8 ETIKA MUDAH FAHAM BERPURDAH

No 1 : Niat Berpurdah..?

Sebab apa nak berpurdah..? Sebab sunnah..? Sebab suami suruh, jadi nak dapat keredhaan suami dan Allah? Atau sebab trend, tengok semua pakai purdah kita terikut-ikut..? Atau sebab nak perhatian? Atau sebab nak gelaran wanita solehah..?


Tepuk dada, tanya iman, tanya diri sendiri. Kalau niat kita lurus, syukur. Kalau niat salah..? Lebih baik betulkan dulu, sebab bila terpesong niat, apa yang kita buat, orang akan mudah nampak, terutama yang bersih hati dia. Percaya la..


And siapa kata kalau dari awal niat dah lurus tak perlu diperbaharui dari semasa ke semasa..? Kalau boleh, tiap kali nak ikat purdah kat muka, cakap dengan diri sendiri, ini semua untuk teruskan sunnah. Semua ni demi menuntut keredhaan Allah.


Dah lepas etika 1..? Alhamdulillah. Ops, tunggu dulu..! Ada lagi etika lain.




No 2 : Purdah, Perlu ke Istiqamah..?

Sebab tu nak pakai purdah kena faham. Ada sesetengah orang pakai purdah untuk keselamatan. Jadi, kalau dia tak istiqamah pun tak salah. Misalnya kalau dia jalan-jalan dengan keluarga dia, dia yakin tak diancam, tak salah dia bukak.


Kalau istiqamah..? Lagi baik..! Dia rasa kuat jalankan sunnah, apa salahnya.. Yang pasti, Allah takkan kurangkan ganjaran untuk orang yang sentiasa berusaha kan..?


Jadi, tak perlu pertikaikan bila bukak tutup. Tapi, kenalah tahan sikit dengan persepsi masyarakat. Terutama bila pakai sekadar dalam gambar. Maksud saya, pakai saja-saja.. Kalau rasa tak mampu hadap, maka anda dah tersekat dalam etika no 2..


Kalau mampu..? Alhamdulillah..! Jom teruskan..!




No 3 : Bergambar Dengan Purdah, Bagaimana..?

Bagi saya, sebenarnya isu gambar ni antara isu terbesar orang berpurdah. Baik, jom kita ikut etika yang sebenar bergambar dengan purdah ya.


Pertama, digalakkan bergambar ramai-ramai. Elakkan fokus kat seorang pemakai purdah sahaja. Dan kalau boleh, jangan difokus kat muka jugak bila bergambar. Jadi melindungi daripada jadi perhatian.


Kedua, kalau nak bergambar sorang boleh, tapi biarlah tak fokus kat muka, setegasnya tak bertabaruj (Hias lebih-lebih) dan sekurang-kurangnya separuh badan nampak. Dan tak perlu la buat posing comel, posing yang orang awam taknak tengok orang berpurdah buat. Faham kan..? Dan tak perlu bertabaruj (lebih-lebih dalam berhias), sebab niat utama berpurdah ni untuk elakkan diri dipandang, bukannya makin gian dipandang.


Kalau rasa ada gambar-gambar berpurdah yang tak kena dengan etika, eloklah dipadam dan muhasabah diri masing-masing..


Kita dah lepas ketiga-tiga etika..?




No 4 : Pemakaian Berpurdah

First, kita kena faham. Saya bukan cakap pakai purdah semua serba hitam kat Malaysia ni tak boleh, tapi personally saya tak galakkan. Sebab, persepsi masyarakat, penerimaan masyarakat Malaysia berbeza dengan masyarakat Arab.


"Eleh, lantak la diorang punya penerimaan. Yang penting, niat..!"


Salah. Salah sangat. Sebenarnya dengan purdah kita boleh dakwah, dakwah melalui contoh kepada diri sendiri. Bila kita berpurdah dalam keadaan menyenangkan masyarakat, mesti masyarakat akan terima kita seadanya, seterusnya galakan sunnah diteruskan.


Tapi kalau kita takutkan diorang..? Pakai serba hitam, bak kata sedara saya macam 'momok'..? Tau tak dalam diam masyarakat luahkan perasaan yang diorang takut..? Dan ada sesetengah pihak harap Malaysia haramkan purdah demi keselesaan, keselamatan diorang..?

Sikit banyak kita dah susahkan sis-sis kita yang nak ikut tegakkan sunnah. Tak ke naya namanya..? Tak salah pun pakai purdah dengan baju berwarna. Pakai la warna yang lembut, warna yang tak menonjol, warna yang bukan berwarna-warni. Islam itu kan menyenangkan..? Masyarakat tengok pun, sejuk hati.. Tak rasa takut pun nak komunikasi dengan kita.


Purdah tu, tak perlu la bermanik berhias bagai. Pakai jela biasa-biasa punya dan tak aneh-aneh sampai menarik perhatian orang. Cukuplah ada macam-macam style tudung, sekarang purdah pulak..?




No 5 : Kenapa Nak Harapkan Keselamatan Melalui Purdah Kalau Aurat Pun Tak Cukup Sempurna..?

Wahai adik-adik, wahai teman-teman yang saya sayang, kalau kita pakai purdah tapi tudung tak lepas bahu, siap ada bonggol, baju menonjol sangat dengan warna-warni, nampak bentuk badan, so, apa point kita sebenarnya berpurdah..? Sekadar nak tunjuk kita berpurdah kat orang awam..?


Fahami la konsep. Menutup aurat DENGAN SEMPURNA itu WAJIB. Allah SWT sendiri berfirman mengenai tutup aurat dengan sempurna akan dilindungiNya. Berpurdah itu SUNNAH. Ia macam tambahan lepas tutup aurat dengan sempurna.


Kalau tutup aurat dengan sempurna pun tak lepas, macam mana nak selamat dengan berpurdah..? Lain la kalau dah tutup aurat dengan sempurna, tapi rasa lebih selamat dengan berpurdah. Itu barulah betul.


Tolong betulkan niat dan fahami konsep dengan teliti. Islam itu kan halus..



No 6 : Purdah dan Akhlak

Yang ni ramai jugak tanya. Nak berpurdah, tapi takut tak kena dengan perangai. Cuba bagi tau saya sikit, perangai macam mana tu..? Kalau asyik mencarut-carut tu.. Alamak, memang perlu baiki dulu. Kalau ramah, apa salahnya..? Kenapa, semua orang berpurdah kena senyap-senyap je ke..? Kena jadi pendiam gitu..?


Cuba kita tengok si purdah luar negara. Diorang siap berani masuk televisyen, demi tegakkan kebenaran tentang pandangan buruk masyarakat Barat tentang purdah.. Diorang bersuara lantang, tegas.


Kita..? Duduk diam-diam..? Jadi bayang-bayang..?


Oh tidak. Siapa kata jadi si purdah tak boleh aktif..? Lain orang, lain personaliti. Tapi, kita kena tahu had limit kita. Kita sedar kedudukan kita, kita sedar tahap kita, kita sedar batasan kita. Cukuplah dengan segala kesedaran tu, kita buatlah macam orang normal.


Tapi selalunya bila pakai purdah ni kan, automatik kita akan sentiasa jaga adab kita. Percaya la.




No 7 : Pandai-pandai La Cari Suami

Tau tak wujud lelaki yang bila kita kahwin, suami dia tak izinkan dia pakai purdah..? Yup..! Lelaki macam ni wujud kat luar sana. So, salah satu etika aneh yang mana nak istiqamah berpurdah, jangan cakap saya tak ingatkan..! Tanya bakal suami dulu sama ada dia redha atau tidak bila kita mahu pakai purdah selepas kahwin nanti..


Apa pun jawapan bakal suami, semuanya terletak kat tangan kita.




No 8 : Bila Peraturan Tak Izinkan Pakai Purdah

Saya percaya ada segelintir si purdah kat IPTA atau kerja kerajaan yang tak boleh pakai purdah dilema dengan peraturan tu. Kalau orang tanya saya, saya jawab, ikut jela peraturan tu. Bukan bermaksud mengalah. Tapi bagi saya benda macam ni kena ada tolak ansur. Asalkan dia tak kata kakitangan LANGSUNG tak boleh pakai purdah. Tu lagi naya.


Bayangkan, kalau kita tolak ansur, tak pakai purdah time kerja. Pekerja-pekerja lain pun tak boleh cakap apa. Paling kuat pun cakap,


"Eh, dia kat luar pakai purdah tau"


Tapi ayat tu normal la. Bayangkan, kalau kita tetap degil nak pakai. Bos bagi surat amaran, pekerja-pekerja pun ngomel,


"Dia ni tak faham bahasa ke..? Purdah tu bukan wajib pun, sibuk nak pakai"


Kemudian si purdah dilabel 'Si Degil'. And kalau ramai si purdah buat macam ni, maybe pihak atasan akan mula tapis untuk ambik si purdah sebagai pekerja. Tak ke naya semua orang..? Dan bagi saya kalau nak pakai jugak, buatlah surat pengecualian. Guna jalan baik. Jangan memberontak, ikut kepala kita sendiri.


Contoh lain waktu security check kat airport. Kita perlu tolerate dengan sistem keselamatan. Alasan ini dah cukup munasabah. Cadangannya, cuba mintak untuk disediakan security guard perempuan.


Saya rasa, ni jela yang saya nak kupas harini. Mudah-mudahan bermanfaat, mudah-mudahan si purdah dan bakal si purdah faham betul-betul tentang etika purdah ni.


Tolong kaji dan fahami sepenuh hati tentang purdah. Lepas tu nak pakai, pakai la. Biar kita pakai dengan ilmu penuh di dada. Bila orang tanya nanti, takde la tersedak, terkilan. Jangan jadi nila setitik yang merosakkan susu sebelanga.


Kerana seorang si purdah yang cacat cela berpurdah tanpa ilmu, masyarakat hukum semua si purdah yang ada depan mata. Pegang erat-erat pernyataan ni,

"Bidadari dunia tidak memandang dan tidak dipandang"

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Entri Saya

IBU

"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapa mu dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)"
(Al Luqman : 14)



Hari itu, Cikgu Hanim, guru mata pelajaran Kajian Tempatan meminta murid-murid kelas 4 Luhur berkongsikan pekerjaan ibu bapa mereka dengan rakan-rakan sekelas. Tiba giliran Farouq, dia berasa sedikit gementar untuk ke hadapan dan bercakap dengan semua mata tertumpu kepadanya. Almaklumlah, pertama kali diminta berbuat sedemikian.


