas hadiah yang tak tertanding nilai bandingnya..


Yang benar,
Anakmu



Selawat dan salam buat junjungan Baginda Rasulullah SAW

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Entri Saya

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...