MENANGIS DI DUNIA KETAWA DI AKHIRAT

Pencinta dunia menangis kerana dunia yang hilang.. Perindu akhirat menangis kerana dunia datang.. Detik waktu kelahiran bayi, dihiasi tangisan nyaring berkumandang.. Menyapa telinga ibu, lalu melonjak hati ibu.. Penawar sakit lesu. Lalu, bermulalah sebuah kehidupan yang bakal mewarnai bumi.. Berdakwatkan air mata.. Hidup dimulakan oleh sebuah tangisan, dicelahi oleh tangisan, diakhiri dengan tangisan.. Air mata manusia sentiasa dalam dua.. Yang menguntungkan dan merugikan..


Sabda Rasulullah SAW,

"Dua titisan air yang Allah cinta, darah para syuhada' dan air mata kerana takutkan Allah"


Ibnu Ataillah, seorang ahli sufi dan makrifah telah berkata,

"Tangisan seorang pendosa lebih Allah cintai daripada tasbih para wali"

Seorang pendosa yang menangis kerana dosa adalah lebih baik daripada abid yang berangan-angan di syurga mana kelak ia akan ditempatkan.. Ahli-ahli sufi sering mengingatkan, 

"Kejahatan yang diiringi oleh rasa sedih, lebih Allah sukai dari satu kebaikan yang menimbulkan rasa takbur"

Air mata adakalanya penyubur hati, penawar duka.. Adakalanya, buih kekecewaan yang menyempit perasaan, menyesak kehidupan penghuni syurga.. Yang paling banyak dukacitanya di dunia.. Nabi bersabda, 

"Barangsiapa gembira di dunia, akan berdukacita di akhirat.. Barangsiapa yang banyak dukacitanya di dunia, akan gembira di akhirat"

Nabi bersabda lagi, 

"Jika kamu tahu apa yang akan aku tahu, nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa"

Seorang hukama pernah bersyair, 

"Aku hairan dan aku pelik, melihat orang ketawa kerana perkara-perkara yang akan menyusahkan lebih banyak daripada perkara yang menyenangkan"

Salafussoleh menangis walaupun banyak beramal, takut-takut jika tidak diterima.. Sedangkan kita masih ketawa walaupun amalan tiada.. Nabi Muhammad SAW bersabda, 

"Siapa yang buat dosa dalam ketawa, akan dicampakkan ke neraka dalam keadaan menangis"

Pencinta dunia menangis kerana dunia hilang.. Perindu akhirat menangis kerana dunia datang..


"Alangkah sempitnya kuburku" Ratap seorang abid..

"Alangkah sedikitnya hartaku" Keluh seorang hartawan..


Kita gembira pabila perkara yang kita idam-idamkan tercapai.. Kita menangis kalau yang kita cita-citakan terburai.. Nikmat disambut ria, ujian menjemput duka.. Namun Allah SWT berfirman, 

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia buruk bagimu.. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui"
(Al Baqarah : 216)

Menangislah wahai diri, agar senyummu banyak di kemudian hari kerana nasibmu belum pasti.. Di sana menanti lembaran sejarahmu dibuka satu persatu.. Menangislah seperti Saidina Umar yang selalu memukul dirinya dengan berkata, 

"Kalau semua manusia masuk syurga kecuali seorang, aku takut akulah orang itu.."

Menangislah sebagaimana Ummu Sulaim apabila ditanya, 

"Kenapakah engkau menangis..?"
Jawabnya, "Aku tidak punyai anak lagi untuk dihantar ke medan perang"


Menangislah sebagaimana Ghazwan yg tidak sengaja terpandang wanita rupawan.. Lalu, diharamkan matanya dari memandang ke langit seumur hidupnya.. Ibnu Mas'ud RA berkata, 

"Seorang yang mengerti Al Quran dikenali pada waktu malam ketika orang lain sedang tidur dan waktu siangnya ketika orang lain tidak berpuasa, sedihnya ketika orang lain sedang gembira dan tangisnya di waktu orang lain tertawa, diamnya di waktu org lain bicara, khusyuk di waktu orang lain berbangga.. Seharusnya orang yg memahami Al Quran tu tenang, lunak dan tak boleh menjadi seorang yg keras, kejam, lalai, bersuara keras dan marah"

Tanyailah orang-orang soleh, mengapa mereka yang banyak menangis..? Mereka akan menjawab,

"Bagaimana hendak gembira, sedangkan mati itu di belakang kami, kubur itu di hadapan, kiamat tu janjian kami, neraka tu memburu kami dan perhentian kami ialah Allah"

Mereka menangis di sini.. Sebelum menangis di sana.. Dan kita bagaimana..? Menangislah kerana kita tidak menangis seperti mereka menangis.. 

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Entri Saya

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...