Sebelum itu, sudah ada 7 orang murid yang lain yang telah pun berkongsikan pekerjaan ibu bapa masing-masing. Ada yang si bapa bekerja sebagai doktor. Ada yang si ibu bekerja sebagai pensyarah. Ada yang jurutera. Ada yang saintis. Ada yang peguam. Semuanya hebat-hebat belaka.


"Assalamualakum kawan-kawan. Err.. Err.. Hari ni, saya nak kongsi dengan kawan-kawan.. Pekerjaan ibu saya je kot. Bapa saya dah takde. Dia meninggal masa saya darjah 1 lagi."


Pendedahan Farouq itu disambut dengan 'Oooohh' dan 'Aaahhh' oleh rakan-rakannya yang lain, terutamanya yang perempuan. Farouq menjadi semakin tidak keruan. Dia cuba menenangkan dirinya dengan menggentel-gentel jarinya.


"Tapi dulu.. Tapi dulu ayah saya kerja sebagai cikgu, macam Cikgu Hanim jugak..!"


Cikgu Hanim tersenyum mendengar kata-kata Farouq itu.


"Ibu saya.. Uhm.. Masa ayah ada dulu, dia jadi suri rumah sepenuh masa. Sekarang ni, dia ambil upah menjahit. Kadang-kadang dia buat kuih dan nasi lemak"


Kedengaran ada beberapa orang yang tertawa mendengarkan perkongsian Farouq itu.


"Ilham..! Kenapa kamu gelak..? Cuba hormat sikit Farouq di hadapan tu..!"


Cikgu Hanim dengan tegas menegur anak-anak muridnya yang tertawa sebentar tadi.


"Takde apa cikgu. Maaf ye cikgu."


Namun pada wajah Ilham, terukir sebaris senyuman sinis yang menjengkelkan. Telinga Farouq tiba-tiba menjadi panas. Kepalanya tidak semena-mena berpeluh dan gatal. Dia mengetap giginya menahan sabar.


"Ilham, kenapa kau gelak tadi..? Ada apa-apa masalah ke, mak aku jahit baju, jual kuih, nasi lemak..?"


Ilham bangun dengan gaya yang penuh angkuh, berpeluk tubuh dan dengan selambanya mengejek Farouq.


"Bukan apa. Mak orang lain semua kerja terer terer. Doktor. Pensyarah. Jurutera. Semua belajar tinggi-tinggi. Mak aku pun, bukan nak kata ah, tapi seorang usahawanita yang berjaya. Sampai mak kau, tak sebijak mak kami.. Heh"


Terbeliak mata Cikgu Hanim mendengar kata-kata Ilham yang penuh selamba itu. Ilham baharu sahaja melanggar garisan sempadannya. Farouq menggenggam tangannya, penuh kemarahan dan ketidakpercayaan. Baharu sahaja Cikgu Hanim mahu mengatakan sesuatu, Farouq sudah menyerang balas dahulu.


"Oh ye..? Mari sini, aku nak beritahu kau sesuatu"



Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi setiap pagi dia akan kejutkan aku untuk solat Subuh dan kemudian bersiap-siap untuk pergi sekolah.


Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi setiap hari baju sekolah aku sudah tersedia bergosok.


Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi setiap pagi dia akan sediakan bekalan sarapan untuk aku.


Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi setiap hari dia akan teman aku pergi sekolah.


Ye, mak belajar tak tinggi, tapi sebelum berpisah dengan aku, dia akan peluk aku dan hadiahkan aku ciuman di pipi dan dahi.


Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi setiap hari, lepas loceng sekolah berbunyi, dia sudah tersedia menanti di luar pagar dengan bekalan makanan.


Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi aku dapat jalan balik dari sekolah dengan mak aku sambil makan aiskrim.


Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi setiap hari, lepas balik dari sekolah, makanan tengah hari sudah tersedia di dapur.


Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi setiap hari dia pasti akan temankan aku buat buat kerja sekolah dan dia akan pastikan aku siapkan kerja sekolah aku.


Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi aku ada 7 orang adik-beradik dan semuanya dia boleh jaga dengan baik.


Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi makan kami cukup, pakaian kami cukup dan kami adik-beradik saling membantu untuk cukupkan mana yang perlu. Kami bahagia..!


"Kau ada, Ilham..? Kau ada..??"


Tergamam Cikgu Hanim. Terkesima seluruh kelas. Pucat muka Ilham. Pipinya basah dengan air mata.



Seorang ibu itu 'bodoh' kerana sanggup tidak tidur malam hanya kerana mahu menidurkan anaknya.


Seorang ibu itu 'bodoh' kerana sanggup berbelanja besar untuk anak-anaknya, sedangkan untuk diri sendiri dia bersederhana.


Seorang ibu itu 'bodoh' kerana sanggup berpenat-lelah, ke hulu dan ke hilir semata-mata menuruti kehendak si anak.


Seorang ibu itu 'bodoh' kerana sanggup berlapar asalkan anaknya sendawa kekenyangan.


Seorang ibu itu 'bodoh' kerana sanggup ditertawakan oleh sekeliling, berpakaian selekeh dan selebet asalkan si anak cantik bergaya.


Seorang ibu itu 'bodoh' kerana sanggup berpuasa sebulan hanya kerana mahu membelikan kasut baru buat si anak.


Seorang ibu itu 'bodoh' tidak dapat melelapkan matanya hanya kerana risaukan si anak yang tidak reti nak balik rumah, pulang lewat malam.


Seorang ibu itu 'bodoh' sanggup membiarkan diri jatuh sakit hanya kerana memikirkan perangai si anak yang dah macam jembalang gunung.


Seorang ibu itu 'bodoh' kerana seharian dengan linangan air mata sentiasa mendoakan kebahagiaan dan kejayaan anak-anaknya, meski si anak tidak pernah memaknai erti doa seorang ibu.

Dan seorang ibu itu 'bodoh' kerana sanggup 'mati' hanya kerana mahu melihat anaknya terus 'hidup.'


Meskipun si ibu itu tampak 'bodoh' pada pandangan mata manusia, 'bodoh' pada penilaian dunia, ketahuilah, syurga itu tetap berada di bawah telapak kakinya..


Ibu,
Engkaulah RATU hatiku.
(Anonymous)



22 tahun yang lalu, Ibu dan Ayah ada bagi aku sebuah hadiah. Hadiah yang sampai sekarang aku gunakan. Pemberian yang sehingga sekarang aku manfaatkan. Tak pernah lusuh. Tak pernah pudar. Tak pernah rosak. Kerana aku tahu ianya sangat bernilai dan akan aku jaga sebaik mungkin. Aku bawa ke mana sahaja aku melangkah hadiah dan pemberian tu "Sebuah Nama"


Sebuah nama yang terselit 1 001 makna :-


"Cahaya Perhiasanku Kekuatanku"


Bila aku rasa tiada apa, tak punya apa, 


"Perhiasanku"


Ya..! Mana mungkin Allah menjadikan aku dengan sia-sia. Pasti ada sesuatu yang Allah pertanggungjawabkan untuk aku bawa buat mereka yang ada di sekelilingku, walau siapa pun mereka, aku mahu menjadi sebuah 'perhiasan' dalam hidup mereka.


Bukan 'perhiasan' berhabuk di dalam almari usang, tetapi perhiasan yang mampu menyerikan dan menyinari di setiap ruang hidup mereka.


Allah yusahhil..


Bila aku lemah, tak kuat tiada kudrat, rasa kecil di hadapan mereka yang lain, 


"Kekuatanku"


Ya..! Mana mungkin Allah menjadikan aku lemah tiada upaya. Allah takkan menganiayai aku. Takkan sesekali. Aku yakin itu. Secebis kekuatan itu ada pada diri aku. Tinggal pada aku sendiri untuk terus lemah atau bangkit kuat. Aku mahu menjadi sumber kekuatan buat mereka di sekelilingiku bukan untuk tunjuk kuat, tetapi menjadi landasan buat mereka untuk terus melangkah dengan kekuatan. Allah yusahhil..


Tiada sajak, puisi dapat aku nukilkan untuk mengungkapkan betapa aku mencintaimu ibu. Ibu, aku tak punya apa. Aku miskin harta. Tapi aku ada Dia. Walau sejauh mana aku pergi, aku bekalkan doa buatmu ibu kerana aku tahu cinta Dia menjangkaui cintaku buatmu.


Ibu, jika aku pergi dahulu, ketahuilah bahawa aku sangat menyayangimu. Sangat sayang padamu. Kerana melaluimu lirik matamu terzahir kekuatan dan kemuliaan seorang ayah pada anak-anaknya. Moga Ibu Ayah, Emak Abah mertuaku yang aku belum tahu siapa mereka dan masih lagi menjadi rahsia Allah, semua yang bergelar Ummi Abi, Mama Papa, Bonda Ayahanda dipermudahkan jalan ke syurga tanpa sebarang hijab. Amiin ya Allah..


Anak-anak, lahirlah seindah namamu. Carilah dan hayatilah Izzah di sebalik hadiah itu. Sebuah pemberian yang indah dari ibu ayahmu.. Terima kasih Ya Ilahi atas hadiah yang tak tertanding nilai bandingnya..


Yang benar,
Anakmu



Selawat dan salam buat junjungan Baginda Rasulullah SAW

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Entri Saya

APA BEZA PUTERI CERITA DONGENG DENGAN MUSLIMAH KITA?



Jika kita perasan, Rabiatul Adawiyah, Sumayyah, Aisyah Humaira nama mereka kurang disebut dibibir-bibir kanak-kanak terutamanya perempuan. Sebaliknya mereka lebih banyak menyebut nama-nama puteri dalam cerita dongeng bah kan berangan-rangan untuk memiliki kecantikan mereka dan sifat-sifat mereka. Happily ever after yang diangankan yang bermula dari kehidupan kelas biasa kemudian datang keajaiban dan akhirnya mereka dapat kebahagiaan di penghujung cerita.


Tahukah kita bahawa wanita-wanita zaman sahabat, Tabi', Tabii'in juga mempunyai kelebihan-kelebihan seperti itu bah kan lebih lagi. Bukan dari segi kecantikan atau akhirnya berjumpa putera raja kerana anda sendiri tahu bahawa perjuangan Muslimah sejati itu bukan pada kehidupannya semata.Dia bukan memperjuangkan bahagianya, tetapi bahagia Islam seluruhnya.


Sebelum merapu lebih panjang, mari kita berkenalan dengan watak-watak utama dalam entry ni. Tak kenal maka tak cinta bukan..?



Biodata ringkas


Nama : Cinderella


Karakter : Seorang orang gaji yang ditindas akhirnya kahwin dengan anak raja


Keistimewaan : Bajunya boleh bertukar jadi cantik dan labu tanamannya boleh bertukar jadi kereta


Hobi : Suka berangan nak kahwin dengan anak raja


Percintaan : Akhirnya dapat jugak merasa kahwin dengan anak raja







Nama : Snow White


Karakter : Lari dari umah dan berjumpa dengan 7 orang kerdil


Keistimewaan : Bila dia menyanyi smua haiwan seperti tupai, burung dan mentarang pi tempat dia


Hobi : Suka bercakap ngan org asing sesuka hati dan suka makan epal beracun


Percintaan : Akhirnya ada prince yang kejutkan dia masa dia dalam keranda kaca






Nama : Sleeping beauty


Karakter : Dia tidur sebab disumpah


Keistimewaan : Oleh sebab dia sorang, satu istana pun dapat tidur gak


Hobi : Suka tidur tidur dan tidur


Percintaan : Akhirnya dia terjaga dari tidur sebab putera raja.






Nama : Rapunzel


Karakter : Berambut cantik yang sangat panjang


Keistimewaan : Tak perlu bina tangga bila dah ada rambut dia.


Hobi : Sesuka hati je bagi orang tarik-tarik rambut dia.


Percintaan : Akhirnya ada seorang lelaki yang selamatkan dia dari terus menjadi mangsa mereka yang tak bertangga.


Mari kita bermuhasabah sejenak..

Sayang-sayang Cinderella sayang, anda mempunyai sifat ketabahan walau diherdik, impian dan cita-cita yang tinggi bahkan bila terus dihina anda masih mampu bersabar.. Tetapi ketahuilah bahawa, muslimah kami lebih tabah menjalani hidupnya.. Dia lebih tabah dalam bermujahadah walau disinisi oleh masyarakat sekitarnya.. Tidak perlu dia mengharap lamaran putera raja untuk membuatnya bahagia, kerana dia tahu kebahagiaan itu adalah bersama Ilahi. Kerana sampai bila-bila pun baginya kepahitan itu tetap indah. Biar dihina dicaci diherdik dan -bila pun dia sanggup bermujahadah dalam kepahitan ini. Walau tiada pengakhiran indah. Kerana Allah segalanya sempurna.






Sayang-sayang Snow White sayang, anda memang mempunyai hati yang baik. Sikap ramah dan bertimbang rasa dengan orang lain. Bahkan semua di sekeliling anda sayangkan anda. Tetapi ketahuilah bahawa muslimah kami lebih mulia hatinya. Muslimah kami juga cintakan ukhwah. Muslimah kami juga suka menyambung tali persaudaraan. Muslimah kami juga bersifat penyayang dan menyayangi makhluk Allah lainnya. Bahkan Muslimah kami tegas tentang pergaulannya dan berwaspada tentang maruah dirinya. Kerana ketahuilah, takkan sanggup muslimah kami serumah dengan mereka yang bukan Mahramnya.






Sayang-sayang Sleeping beauty sayang. Anda memang seorang yang disayangi. Semua orang menyayangi anda. Malahan anda dikurniakan kecantikan, dan hampir segalanya. Tetapi ketahuilah bahawa muslimah kami tidak pernah tidur dalam amalnya. Bahkan Muslimah kami tidak pernah tidur dan alpa dari mujahadahnya. Bahkan seusai lelap malamnya. Muslimah kami terjaga dengan semangat dan harapan. Harapan untuk memulakan perjuangan yang lebih baik dari semalam. Tidak perlu muslimah kami mengharapkan pertolongan seorang lelaki untuk mendamba cintanya dan menyelamatkannya dari kesedihan. Cukup Allah baginya untuk terus kuat dan tabah..!






Sayang-sayang Rapunzel sayang. Anda memang dikurniakan mahkota diri yang indah. Rambut yang panjang mengurai itu menjadi aset diri. Tetapi ketahuilah bahawa muslimah kami itu indah kerana hijabnya. Muslimah kami indah kerana tersembunyi menjaga maruahnya. Muslimah kami tidak memerlukan pujian untuk mahkota diri itu kerana mahkota diri yang indah itu hanya layak ditatap suami. Bukan ditatap percuma oleh lelaki-lelaki asing. Muslimah kami lebih rela menjadi seperti pohon semalu yang berduri dari kecantikkannya dinikmati oleh sang kumbang yang memerhati. Tersembunyi, terpelihara, dan sukar disentuh dan dimiliki. Malah melihat tawadduk dan perlakuannya sahaja sudah cukup untuk memanggil kita untuk bermuhasabah diri. Di sanalah indahnya muslimah kami..!






Betapa lalainya dunia kita dengan hiburan-hiburan semata tanpa bermuhasabah diri. Kita lebih mengambil karakter-karakter dari Barat sebagai contoh dan berangan-rangan tanpa menyedari agama kita juga mempunyai contoh yang baik. Sehingga karakter-karekter ciptaan barat ini sudah menjadi sebati dalam diri kanak-kanak Islam hari ini. Ketahuilah bahawa, Islam itu merangkumi segala aspek dan contoh hidup yang terbaik. Kita lebih tahu tentang karakter disney princess yang dongeng belaka dari menyedari muslimah kita adalah watak terindah yang benar-benar wujud..!


"Sekarang, mana satu karekter puteri pilihan anda..?"

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Entri Saya

LURUSKAN NIAT DALAM BERBLOGGING

Blogger A : Ish, tak boleh jadi ni, semakin hari semakin ramai follower dia. Blog aku pun Islamik jugak, tapi kenapa blog dia lebih dapat sambutan..? Menyampah aku. Dah lah ramai orang komen blog dia, menyampahnya..! Sakit hati aku..! Macamlah dia bagus sangat..! Aku kena buat sesuatu.


Blogger B: Alhamdulillah, semakin ramai yang follow, harap yang follow tu dapat manfaat. Eh, ada komen baru. Ha, apa orang ni tulis ni. Astaghfirullahal 'azim. Ya Allah, ampunkanlah dosanya. Luputkanlah hasad dengki manusia terhadap aku. Amin.


"Salam. Wei, penulis blog, kau ingat blog kau bagus sangat ke ramai follower, ramai orang komen. Blog je Islamik padahal orang bukan Islamik sangat pun. Ikhlas sikit kalau menulis tu. Hipokrit punya orang..! Blah la, menyampah aku dengan kau ni"




SISI PUTIH : "Hey you..!"


SISI HITAM : "What..?"


SISI PUTIH : "What are you doing..?"


SISI HITAM : "What..? Who are you..?"


SISI PUTIH : "Yela, tukar, tukar. Cakap BM pula. Ha..? Siapa saya..? Saya adalah awak, awak adalah saya"


SISI HITAM : "Eh, apa pula dia adalah kau, dia adalah aku. Eh, budak, nama kau sape dah, tak ingat pula aku"


(Putih + Hitam = Kelabu = Neutral )


SISI KELABU : "My name is Ali"


SISI HITAM : "Ceh, speaking, padahal nama tak komersial langsung"


SISI PUTIH : "Apa kena dengan awak ni, nama Ali tu punya maksud yang baik. Yang tinggi. Biar semakin tinggi keimanan, semakin tinggi kesolehan. Sahabat Nabi SAW pun ada nama Ali"


SISI HITAM : "Ahh..! Ni apesal cakap pasal nama pula. Eh, Whitey, apehal kau jerit-jerit dekat budak ni tadi..?"


SISI PUTIH : "Ni ha Blackie, tengok apa dia komen dekat blog orang. Tak puas hati dengan blog orang yang punya follower ramai, komen banyak. Saya nak cegah perkara buruk. Ni boleh merenggangkan ukhuwah"


SISI HITAM : "Hahahaha. Memanglah, dia buat macam tu sebab ikut cakap aku. Bagus anak didik aku ni. Pergi blah la kau. Dia milik aku. Hahahaha."


SISI PUTIH : "Memang hitam la awak ni, ambik ha, straight to the point. Kalau jahat tu, memang jahat la juga, lagi straight to the point. Aww, tak baik tahu. Saya nak selamatkan dia daripada awak. Ali, awak ok..? Are you ready, bebeh..?"


SISI KELABU ALI : "What the.. Huh..?"


SISI HITAM : "Kau nak buat apa..?"


SISI PUTIH : "Awak shut up, Blackie. Ok my baby, you're ready. Let's get into our lesson, hayya nabda'..!"



Kenapa Perlu Dengki?


Wahai Ali..!


Kenapa perlu dengki..? Kenapa perlu dengki dengan blog orang lain..? Awak dengki dengan blog orang lain yang ada follower ramai..? Awak dengki tengok blog dia ramai yang komen..? Dan tidak seperti pengomen blog awak..? Awak dengki tengok blog dia lebih Islamik berbanding blog awak..? Awak dengki tengok dia pandai menulis tetapi awak tidak..? Awak dengki.


SISI KELABU ALI : "Dah.. Sudah..!" *menangis*


Awak jangan tipu diri awak. Awak sudah tahu agama, tetapi kenapa buat begitu. Blog dia bagus, dia berdakwah melalui blog. Kenapa awak perlu dengki..? Blog awak pun bertemakan dakwah juga, jadi kenapa awak perlu dengki..? Melainkan..


SISI KELABU ALI : "Melainkan apa..?"


Melainkan awak menulis bukan kerana Allah SWT..



Untuk apakah penulisanmu..?



Wahai Ali..


Untuk apakah penulisanmu..? Awak masuk dunia blogging ini untuk apa..? Untuk tunjuk awak ada banyak ilmu ke, selepas itu apabila orang lain lebih banyak ilmu daripada awak, awak tidak puas hati..?


Awak jadi blogger kerana hendak tunjuk blog awak ramai pengunjung, ramai yang komen dan puji setiap post awak, ramai yang singgah, selepas itu apabila tengok blog lain lagi maju daripada awak, awak tidak puas hati..?


Awak menulis itu kerana hendak tunjuk awak seorang alim, baik dan selepas tengok blog orang lain lebih alim, lebih baik daripada awak, awak tidak puas hati..? What's wrong with you..? Untuk apakah penulisanmu..?


Jika itu tujuan awak, saya nasihatkan awak berhenti daripada menulis. Buang masa awak sahaja. Awak pun tahu kan, sesungguhnya setiap amalan itu disertakan dengan niat. Awak menulis untuk berdakwah. Kononnya, betul ke..?


Lagi sekali, awak jangan tipu diri awak. Jika niat awak tidak betul, berhentilah. Sia-sia sahaja. Penat sahaja awak dapat..



Wahai Ali..


Seharusnya awak rasa berbangga ada blog lain yang sama tujuan dengan awak. Niat murni hendak membangunkan Islam. Niat murni menulis untuk mengetuk jiwa-jiwa yang adakala lalai dan lupa. Yang menulis kerana inginkan keredaan Dia.


Jika awak masih tidak dapat buang hasad dengki awak itu, dan hasad dengki awak itu tidak dapat menjadikan awak lebih baik, saya betul nasihatkan awak. Berhenti sahajalah. Lebih baik awak buat sesuatu yang lain.


SISI KELABU ALI : *Terasa* *Hatinya menangis* *Pedih*


Menulislah Hanya Kerana Dia



Wahai Ali..


Saya cakap ini kerana saya sayangkan awak. Cuba awak lihat semula hati awak. Pernah awak tanya diri awak..? Awak menulis untuk apa..? Untuk dapat follower ramai..? Untuk dapat komen terbanyak..? Atau memang untuk mereka mendapat manfaat..?


Pernah awak tanya diri awak semua itu..? Lagi, awak menulis untuk siapa..? Awak selalu kata kerana Allah SWT. Mulut dan tulisan awak kata untuk dakwah, hati awak bagaimana..? Pernah awak tanya..?


Jika betul kerana Allah SWT, kenapa perlu awak dengki..? Awak renung kembali, untuk apa penulisan awak..? Apabila Allah SWT tanya, awak hendak jawab apa..? Hanya setakat basa-basi di dunia, atau awak sedar bahawa inilah pelaburan jangka panjang awak..?



Wahai Ali..


Perbetulkan niat awak. Muhasabah diri awak kembali. Menulislah kerana Allah SWT. Apabila benar hati awak berkata menulis kerana Allah SWT, tidak akan pernah terdetik rasa dengki di hati awak. Riak dengan tulisan awak pun tidak. Jika awak menulis kerana Allah SWT, apabila post awak dipuji, kembalikan pujian tu kepadaNya kerana Dia yang bagi ilham kepada awak. Kalau Dia tidak beri idea dan buah fikiran, awak tidak boleh tulis walau satu patah perkataan pun.


Jika benar awak menulis kerana Allah SWT, awak sokonglah blog lain yang juga mengajak untuk semakin mendekati Allah SWT dan tautkan ukhuwah dengan blogger lain kerana Allah SWT. Jika benar awak menulis kerana Allah SWT, awak pasti akan tumpang gembira apabila melihat blog Islamik lain dapat sambutan.


Jika benar awak menulis kerana Allah SWT, walaupun blog awak tidak ramai follower dan tidak ramai yang komen, awak akan tetap rasa bahagia. Bahagia kerana dapat menyumbangkan sesuatu untuk Islam. Sekurang-kurangnya awak berusaha.


Jika benar awak menulis kerana Allah SWT, walaupun blog awak sedikit pengunjung, awak tetap tidak akan putus asa, kerana awak benar-benar ikhlas menulis, awak benar-benar menulis setiap patah perkataan untuk mengingatkan manusia dan diri sendiri.


Ketuk Hati Tanya Iman.



Wahai Ali..


Menulislah dengan penuh rasa ketaqwaan, tawaduk dan rendah diri. Suatu masa nanti, apabila awak akan kembali kepadaNya, awak akan ditanya, untuk apakah tangan awak itu..? Menulis setiap entri blog dengan niat kerana Allah SWT atau pun niat kerana perkara yang lain..?


Suatu saat nanti, awak akan ditanya, untuk apa penulisan awak. Untuk apa masa yang awak pertaruhkan saat duduk di hadapan laptop dan melarikan tangan di atas keyboard..?



Wahai Ali..


Awak cukup bertuah. Punya peluang berdakwah melalui warkah bisu. Warkah bisu inilah pelaburan jangka panjang awak dan semakin bertambah nilainya andai dilakukan atas niat yang benar dan hati yang penuh ikhlas.


Awak cukup bertuah. Tidak ramai yang menggunakan teknologi kini betul-betul untuk perkara Akhirat, dan kini awak yang punya kesedaran, kenapa dipesongkan niat asal awak..?



Wahai Ali..


Selagi hayat masih ada, pergunakanlah peluang awak sebaiknya. Menulislah kerana Dia. Sokonglah blog Islamik yang lain kerana Dia. Awak punya masa untuk berubah. Berubahlah. Ubah niat awak. Ubah hati awak ke arah yang lebih baik. Ke arah jalan yang betul.


Menjadi seorang penulis itu bukan hanya tahu memberikan pandangan dan pendapat sahaja sedangkan pada hakikatnya hati sendiri tidak terpandu kepada tuntutan Iman.


Menjadi seorang penulis itu bukan hanya pada tulisan yang jelas menunjukkan cahaya sedangkan hati sendiri gelap gelita. Tetapi biarlah menjadi seorang penulis, yang semakin menulis semakin dirasakan sedikit ilmunya hingga menuntut untuk terus mencari ilmu dan meningkatkan amalan.


Biarlah menjadi seorang penulis yang semakin membicarakan persoalan iman, semakin hatinya lembut dan jiwanya tunduk. Hanya mengharapkan rahmat dan keredaan Allah SWT agar apa yang ditulis benar hanyalah semata-mata kerana Dia dalam wasilah penyebaran dakwah dan apa yang ditulis inilah yang akan menolongnya di akhirat sana.



Wahai Ali..


Carilah Akhirat dalam dunia.


"Blogger B, maafkan saya, tak sepatutnya saya cakap macam tu dekat awak. Penulisan awak bagus, teruskan ye..! Ma'annajah..!"


SISI KELABU ALI : *Senyap* *Benar-benar menangis* *Hatinya pedih* *Benar insaf*


SISI PUTIH : "Ali..? Awak dengar tak apa yang saya cakap..?"


SISI KELABU ALI : *Diam*


SISI PUTIH : "Ali..? Baby..?"


SISI KELABU ALI : "Huwaaaaa..!!!"


SISI HITAM : "Eh, ni kenapa ni, kacau aku tidur je. Kenapa pula budak Ali ni nangis..? Eh, Whitey kau buat apa dengan budak ni."


SISI PUTIH : "*Senyum* Awak tanyalah dia"


SISI KELABU ALI : "Ali dah insaf. Sob, sob" *Mengesat air mata*


SISI HITAM : "Insaf apa pulak ni. Hati aku rasa tak sedap dah ni"


SISI KELABU ALI : "Ali tak nak dengar cakap Blackie. Ali nak dengar cakap Whitey"


SISI PUTIH : "Hehe. Awak dengar tu Blackie, Ali dah jadi anak murid saya. Tu baru kena basuh sikit tu."


SISI HITAM : "Wei, kau buat apa. Ali, ikut Blackie la."


SISI KELABU ALI : "Tak nak jugak, huh..!" *Paling muka arah lain*


SISI HITAM : "Ali, ikutlah Blackie, Whitey salah, dia hasut Ali tu"


SISI KELABU ALI : "Ali kata tak nak..! Tak nak jugak..!"


SISI HITAM : "Ok, fine..! Menyampah. Asyik aku je kalah. Ni yang aku angin ni. Fed up aku kalau hari-hari macam ni." *Beredar*


SISI PUTIH : "Good kid"


Sisi hitam tidak akan pernah henti memujuk rayu dan menghasut mengganggu sisi putih yang suci bersih. Jangan biarkan diri dalam kekeliruan tujuan dan matlamat. Perbetulkan niat.


Wahai penulis, menulislah bersama hati sisi putih. Gapai keredhaanNya dengan setiap patah perkataan warkah bisu yang ditaip. Carilah Akhirat dalam dunia, dirimu pasti beruntung.


Buat hanya kerana Dia. Sematkan dalam hatimu. Hanya kerana Dia. Hanya kerana Dia. Hanya kerana Dia. Cari redha Dia dengan ilmu, idea dan ilham yang juga milik Dia. Kelak pasti dirimu bahagia.

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Entri Saya

DIA PAKAI TUDUNG, TAPI

Dia pakai tudung tapi, dia gelak kuat-kuat depan orang ramai. Kadang-kadang bertepuk tampar dengan lelaki. Suka menggedik cari perhatian orang. Balut aurat bukan tutup aurat. Sumpah seranah kata-kata sesat sambil singsing lengan bila marah. Yang memerhati pulak bertanya,


"Perempuan ape macam tu..? Pakai tudung tapi perangai entah hape-hape..!"


Berhenti..! Hentikan menghakimi dia. Sebab dia manusia biasa dan dia buat silap. Memang, tak patut dia buat begitu. Tapi seperti saya cakap, dia hanya perempuan biasa. Sekadar manusia biasa yang tak pernah lari daripada melakukan kesilapan.


Jadi, apa patut kita buat..?


Daripada mengutuk mengumpat dia, tegur dia kan bagus.. Batu yang keras pun boleh berlubang disebabkan air yang berterusan menimpanya..! Kenapa selalu salahkan tudung sedangkan kelakuan si pemakainya yang bersalah..? Benci kepada dosa bukan pendosa.

Manusia.
Gemar jadi juri daripada menjadi penasihat kan..?

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Entri Saya

I AM FREE, MUSLIM NIQABI

I know that a LOT of people out there immediately associate a modest women in her Hijab or Niqab as limited, oppressed, subjugated and uneducated. Well, people who think that way ought to know that they are the ones who are limited, oppressed, subjugated and uneducated so much to the extent that they fail to realize that we Muslims women wear what we want and they have absolutely no right to question what we are doing out of love.


For those who live under the wrong impression that the Niqab limits my freedom, take my word on what freedom really is.  I don't have to enlighten anyone on the time and effort women make to beautify themselves. How many hours do women spend in front of the mirror, applying make-up, choosing the best dress, the best shoes, the best hair-do, the best hairpins, etc, etc, etc..? But for whom do they do all this..? Are they so insecure with the way they look, that they have to spend hours in front of the mirror beautifying themselves so they look appealing in the eyes of others..?


Well, I certainly don't. I'm perfectly secure with the way I am and when I go out with my Niqab, I don't have to spend hours before the mirror beautifying myself for people to see. 


No.


I dress for myself. I'm free to dress the way I want. I am free to cover up. I am free to walk outside, knowing fully well that I don't have to impress people to make myself feel secure.


In other words, I am free. So much more free than all those Niqab haters can ever perceive. To them my Niqab might appear to oppress me, but they'll never understand how liberating it is for me and all those countless Niqabis out there.


You know why..? Because I don't dress for people or the world. I don't have to follow the latest fashion trends to be beautiful. I don't have to apply make-up to make myself beautiful. I don't have to spend hours before the mirror before going out just so I look presentable to the world.


I wear what I want, for myself and for pleasing Allah. Because only in doing so do am I free. I feel free. I know deep inside of me that I am free.

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Entri Saya

AKU, KAU DAN KITA ADALAH KAUNSELOR



Sabda Rasulullah SAW,

"Jalan untuk beribadat kepada Allah itu banyak, sebanyak nafas makhluk"


Ada beza antara sympathy dan empathy. Dua perkataan yang seakan sama bunyinya tapi membawa makna yang sangat berbeza.




Scene 1

A : Aku sedih sangat. Sem ni aku terpaksa repeat dua paper. CGPA aku jatuh teruk. Macam mana ni..? Aku buntu. Mesti mak ayah aku kat kampung terlalu kecewa dengan keputusan aku sem ni.


B : Ye ke..? Oh, aku faham sangat perasaan kau tu. Memang mak ayah kita ni, tak lain yang mereka nak, hanya kejayaan kita. Tu la . Sem ni aku nasib baik sikit kalau nk compare dengan sem yang lain. Alhamdulillah DL. Aku tak sangka jugak sebenarnya. Maybe sebab aku pulun habis malam killer paper tu..




Scene 2

A : Ke mana aku nak pergi lepas ni..? Suami aku ceraikan aku. Dah la aku tak bekerja. Umur bukan muda lagi. Aku tak sangka. Tak sangka dia sebelum kawin dan selepas kawin sangat berbeza. Betul la kata orang. Kecantikan paras rupa tak menjamin kebahagian hakiki dalam rumahtangga..


B : Takpe, Som. Banyakkan bersabar. Ajal, maut, rezeki dan jodoh sudah ditentukan. Aku bersyukur sangat. Alhamdulillah suami aku ni terima aku apa adanya. Dia sangat memahami. Walaupun dia selalu outstation, tapi dia tak pernah buat aku rasa sunyi.


Aku, kau dan kita adalah kaunselor antara satu sama lain. Tak perlu majoring in counselling dan psychology dulu baru layak motivate dan nasihat orang lain. Kerana kita manusia yang sama mempunyai hati dan perasaan. Terusik bila disakiti. Sedih bila dibenci. Terasing bila diabaikan. Sakit bila diperkecikan. Normal kan..?


Apa yang kita ada dan miliki, bukannya milik kita hakiki. Itu kan pinjaman. Apa yang kita ada dan miliki, bukan hasil titik peluh kita mutlak. Itu kan ujian. Apa kata kita jadi kaunselor buat orang sekeliling kita? Tak susah, sekurang-kurangnya fahamilah situasi mereka. Bukan menjatuhkan. Jadikan cerita jatuh dan bangun dalam hidup kita, mampu memberi inspirasi kepada orang lain.


Jangan hanya berfikir untuk menuntut hak. Sentiasa berusaha untuk memberi dan menunaikan hak buat orang sekeliling. Sebagai contoh, dalam perkahwinan. Banyaknya perselisihan berlaku kerana manusia hanya inginkan hak mereka dan tanpa menunaikan hak yang sepatutnya. Mereka tercari-cari kebahagian dalam rumahtangga sehingga terlupa membawa kebahagian dalam rumahtangga.


Manusia terlalu memikirkan hati dan perasaan sendiri sehingga terlupa menitikberatkan hati dan perasaan orang lain. Dan akhirnya hanya menyakitkan orang lain. Adil ke..? Selalu terbaca, 'kawan ketika kita senang dan berjaya mudah sangat dicari dan kawan ketika kita susah dan gagal sangat sukar dijejaki.' Tapi betul ke kita sentiasa ada buat kawan kita ketika dia sangat memerlukan..?


Percayalah. Hidup kita ibarat depan cermin. Apa yang kita buat, itulah yang akan kita dapat balik. Kalau jahat yang kita lakukan, buruklah kesannya. Kalau baik yang kita lakukan, bahagia dan tenanglah hati kita. Cuma cepat dan lambat itu urusan Allah. Kalau tak didunia, di akhirat sana itu pasti.


Jangan terlalu mencari kebahagiaan dan kejayaan sampai terlupa untuk membahagiakan dan membantu orang sekeliling kita untuk berjaya sehingga mampu menyakitkan mereka. Percaya cakap saya. Kita akan tenang dan bahagia jika kita sentiasa membawa suasana ketenangan dan kebahagiaan buat orang sekeliling kita sebab Allah sayang mereka yang menjalin hubungan yang baik sesama kita.



Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

"Allah yang Maha Agung dan Mulia menjumpaiku (iaitu dalam tidurku)"


kemudian berfirman kepadaku,

"Wahai Muhammad , katakanlah : 'Ya Allah, aku memohon kepadaMu untuk mencintaiMu, mencintai sesiapa sahaja yang mencintaiMu serta mencintai perbuatan yang menghantarkan aku untuk mencintaiMu"
(HR Imam At-Tirmizi)

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Entri Saya

SIAPA YANG PALING KEJAM

Tiga orang lelaki yang sedang mabuk bertanding untuk menentukan siapa yang paling kejam. Lelaki yang pertama menyerang seorang perempuan dan memukulnya sehingga giginya patah, lebam kedua biji matanya dan darah keluar daripada hidung dan telinga perempuan itu.


Akhirnya perempuan itu jatuh ketakutan dan badannya menggeletar. Dia berpusing menghadap dua lelaki dan berkata dengan bangganya,


"Akulah orang yang PALING KEJAM..!"


Tidak berpuas hati, lelaki kedua bangun dan mengoyak baju perempuan itu, merogolnya dan terus mencekik perempuan itu sehingga perempuan itu mati. Dan dia berkata sambil mendabik dada,


"Tidak ada siapa yang lebih KEJAM daripada aku..!"


Lelaki ketiga pula bangun dan tersenyum. Dia menjawab,


"Akulah yang paling kejam.. Aku cuma berdiri dan melihat kekejaman kamu sedangkan perempuan ini adalah adik aku"


Perempuan itu adalah Palestin / Syria / Rohingya / Mesir. Lelaki pertama ialah Israel. Lelaki kedua adalah Amerika Syarikat. Lelaki ketiga pula ialah Umat Islam (Kita) yang hanya berdiam diri dan melihat apa yang terjadi.


Tahniah kepada Umat Islam..!!


Berdiam diri dan melihat kekejaman di hadapan kita, itu sahaja yang mampu kita buat. Mahukah kita jadi sekejam lelaki ketiga..?


Ayuh..!! Kita bersatu demi Islam, bantulah seboleh yang mampu.. Sama-samalah kita muhasabah diri.. Sejauh mana usaha kita untuk menolong saudara-saudara Islam kita.. Renung sejenak sebanyak mana doa yg kita telah hadiahkan.. Umat Islam itu lemah kerana mereka JAUH daripada agama mereka sendiri..

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Entri Saya

BAHAGIA KEJUTAN TUHAN

Humaira menyeka tangis. Ada cemburu. Ada sesal. Ada persoalan-persoalan yang tak terjawab dek logik akal manusia. Ada amarah pada sebuah kisah duka.



"Humaira, luahkan pada Allah tentang apa yang masih membelenggu jiwamu. Jika Humaira perlukan nenek, nenek sedia mendengar dan menasihat mana yang perlu"


Suara tua itu bagaikan datang tepat pada masa jiwa terluka Humaira memerlukan. Humaira diam. Ada lara yang ingin dikongsi. Entah apa yang dimahukannya, dia pun tidak mengerti. Ibu tua itu datang mendekat, memeluk Humaira erat-erat. Pelukan penuh kasih sayang yang mengundang kembali tangis Humaira yang sudah pun bersisa tadi. 



"Humaira, seharusnya tangis itu Humaira hadiahkan pada Allah sebagai tangis sesal, tangis taubat atas kesilapan lalu. Biar tangis itu dihitung oleh Allah buat bekal ke Syurga nanti, sayangku"


Humaira yang kian tak malu melepaskan sendu cuba mengawal emosinya.




"Ceritakan pada nenek. Mana tahu nenek dapat membantu..?" 


Pujuk ibu tua itu sambil mengusap-usap kepala Humaira. Humaira menceritakan kisahnya. Sesekali Humaira terdiam cuba mengawal tangis daripada turun meluru laju kembali. Ibu tua itu setia mendengar, sesekali mengusap-usap belakang Humaira. Biar Humaira melepaskan segala yang terbuku di hatinya. Lalu Humaira mengakhiri kisahnya dengan kata lafaz penuh sendu..



"Dan begitulah berakhirnya sebuah kisah duka"


Matanya berkaca. Ada riak kecewa pada sebuah perjalanan kehidupan yang cukup mencabar sabar dalam jiwanya. Ibu tua itu lantas memegang tangan Humaira sambil berkata penuh makna, 



"Humaira, sebuah pengalaman duka sememangnya harus diakhiri supaya dapat kita semua mula melangkah untuk memulakan coretan kisah-kisah bahagia yang baru"



"Akan adakah bahagia untuk Humaira..?"


Katanya naif, masih tak lepas melayan emosinya.


"Terpulanglah"


"Terpulang pada sejauh mana Humaira yakinkan Kasih Sayang Allah. Bergantung pada sejauh mana Humaira bersangka baik pada Allah"



"Allah"


Terpacul sebuah nama indah dari bibir Humaira. Satu nama yang dimiliki satu zat yang Maha Berkuasa lagi Maha Berkehendak. Satu Zat Yang PengetahuanNya tiada langsung tandingan.


"Izinkan hati Humaira untuk melihat kembali dunia yang penuh dengan kebahagiaan dan keindahan. Izinkan kecintaan itu masuk menusup kembali dalam jiwa. Segalanya ada di tangan Humaira" Kata-kata ibu tua itu bagaikan berdesing di telinganya. Humaira tahu, pasti bukan mudah.


"Tak salah untuk mencuba, kan..?"


Ujar ibu tua itu lagi seakan-akan dapat membaca apa yang sedang bermain di fikiran Humaira. Humaira mengangguk. Ditariknya nafas dalam-dalam, lalu dihembuskan segala baki kesedihan yang entah dari mana kembali datang menjengahnya tadi. 



"Astaghfirullahal 'azim"


Saat itu, Humaira mula tahu. Bahagia itu perlu hadir dalam jiwanya sendiri, dengan berkat Cinta dan Kasih Sayang Allah, Tuhan semesta alam. Pengalaman pasti takkan terpadam, tetapi bakal menjadi guru terbaik untuk menjadi peringatan perjalanan ke akhirat.


Humaira memandang langit.. Namun terlalu jauh untuk akalnya mencari-cari akhirat, tempat pulangnya yang pasti..



Akalku menggeledah langit
Mengharap dapat mengintai akhirat

Biar matlamat terpasak dalam-dalam
Berpaksi dalam sebuah jiwa yang suram



Aku mencari sebuah kisah langit

Satu-satunya kisah yang dapat menguat langkah
Kisah Syurga buat meninggi matlamat
Kisah Neraka buat hati-hati sangkaan jiwa yang gundah.



Aku menadah cinta langit

Menghayati limpahan Kasih Sayang
Yang tak pernah putus walau seketika
Hanya aku yang sering keras dalam merasa



Kisah langit itu akhirnya kutemui

Rupanya ada pada sesuatu yang setia dalam genggamanku
Yang sering mengetuk-ngetuk jiwa
Pada kalam rindu Tuhan Yang Satu
Quran Al-Karim



Humaira menutup bukunya. Bagai bayu indah datang menyapa. Akhirnya bertalu-talu bahagia datang saat diyakini kasih sayang dan cinta Dia yang Menjadikan. Kisah suram rupanya pemula sebuah kerendahan jiwa pada Tuhan. Sebuah kisah yang menyentap jiwa untuk kembali larut dengan rintihan taubat. Untuk mensyukuri keindahan wasilah bahagia yang datang mendamba sebuah hati yang tulus ikhlas kerana Dia.



Hati sudah tak pandai berbicara
Terkesima dengan rahsia manisnya bahagia

Terpegun dengan indahnya perancangan Tuhan
Malunya aku pada ragu persangkaan



Terima kasih Tuhan

Kerana tak pernah membiarkan
Kaki ini melangkah jauh
Dari kepastian nikmat Syurga yang utuh

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Entri Saya

AKU DAN PEREMPUAN ITU

"AIDS..?" Aku mengulang kata Kak Long. 



Hati bagai tidak percaya. Tidak mungkin orang sebaik Ain menghidap penyakit itu. Namun, takdir Allah siapa yang tahu..?


"Ya. Dia menghidap penyakit tu dah lama dah. Ni kira tunggu masa malaikat maut nak jemput dia masuk kubur je..!" Suara sinis Kak Long menyapa gegendang telinga. 



Ku kerutkan dahi. Serasa ada sesuatu dalam nada suara Kak Long. Wajah Kak Long ku renung dari ekor mata.


"Kak Long kenal Ain di mana..?" Tenang ku lontarkan persoalan. 



Kak Long menghela nafas panjang.


"Dia datang jumpa Bang Long kamu beberapa tahun lepas. Cerita pasal masalah dia. Keluarga dia dah buang dia. Dia tu anak orang berada. Ayah dia berpangkat Tan Sri. Tapi tu lah kan, duit, harta, pangkat kalau dah banyak sangat mulalah lupa akhirat. Tu yang kena AIDS tu. Memang sahlah sosial sangat. Habis semua tergadai. Memang perempuan yang tak elok. Buat malu keluarga je. Lepas tu datang ke sini. Hish. Habis budak-budak yayasan ni nanti terpengaruh pula dengan dia..!" Kak Long mencebirkan bibir.


Ku lihat wajah Kak Long. Apakah itu hanya serkap jarang..? Tidak mungkin Ain orang yang sebegitu. Walaupun tidak pernah berbicara dengan gadis itu, tapi aku yakin Ain tidak sejahil itu. Bimbang Kak Long hanya mengagak, aku meringankan mulut untuk bertanya.



"Mana Kak Long tahu Ain tu macam tu..? Kak Long pernah tanya dia ke..?"



Kuali besar yang usai dibasuh dihempas Kak Long. Aku mendiamkan diri. Amarah Kak Long seperti tidak bersebab! Namun, andai dilawan hanya membawa kepada musim kemarau nan panjang. Mungkin saja hubungan aku dan Kak Long pula yang renggang. Suara tegas Kak Long mula kedengaran.


"Yang kamu ni nak back up dia kenapa..? Pernah ke kamu bercakap dengan dia..? Pernah..? Orang yang dapat AIDS ni, tak lain tak bukan sebab buat benda-benda yang haram tau tak..? Yang bukan-bukan. Si Ain tu ingat datang yayasan ni elok tudung labuh semua, orang nak pandang dia dah insaflah..? Tolonglah. Abang Long kamu bolehlah tertipu dengan tipu helah dia. Kalau Kak Long, sorry..!"



Lantangnya suara Kak Long mengisi segenap penjuru. Mulutku terkunci rapat. Keberanian untuk mempertahankan Ain datang sekejap cuma. Wajah ku ditundukkan. Tekun aku menyusun pinggan mangkuk di rak susunan. Walhal, hatiku bersimpang siur memikirkannya.


"Kak Long tak nak tengok kamu berkawan dengan dia. Bercakap pun jangan" Ujar Kak Long sambil mengatur langkahnya ke halaman rumah. 



Aku membisu. Mengiya tidak. Menidakkan jauh sekali. Lima tahun mengenali Kak Long, amarah Kak Long jangan dipandang remeh. Hanya saja kali ini, aku rasakan pandangan Kak Long kurang tepat.


Aku yakin Kak Long tidak membuat pertimbangan yang wajar. Tidak pernah ku lihat Kak Long melayan Ain sebagaimana dia melayan anak-anak yayasan yang lain. Dengan Ain, sering dia bermasam muka. Lagi-lagi andai Bang Long cuba membantu Ain dalam apa-apa jua urusan. Lagilah menjadi-jadi sikap Kak Long. Aku tahu. Sebetulnya Kak Long cemburu dengan kemesraan Bang Long. Walau berkali-kali Bang Long menjelaskan, saudara seagama perlu ditolong, bukan dicaci, dihina. Kalau bukan kita yang menolong, siapa lagi..?



Sejenak aku teringat kisah benar yang dibaca dari sebuah blog milik rakan usrah. Dia menulis, ketika dia kecil dia pernah bersekolah pondok. Suatu hari, seorang pelacur datang ke pondok itu. Meminta pertolongan. Namun, tidak ada seorang pun yang menolong. Pelacur itu dicaci, dihina malah dibaling batu. Kononnya dialah manusia paling berdosa dalam kampung itu. Sedangkan, yang menentukan dosa pahala seorang muslim bukanlah seorang muslim yang lain tetapi Allah SWT. Sayang, tidak ramai yang menyedari hakikat ini. Dan pelacur itu..? Dia berputus asa. Terasa tidak ada lagi yang mahu menolongnya. Mujurlah seorang ustaz keluar, dan mempelawanya masuk. Syukur, masih ada yang mahu menolong. Dan akhirnya..? Anda sendiri tahu kesudahannya.


Sambil fikiranku melewati memori sepi itu sendirian, perlahan telingaku menangkap gemersik suara seorang perempuan. Ku toleh ke tepi. Ya Allah..! Ain..! Apa yang harus ku buat..? Baru sahaja tadi amaran Kak Long ku terima, baru sahaja beberapa minit aku terus diuji. Ku jawab salam itu perlahan. Wajah Ain ku tatap. Benarkah dia pernah membuat onar..? Tersedar wajahnya direnungku, dia menoleh. Bibirnya tersenyum. 




"Manis!" Desis hati kecilku.


"Adik angkat Abang Rahman dan Kak Salwa kan..?" Perlahan Ain menuturkan bicara.



"Ya" Aku menjawab ringkas. 



Kerja ku teruskan. Aku bingung. Berbicara atau tidak..? Ku lihat Ain sedang mengambil bakul. Kunci pintu belakang yayasan diambil. Dan langkahnya diatur ke taman. Dan hati kecil ku berbicara,


"Bukankah ini peluang baik..? Taman dan halaman rumah sangat jauh. Aku bebas untuk berbicara dengan Ain tanpa pengetahuan Kak Long"


"Jangan..! Andai Kak Long tahu, nahas..!"




"Tidak..! Aku harus tahu hal sebenar. Dan ini juga untuk kebaikan Kak Long. Lagi pun, aku tidak mahu bersangka buruk"


"Risikonya tinggi..!"




"Aku harus pergi..!"




"Jangan..!!"



Aku berperang dengan diriku sendiri..! Akal sedarku melarangku pergi. Namun rasa hatiku tidak. Lantas ku atur langkah ke arah Ain. Dia sedang memetik bunga-bungaan. Aku berdehem. Untuk memaklumkan kedatanganku. Ain menoleh. Aku dapat rasakan mataku merenung setiap inci wajah Ain. Di sini, di bawah terik mentari nan suci, ciptaan Yang Maha Agung, baru aku mengerti maksud Kak Long.


Wajah Ain pucat. Dan serinya juga sudah hilang. Di dalam yayasan, lampu tidak dipasang. Mungkin, itulah punca utama aku tidak menyedari perubahan wajah Ain. Lama kami berpandangan, sebelum Ain menghela nafas panjang. Wajahnya dilanda kegusaran.


"Lebih baik awak masuk. Kak Salwa tak suka sesiapa pun rapat dengan saya" Perlahan Ain berbicara. 



Dan dia memalingkan badannya kembali. Tekun dia memetik bunga-bungaan. Dan langkahnya ku ekori rapat. Menyedari aku masih mengekorinya, Ain kembali menghadapku.


"Saya pesakit AIDS" Nadanya serius. 



Dan aku faham, dia mahu aku menjauhinya. Namun ku tegarkan diri. Persoalan itu harus dijawab hari ini.


"Jadi..?" 



Pernyataan dilontarkan persoalan. Kerut seribu muncul di dahi Ain.


"Lebih baik awak masuk" Ain bersuara. Lemah.


"Saya pun nak petik bunga jugak..!" Aku membalas. 



Bakul di tangan Ain ku ambil. Bunga ros merah ku petik. Di belakangku Ain tersenyum.


"Terima Kasih"



Aku diam. Tidak tahu respons apa harus ku berikan.


"Awak orang pertama"


Oh..! Aku mengerti ucapan terima kasih tadi untuk apa. Dan Ain kembali memetik bunga ros lalu dimasukkan ke dalam bakul. 5, 10 dan hampir 15 minit, kami diam. Hanya riuh rendah yayasan memenuhi ruang sepi kami. Aku tidak tahu bagaimana harus ku mulakan bicara. Kerana soalan yang akan ditanya mungkin juga menoreh kembali luka lama.


"Apa soalan awak..?" Ringkas Ain bertanya. 



Riak wajahnya sedikit pun tidak berubah. Namun jelas ku lihat ada kesediaan di situ. Kesediaanya untuk menjawab semua persoalan. Namun tegarkah aku..?


"Awak nak tahu sama ada saya buat perkara terkutuk atau tidak..? Dalam erti kata lain, macam mana saya dapat AIDS..?" Tenang Ain berbicara.


"Macam mana..?" Ayat itu tak mampu aku habiskan. 



Bagaimana mungkin..? Ku lihat Ain merenung jauh. Dan penyesalan mula bertapak di sudut hati. Arghh..! Bodohnya aku..! Bukankah ini isu sensitif..?


"Kerana setiap orang akan bertanya soalan itu. Dan usai bertanya, mereka mula menjauhkan diri. Tapi saya lega, sekurang-kurangnya ada yang bertanya. Daripada mereka hidup dengan spekulasi mereka sendiri"


Pantas. Wajah Kak Long menerpa fikiran. Sepi menyelubungi diri. Kaku. Ain terus menyusun jambangan bunga ros ke dalam bakul. Dan aku. Masih menunggu.


"Islam jatuh kerana sikap penganutnya sendiri" Ujar Ain. 



Aku memandang Ain. Pandangan kami bertaut. Dan untuk seketika kurasakan bagai sudah lama aku kenali dia. Dan jauh di sudut hati, aku iyakan bicaranya sebentar tadi.


"AIDS yang saya hidapi, bukan disebabkan pergaulan saya, mahu pun seks bebas" Kata Ain tegas.


Aku terpana. Sah..! Kak Long salah faham.


"Saya dibesarkan dalam keluarga yang berada. Segala kemahuan saya mampu ibu bapa saya penuhi. Sayangnya, saya tidak pernah disayangi sebagaimana adik-beradik saya yang lain. Hanya kerana abang meninggal sejurus selepas kelahiran saya. Jadi, saya dianggap pembawa sial" 



Perlahan lipatan sejarah hidup Ain dibuka. Satu demi persatu. Hairan, walau sebesar itu dugaan, Ain masih mampu menceritakannya dengan tabah. Sudahnya, kami beriringan menuju ke kerusi kayu di tengah taman. Di situ, baru aku mengerti, siapakah Ain yang sebenar.


"Dahulu, saya tidak tahu apa-apa tentang Islam. Ibu dan ayah saya tidak pernah ambil berat akan ilmu agama. Saya membesar dalam keadaan jahil. Malah, fikiran saya bercelaru. Saya sering memberontak. Saya sering bertanya pada mama. Untuk apa saya pakai tudung..? Bukankah kecantikan wanita layaknya dipandang oleh sang teruna..? Bukankah Islam menghalang hak wanita..? Jadi untuk apa saya memeluk agama ini..? Agama Islam yang menghalang kebebasan penganutnya untuk mengamalkan apa yang mereka suka..? Itu tak boleh, ini tak boleh. Malah, untuk bercinta sekali pun dilarang. Bagi saya, Islam hanya mempertaruhkan nasib penganutnya sendiri. Layakkah agama itu kita agung-agungkan..?"


Aku mendengar setiap patah bicara Ain. Buntu. Fikiranku kelam.


"Saya kerap membahaskan isu ini bersama rakan-rakan. Sasaran saya ialah mereka yang kuat dengan pegangan Islam. Saya beritahu pendapat saya. Saya terangkan pendirian saya. Dan awak tahu apa yang berlaku..?" Mata Ain diarahkan padaku. 



Meminta jawapan. Aku menjengketkan bahu. Sungguh. Tidak aku sangka seteruk itu Ain pada waktu dahulu.


"Mereka mencaci saya. Ada yang mengatakan saya akan murtad selama-lamanya. Malah ada yang mengatakan jalan pulang untuk saya tiada lagi. Ada yang menyimbah saya dengan air longkang. Alasannya, demi Agama Islam. Mereka menghukum saya. Ini meningkatkan kebencian saya terhadap Islam. Semakin hari, sinar itu makin jauh. Kebencian yang saya bina semakin memuncak. Di kolej, rakan-rakan seagama mula menjauhi saya. Namun, saya masih dengan pendirian saya. Sehinggalah pada suatu hari, Allah mempertemukan saya dengan Aisyah" 



Mata Ain mula digenangi air mata. Seolah-olah, perkara itu membuatkannya terharu amat.


"Ketika saya nekad dengan pendirian saya, Aisyah hanya tersenyum. Buat pertama kalinya, tidak ada yang mencebir bibir, tiada pandangan sinis, hanya senyuman. Dan Aisyah menerangkan pada saya sesuatu. Andai tidak kenal masakan kita boleh mencintai sesuatu..? Dan sejak itu, Aisyah memberi saya beberapa buku agama. Namun tidak pernah saya sentuh, Tafsir Al-Quran yang diberinya saya letakkan di bawah katil. Bukankah ia hanya buku biasa..? Untuk apa kita menghormatinya..?" 



Dan Ain tersenyum. Ah..! Manis sungguh senyumanmu Ain. Walau wajahmu pucat lesi. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, 

"Allah SWT berfirman, 'Aku sesuai dengan prasangka hambaKu kepada diriKu"


"Selama ini, kesilapan saya ialah berburuk sangka dengan Allah. Saya tidak mengenalinya. Saya tidak selidiki siapa Dia Maha Pencipta saya, dan terus sahaja saya bina konklusi. Dan akhirnya, saya terjumpa firman Allah. Walau hidayah itu milik Allah, namun ia takkan datang kalau tidak dicari. Kerana hidayahNya ialah sesuatu yang sangat bernilai. Mampu menjadi pelita dalam kegelapan. Menukarkan kelemahan menjadi kekuatan. Paling penting, memberikan kegembiraan tatkala hati menangis kesedihan..!" Tegas Ain menuturkan bingkisan ayatnya. 



Aku tersenyum. Tapi, masih ada dua persoalan yang masih belum dijawab. Apakah aku harus bertanya padanya sekarang juga..?


"Ain" Aku memberanikan diri. 



Sekilas, ku lihat wajah Ain bertentangan dengan wajahku.


"Awak masih belum jawab soalan saya" Wajah Ain tidak berani ku tatap. 



Aku menguis-nguis pasir di kaki.


"Saya dijangkiti AIDS kerana dendam kesumat sahabat ayah"


Sepi. 



"Apakah itu benar..?"


"Sahabat ayah seorang doktor. Ketika itu, saya kemalangan yang menyebabkan kehilangan darah yang amat banyak. Doktor tersebut tanpa disedari telah melakukan blood transfusion kepada saya. Dia telah memberikan darah pesakit AIDS. Tatkala saya disahkan menghidap penyakit itu, ayah tidak mengaku saya anaknya lagi. Baginya, saya mencemarkan nama baik dan reputasi keluarga seorang Tan Sri. Dia menuduh saya dengan bermacam-macam tuduhan yang tidak sepatutnya keluar daripada bibir seorang ayah. Mama menangis. Seluruh ahli keluarga menuduh imej baik saya hanya satu topeng untuk saya melindungi perbuatan jahat saya. Akhirnya, saya dihalau sehelai sepinggang. Aisyah yang mencadangkan saya untuk ke sini"



"Awak tak pernah menyesal..?"


Dia tersenyum lagi. 



"Untuk apa..? Mereka yang melakukan kesalahan kepada saya telah saya maafkan. Mereka masih jahil. Mungkin juga kesalahan mereka pada saya yang akan membuka pintu hati mereka untuk bertaubat. Siapa tahu..? Bukankah masa lalu itu amat mustahil untuk digapai..? Masa hadapan pula sesuatu yang misteri. Saya bersyukur dengan apa yang terjadi. Ada hikmah di sebalik kejadian. Di ceruk lain di dunia, masih ada insan yang lebih hebat ujiannya dari saya. Husnuzhon (sangka baik) kepada Allah. Mungkin, ini ialah balasan Allah terhadap dosa saya pada masa lalu. Saya tahu, saya yakin, Allah sangat-sangat sayangkan saya kerana itu, sabar saya, pasti akan dapat saya tuai hasilnya..!"


Aku berfikir sendiri. Cinta Ain padaNya besar amat..! Benarlah, sesuatu yang susah dimiliki, akan lebih kita hargai. Ain menempuh ranjau yang berduri, demi kasihNya pada Illahi. Kini, bukankah dia bahagia..? Walau pada pandangan manusia, dialah yang paling terhina. Cinta pada Allah, mampu menukar yang hina menjadi mulia. Ain, sungguh aku kagum denganmu.


"Cuma apa yang saya sesalkan ialah sikap saudara seagama kita" Perlahan suara Ain kembali memenuhi ruang sepi.


"Tatkala melihat saudara seagama yang lalai, yang mempermudahkan agama Islam, sering sahaja pandangan sinis dilontarkan. Menghujani mereka dengan cacian. Sedangkan kebanyakan daripada mereka ini tidak tahu. Masih jahil. Dan tugas kita, sebagai khalifah untuk membimbing mereka ke jalan yang benar. Sepertimana saya, andai Aisyah tidak membimbing saya, tidak sabar dalam melayani karenah saya, sudah tentu saya masih lagi seperti dahulu. Dan saudara seagama yang mencaci saya, tidakkah mereka sedar, Islam ialah agama yang menidakkan kekerasan. Islam ialah agama yang sarat dengan kasih sayang dan cinta. Andai mereka kenal semua ini, sudah tentu Islam tidak kecundang. Kes penzinaan tidak akan menular. Malangnya, hanya segelintir yang mahu memenuhi tanggungjawab sebagai seorang khalifah. Sayang. Allah SWT pasti kecewa dengan kita"


Aku dapat rasakan bening mataku kian panas. Dan air jernih mula mengalir dari sudut mata. Benar. Aku juga seperti golongan itu. Melihat saudara seagama kian melupakan hijab, aku pandang sinis. Terasa diri sudah terlalu baik, sedangkan tugas sebagai khalifah aku abaikan. Ghibah juga sering ku lakukan. Ya Allah. Aku benar-benar diberi pengajaran. Seketika aku dan Ain melayan perasaan masing-masing. Sesekali Ain terbatuk. Dan sedang aku berkira-kira mahu mengajaknya masuk ke yayasan, suara keras Kak Long mengejutkan aku dari lamunan yang panjang.


"Amira..!" 



Getar suara Kak Long sarat dengan ketegasan, bercampur dengan kemarahan yang amat. Ain memandangku dengan riak risau yang ketara. Aku tersenyum.


"Benarkan saya lakukan tugas khalifah saya yang pertama untuk hari ini" Aku berbicara tenang.


Ain mengerutkan dahi. Tidak mengerti. Aku berpaling. Langkahku atur ke arah Kak Long. Kak Long bagai singa betina. Kemarahannya kerana aku melanggar larangan. Aneh. Tidak ada perasaan takut dalam benakku. Sekilas terngiang-ngiang suara Ain.


"Ya..! Aku harus ubah sikap Kak Long. Husnuzhon, kan Ain..?"


Dalam hati aku berdoa, 


"Ain semoga pertemuan hari ini mampu membina ukhuwah yang menemukan kita di syurgaNya yang abadi..!"

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Entri Saya

CERITA HATI DI BIRMINGHAM


"What was I told you last time..?"


"Why won't you hear..?"


"I thought I've warned you"


"I'm not saying this because of jealousy or being ridiculous or what so ever.. But because"



Hari ini 27 Januari 2013. Najihah tunduk memandang lantai tanah yang tidak lagi ditutupi salji tebal. Dia baru sahaja melepasi lorong itu. Terdengar-dengar suara dua orang yang bertengkar dari dalam sebuah rumah. Langsung, dia teringat pada sesuatu.


Langkahnya kini sudah jauh meninggalkan kenangan hampir tujuh tahun yang berlalu. Waktu itu, atmosfera dingin langsung tidak terasa. Angin dingin dari Rusia yang datang seolah-olah melukakan sebuah persahabatan. Sahabat sejati itu terputus hubungan hanya kerana sebuah teguran. Kini, baru hatinya melihat.


"Kau memang celik mata, tapi kelabu hati" Tegur Widya.



Ketawa kecil lagi, entah apalah yang dia fikirkan. Tangannya ligat membuka sarung aiskrim 'cornetto.'


"Kelabu hati tak apa lagi asal jangan buta hati" Balas Najihah laju. 



Tersinggung agaknya dengan Widya. Tetapi tidak meminggirkan tangannya untuk menyambut aiskrim huluran Widya.


"Aduhai Naj, kelabu hati itu lebih bahaya. Bila-bila boleh menghitam. Bila hati hitam, butanya tak pakai 'standard.' Gelap terus. Nah, jadinya mana yang lebih sulit? Mencuci cermin yang kelabu atau cermin yang hitam berkarat..?" Bidik Widya. Najihah bisu seketika.


"Yang sebetul-betulnya apa Widya..? Kau buat aku nampak salah tapi aku sikit pun tak tahu apa yang kau nak cakap sebenarnya"


Akhirnya Najihah bersuara. Bingung dengan suku kata yang melintas sekejap-sekejap di kepala. Widya memang selalu begitu. Menegur tak pernahnya jelas.


"Tak ada salahnya Naj, kalau kau juga mula menyukai seseorang. Tapi janganlah riak perasaan itu sampai menutup hati kau untuk mengenal diri dia yang sebenar-sebenarnya. Baik kau, aku dan kawan-kawan kita yang lain, semuanya tahu bagaimana diri dia yang sebenarnya. Aku tak kata dia tak baik, dan aku tak kata yang kau salah. Tapi kalau dah sampai membilang-bilang soal ibadah, soal yang benar apa lagi yang salah, mana mungkin aku diamkan saja." Tutur Widya panjang lebar. Beremosi bunyinya.


Najihah jadi lebih diam daripada tadi. Hati dan kepala dah mula rasa tak sekata.


"Maksudnya apa ni Widya..? Aku tak faham langsung apa yang kau kata" Najihah bingung. 



Kata-kata Widya seolah-olah menumbuk-numbuk dinding kepalanya.


"Lelaki yang kau suka itu, sudahkah kau ikhlas dengan diri kau..? Sudahkah kau tanyakan diri kau..? Atas sebab apa kau sukakan dia Naj..? Sebab dia menayangkan yang dia ambil berat tentang kau? Dengan cara apa..? Ayat-ayat manis atau kerana dia pernah mengirim ubat saat kau jatuh tak sihat lama dulu..? Atau kau terlalu suka dengan wajahnya yang selalu dia maniskan untuk kau..? Tapi di belakang kau, pernahkah kau dengar betapa ramainya sahabat-sahabat yang selalu terasa dengan bahasanya dan lagaknya yang tak bersopan..? Selama kau mengenal dia, berapa berat nasihatnya pada kau yang menyuruh taatkan agama..? Meski kau tak pernah keluar berdua, sudah berapa jauh interaksi kalian..?" Jelas suara Widya.


Tidak berapa lama kemudian dia berhenti sejenak. Mengambil nafas barangkali. Najihah dah mula rasa tak selesa. Widya menyambung. Sepertinya, ini sahajalah peluangnya untuk membuka mulutnya kepada Najihah.


"Khayalnya kau itulah yang aku takutkan. Seolah-olah hanya dia sahaja lelaki yang ada hanya kerana dia ingin mengenal kau. Aku tahu Naj, setiap orang pasti inginkan cinta untuk dirinya. Tetapi adakah Dia redha dengan jalan yang kau pilih ini? Jika kau tak nampak lagi, nah aku dah pun sampaikan. Maaf Naj, mungkin kasar pada kau. Tapi jika sehari-hari teguran perlahan aku kau tak hiraukan, apa lagi pilihan yang aku ada..? Dan percayalah Naj, kau bukanlah satu-satunya. Ya, mungkin satu-satunya untuk dijadikan sebagai teman hidup, kerana kau istimewa. Sedangkan yang lain, tak berbatas lagaknya dia"


Najihah tergamam. Widya dirasakan mengasaknya dengan tujahan melampau waktu itu. Suaranya langsung tertahan. Tak terbela jadinya dia. Disebabkan kebenaran-kebenaran itu lah, 'Friendship seems to has been lost into the thin air'


Baik dia mahupun Widya, masing-masing idtak pernah menyebut sengketa. Tetapi berakhirnya langkah kaki di petang bersalji itu, masing-masing beku bak bongkah batu. Widya hanya membawa kaki melangkah. Pandangan dah ditala ke bermacam arah. Najihah pula gayanya semacam tak mahu mendongak lagi.


Apa yang dia ingat selepas hari ketiga kejadian, waktu dia ingin memanjangkan maaf, Widya sudah tiada lagi di biliknya. Entah bila sahabat itu pergi pun dia tidak sedar. Yang tinggal hanyalah sekeping kertas jingga yang dilekatkan di kepala katil temannya itu yang bertulis,

"Tak perlu kemaafan, kerana kita bukan sengketa. Aku tinggalkan kau dan seluruh kenangan kita bersama di sini. Aku harus pulang ke Acheh. Orang tuaku meninggal. Rumahku dan perusahaan tak lagi damai. Tak mungkin untuk aku terus sambung di sini. Salam sayang daripada aku. Widya"


Pada hari yang sama Najihah merasakan betapa kecilnya dunia tanpa Widya dan kata-katanya, dia ternampak pula lelaki itu beramai-ramai dengan sahabat sekuliahnya. Entah apa kejadiannya, kelihatan seorang perempuan yang entah dari mana datangnya menepuk lelaki itu tanpa silu segan.


Kejutannya bukan itu, tetapi bila melihat dia yang kembali mengejar perempuan itu sambil menarik tapak tangan perempuan itu dan mencubit tangannya. Hah.. Saat itu, pucat dirasakan seluruh wajahnya. 



"Biar benar dia..?"


Najihah hilang kata berminggu lamanya. Puas merenung dan membising pada diri. Marahnya pada diri lebih kepada rasa kesalnya kerana menyia-nyiakan seorang sahabat hanya kerana suatu teguran.


"Mengapa boleh jadi begini..? Walhal, aku sendiri yang mengiyakan perubahan diri" Getusnya dalam hati.


"Agaknya ini balasan untuk orang sombong macam aku. Baru dua semester mengikut usrah, baru dua semester menelan pengertian, aku sombong dengan ilmu. Seolah-olah dah mula rasa yang diri sudah baik. Yakin sangat dapat bezakan yang baik dengan yang salah konon. Sampaikan ujian datang di depan mata aku langsung tak perasan" Bebelnya lagi dalam hati.


Itu kisah tujuh tahun lalu..


Kini, dia seorang Jurutera di sebuah menara terbilang, dan kunjungannya ke Birmingham pada tarikh yang sama dia mengunci suara bersama Widya dahulu adalah disebabkan oleh 'site visit' yang terletak tidak jauh dari lorong yang dilalui mereka dahulu.


Jauh di sudut hatinya dia terlalu rindu pada Widya. Dia mahu Widya tahu yang nasihatnya dulu langsung tak memecahkan hubungan. Bahkan, semakin deras dia mengirim doa buat sahabatnya itu. Dia juga tidak mahu lagi hilang tempat berpijak hanya kerana meninggikan ilmu saban waktu. Paling penting, ada sesuatu lagi yang Widya tinggalkan buat dirinya. Kertas berlipat bintang yang tak pernah dia tahu tertulis sesuatu di bahagian belakangnya.


"Cintai Tuhanmu dahulu dan akrablah bersamanya dengan jalan-jalan yang ada. Bila kau menjaganya, Dia akan menjaga kau nanti. Mudah-mudahan akan Dia titipkan seorang yang lebih bagus untuk menjaga kau suatu hari nanti"

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Entri Saya

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...